Utusan Online - Sukan |
Posted: Kita tempah laluan berlikuOleh ABDUL HAFIZ AHMAD PEMAIN Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kanan) dicabar dua pemain Singapura, Mohd. Zulfahmi (tengah) dan Muhd. Irwan Shah dalam saingan pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA di Jakarta, semalam. - AGENSI KUALA LUMPUR - Malaysia mengorak langkah sulung dengan aksi hambar dan menempah laluan berliku apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura dalam perlawanan sulung Kumpulan A bola sepak Sukan SEA XXVI Indonesia 2011, semalam. Sekurang-kurangnya lapan peluang keemasan yang mampu menghasilkan gol dan tiga mata disia-siakan skuad bawah 23 tahun negara, sekalipun menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu. Sepakan tersasar ketua pasukan Baddrol Bakhtiar, kegopohan Syahrul Azwari Ibrahim, tindak balas lemah A. Thamil Arasu dan Ahmad Fakri Saarani cuma melengkapkan kegagalan pasukan untuk membalas dendam Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia, Julai lalu. Dengan cuma berkongsi satu mata, anak buah Ong Kim Swee kini menempah laluan berliku untuk melepasi peringkat Kumpulan A dan ke separuh akhir memandangkan dua lawan lebih getir, Thailand dan tuan rumah menanti selepas ini, selain Kemboja. Singapura bagaimanapun lebih awal cuba menggugat kubu Harimau Muda dengan tolakan tinggi kaki kiri pemainnya, Fazli Ayob pada minit ke-12 yang sempat disambut kemas penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat. Selepas Shukur Jusoh dikasari, sepakan bebas kencang sejauh 35 meter oleh Baddrol pula nyaris menembusi gawang Singapura, namun penjaga golnya, Izwan Mahbud pantas menepisnya keluar pada minit ke-23. Sepuluh minit kemudian menyaksikan Syahrul Azwari pula membazirkan gerakan solonya yang sempat menggelecek untuk membolosi kubu Singapura apabila sepakan deras susulannya sekadar tinggi meliar. Baddrol sekali lagi melakukan percubaan jarak jauh tetapi rembatan derasnya tersasar beberapa inci daripada tiang kiri gol Singapura pada minit ke-35, sebelum Fazli kembali menyaingi namun rembatan leretnya ditepis Khairul Fahmi, lima minit kemudian. Seminit sebelum rehat, Ahmad Fakri dan Thamil Arasu pula gagal menyambar bola yang terlucut daripada tangkapan Izwan akibat sepakan bebas Baddrol terdahulu untuk sekali lagi menghampakan Harimau Muda dan Kim Swee. Malaysia kemudian dinafikan sepakan penalti dan peluang kemenangan oleh pengadil dari Vietnam apabila Fandi Othman yang berjaya meloloskan diri, dijatuhkan pemain pertahanan Singapura dalam kotak penalti pada minit ke-55. Percubaan Kim Swee memasukkan dua pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Izzaq Faris Ramlan bagi mengambil alih tempat Thamil dan Syahrul Azwari yang kian tumpul, turut gagal mengubah kedudukan akhir perlawanan . Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 'Satu mata tetap cemerlang'Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA JAKARTA – Biarpun perlawanan sulung sekadar diikat tanpa jaringan oleh Singapura, jurulatih Ong Kim Swee menyifatkan skuad bawah 23 tahun negara bimbingannya, tetap menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kata beliau, anak buahnya masih mampu menguasai perlawanan lebih baik daripada lawan dan sentiasa bersikap positif untuk mencari jaringan dan tiga mata dalam aksi Kumpulan A bola sepak Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 itu. "Kami sangat positif dengan permainan hari ini. Saya mengakui pasukan Malaysia telah mengawal permainan dengan baik sekali jika dibandingkan dengan Singapura," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno. Bagaimanapun Kim Swee mengakui anak buahnya selepas ini tidak lagi boleh berpuas hati dengan keputusan sebegitu mahupun untuk mengambil ringan dengan lawan berikutnya, terutama Thailand, esok. Katanya, lawan tersebut pastinya memiliki kemampuan yang berbeza apatah lagi pernah merangkul pingat emas Sukan SEA lapan kali berturut-turut sejak temasya di Singapura 1993 hingga Korat 2007. "Mungkin tahap stamina mereka juga berbeza, sekali gus menuntut kerjasama pasukan dan tumpuan pemain yang lebih dalam memastikan kemenangan sulung kita," katanya. Ditanya kegagalan penyudah oleh Baddrol Bakhtiar, Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, semalam, kata Kim Swee: "Sekurang-kurangnya kita masih memperoleh satu mata dan kami ada tiga lagi perlawanan untuk diberikan lebih perhatian." Mengenai sepakan penalti yang sepatutnya diperoleh Malaysia setelah Fandi Othman dijatuhkan pada babak kedua, ia hak peribadi pengadil. "Itu hak seorang pengadil untuk menentukan sepakan penalti, termasuk buat Malaysia tetapi bagi pandangan saya, ia sepatutnya penalti." Pemain negara katanya, sudah bersedia sejak awal lagi dari aspek ketahanan mental, termasuk dalam berdepan sorakan atau ejekan provokasi penyokong dan penonton Indonesia yang mungkin masih mendendami kekalahan pasukan negara itu pada Piala Suzuki AFF, tahun lalu. "Awal-awal lagi kami sudah menjangka bahawa penonton Indonesia tidak akan menyokong Malaysia dan kepada kami, ia bukan masalah sebaliknya sorakan mereka menjadi motivasi untuk kami bermain lebih baik," katanya lagi. – Utusan Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |