Utusan Online - Sukan |
Sathia timbang hijrah ke seberang Posted: Sathia timbang hijrah ke seberangOleh YATIMIN ABDULLAH KOTA BHARU - Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Bola Sepak Al-Hambra Red Warrior (ARMY) yang juga bekas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianthan mengakui beliau kini bersedia untuk 'kembali' selepas bebas daripada penggantungan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulan lalu. Sathianathan ketika ditemui berkata, dia sedang menimbang beberapa tawaran sebagai jurulatih dari beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk tawaran dari luar negara iaitu Indonesia dan Myanmar. Katanya, beliau sedang memperhalusi setiap tawaran tersebut sebelum membuat sebarang keputusan. "Memang saya ada menerima tawaran daripada kelab di Indonesia dan Myanmar dan ejen saya sedang berunding sekarang. Saya juga ada dihubungi oleh beberapa pegawai pasukan bola sepak tempatan mengenai tawaran ini namun belum memberikan kata putus. "Sebagai jurulatih sudah pasti saya ingin kembali ke padang. Saya bukan jenis seorang yang suka duduk diam. Saya sudah menerima padahnya digantung selama enam bulan dan berharap ia menjadi satu pengajaran berguna kepada diri saya sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam. Bekas jurulatih kebangsaan itu digantung FAM selama enam bulan bermula 24 Januari sehingga 23 Julai gara-gara kritikan pedas terhadap tindakan badan induk bola sepak tempatan itu mengubah venue perlawanan Liga Super antara Perlis menentang Terengganu tahun lalu. Akibatnya, penyandang juara Piala Malaysia, The Red Warriors terpaksa melupakan khidmat Sathianathan untuk saingan musim ini dan menggantikannya dengan bekas penggendali Perak, Datuk M. Karathu. Sathianathan memberitahu, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau terlebih dahulu akan merujuk perkara tersebut kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan pandangan. "Saya sudah maklumkan kepada beliau mengenai tawaran ini. Kalau saya hendak menandatangani tawaran sekalipun saya perlu minta izin daripada beliau," ujarnya. Ditanya mengenai kesediaannya untuk mengembangkan kerjaya di luar negara, Sathianathan turut mengakui teruja untuk berbuat demikian, namun ia perlu dinilai daripada pelbagai sudut. Mengulas mengenai peluang Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathianathan optimis Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan. "Sekarang saya lihat Kelantan merupakan satu pasukan yang cukup kuat. Kita sudah ada asas yang kukuh dalam pembentukan pasukan. Saya yakin kita akan memenangi Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini," katanya. |
Penyu tidak perlu gopoh umum nama pemain Posted: Penyu tidak perlu gopoh umum nama pemainIrfan Bakti (lima dari kiri) tetap berpuas hati walaupun pasukannya tidak mempamerkan aksi rancak seperti biasa menentang T-Team pada perlawanan persahabatan di Kuala Terengganu, kelmarin. - utusan/AZLAN BAHRUM KUALA TERENGGANU - Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Aku Salim dijangka menamakan kesebelasan utama pasukannya minggu depan setelah menilai prestasi mereka. Beliau berkata, posisi pemain pertahanan akan menjadi fokus utamanya setelah ketiadaan Mohd. Zubir Azmi yang akan mewakili skuad Olimpik. "Di bahagian pertahanan sekarang, kita ada Marzuki (Yusof), Mazlizam (Mohamad) dan pemain baru, Faizal (Mohamad) yang dipinjamkan daripada skuad Harimau Muda. "Alhamdulillah. Saya tengok mereka bermain baik setakat ini dan saya harap kita dapat beri yang terbaik pada hari sebenar perlawanan (perlawanan pembukaan menentang Sime Darby FC pada 6 September ini)," katanya. Beliau berkata kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang tetangga, T-Team di Stadium Nasiruddin Shah yang berakhir dengan keputusan 2-2, kelmarin. Menyentuh pertemuan tersebut, Irfan berkata, dia berpuas hati walaupun pasukannya tidak mempamerkan aksi rancak seperti biasa. "Saya tak kisah kepada keputusan (seri 2-2) walaupun inilah satu-satunya perlawanan persahabatan yang kami lalui sebelum memulakan kempen Piala Malaysia musim ini," katanya. Jelas beliau, apa yang penting ialah, para pemain perlu memberikan komitmen yang jitu sebaik kempen Piala Malaysia bermula nanti. Terengganu pernah menjadi juara Piala Malaysia pada tahun 2001 dan muncul sebagai naib juara pada tahun 1973, 1982 dan 1998. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |