Utusan Online - Sukan |
Ini masalah saya dan BAM - Misbun Posted: Ini masalah saya dan BAM - Misbun
KUALA LUMPUR -Datuk Misbun Sidek mengambil sikap berdiam diri berhubung isu peletakan jawatan sebagai jurulatih dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Wartawan Utusan Malaysia menjejaki beliau sehingga ke kediamannya di Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusannya itu, namun Misbun tetap enggan membuka mulut mendedahkan punca beliau berbuat demikian. Daripada persoalan hangat mengapa beliau meletak jawatan, sehinggalah perancangan masa depannya, satu demi satu soalan cuba ditanyakan kepada Misbun dengan harapan dapat 'mencungkil' sesuatu, namun tiada satu pun yang berakhir dengan jawaban. "Minta maaflah, saya tidak mahu mendedahkan apa-apa berhubung perkara ini. "Ini merupakan masalah saya dan persatuan (BAM), ia tidak perlu didedahkan kepada umum," katanya. Ditanya sama ada BAM telah menerima peletakan jawatan beliau, Misbun sekadar menjawab: "Saya sudah serahkan surat letak jawatan." Namun, dari raut wajahnya, bekas jaguh badminton perseorangan negara itu yang terkenal dengan servis 'S' suatu ketika dulu, beliau kelihatan memendamkan sesuatu yang amat berat untuk ditanggung. Walaupun enggan mendedahkan apa yang tersurat di hatinya, Misbun tetap melayan mesra kunjungan wartawan Utusan Malaysia yang datang ke kediamannya. Walau ditanyakan berulang kali, Misbun tetap dengan pendiriannya untuk tidak mahu, atau juga mungkin belum bersedia untuk penjelasan atau alasan mengapa beliau meletak jawatan. | ||
Posted: Khairul Fahmi dapat rumahOleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU – Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian hadiah sebuah rumah di atas kecemerlangan beliau membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 minggu lalu. Pemberian hadiah itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bangga di atas kecemerlangan Khairul Fahmi pada kejohanan tersebut. Menurutnya, sebagai mengenang budi dan menghargai jasanya yang berbakti melalui bola sepak, Kerajaan Negeri menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi. "Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood. "Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita dapat hadiah dalam juara bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia. Berapa nilai hadiah ini sebenarnya tidak penting," katanya selepas meraikan kepulangan Khairul Fahmi, semalam. Lebih 3,000 peminat dan penduduk membanjiri sekitar Kampung Cherang, dekat sini menyambut kepulangan Khairul Fahmi. Khairul Fahmi diarak dengan kenderaan pacuan empat roda, diiringi 40 buah motosikal tiba di kampung kelahirannya pukul 11.40 pagi. Ketibaannya turut disambut kedua ibu bapanya iaitu Che Mat Hussain,58, dan Bidah Ibrahim, 52. Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda bola sepak Kelantan itu supaya menjaga nama baik diri dan negeri ini. Sementara itu, Khairul Fahmi terkejut dengan pemberian hadiah tersebut dan menyifatkan ia cukup bermakna buat dirinya dan seluruh ahli keluarga. "Saya tak tahu nak kata apa, hanya mampu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri di atas hadiah yang diberikan," katanya. Dia juga terharu dengan sambutan yang diberikan penduduk kampung yang menyambut kepulangannya. "Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menguruskan majlis ini untuk untuk saya. Ia merupakan satu kejutan di luar jangkaan saya ," ujarnya. Diminta mengulas mengenai publisiti keterlaluan yang diberikan kepadanya, Khairul Fahmi menganggap ia sebagai cabaran. "Saya akui ia memberi tekanan, namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Apa yang lebih penting saya mahu terus memberikan tumpuan sepenuhnya memantapkan lagi persembahan saya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |