Utusan Online - Sukan |
Posted: 'Saya tak dapat tolong'Oleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek menyedari, ada sesuatu yang 'hilang' dalam diri bekas anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei kurang lapan bulan menjelang Sukan Olimpik, malangnya tiada apa yang dapat dilakukan untuk membantu pemain No. 1 dunia itu. Jelas Misbun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memiliki ramai pakar yang lebih layak untuk menentukan apa yang terbaik buat Chong Wei bagi menggapai misi memburu pingat emas Olimpik, sedangkan beliau cuma orang biasa. Malah jurulatih berpengalaman itu turut menambah, sebagai sebuah organisasi yang besar, BAM mampu menyediakan segala keperluan terbaik buat Chong Wei, manakala bagi dirinya, tanggungjawab terhadap pemain itu sudah selesai sejak beliau melangkah keluar dari badan induk itu, awal tahun ini. "Kadang-kala saya masih ikut perkembangan Chong Wei dan selepas sekian lama mengenalinya, firasat saya mengatakan bahawa dia kehilangan sebahagian daripada dirinya dan kerana itu dia mudah hilang fokus hingga tidak dapat memberi permainan terbaik. "Apa yang menjadikan dia begitu, saya tidak tahu, lagipun ia bukan tanggungjawab saya untuk menjawabnya. Anda kena tanya kepada jurulatih Chong Wei, saya cuma seorang kawan buatnya, jadi sebagai kawan saya hanya boleh lihat dia bermain dan berharap dia menang,'' katanya ketika ditemui pada hari terakhir Kejohanan Badminton Remaja MBPJ/Nusa Mahsuri 2011 di Kelana Jaya, semalam. Sambil menyuarakan rasa simpati terhadap apa yang dialami Chong Wei, Misbun turut mengingatkan BAM, bahawa mereka perlu segera mencari penyelesaian kerana tugas menyiapkan juara Olimpik tidak mudah. "Ia bukan kerja yang kita boleh secara 'cincai', mereka kena betul-betul ada program yang tepat dan serius." Malah ketika ditanya, apakah pendiriannya andai Chong Wei benar-benar menginginkan beliau kembali untuk membantu menggalas misi Sukan Olimpik, Misbun menegaskan, beliau langsung tidak mahu memikirkan perkara itu. Biarpun mengakui ada beberapa kali bertemu juara All England itu tahun ini, namun pertemuan tersebut sekadar pertemuan antara dua kawan lama, dan beliau tidak menyentuh mengenai badminton atau apa yang dilakukan Chong Wei di atas gelanggang. Tanpa dapat dipastikan mengapa Misbun tampak cukup berat untuk kembali bergabung dengan bekas anak didiknya itu, namun kata-kata yang diungkap jurulatih berusia 51 tahun itu meninggalkan sedikit persoalan, apakah beliau sudah serik untuk kembali ke pangkuan BAM. "Perkara ini (permintaan Chong Wei) sebenarnya tidaklah susah sangat, tetapi hendak membersihkan 'keladak' itu yang susah. Ketika saya hendak keluar dulu, ada keladak yang kena dicuci, kemudian ia bersih dan perlu dicuci semula. "Jadi sejak itu, saya langsung tidak mahu memikirkan tentangnya. Saya selesa dengan kehidupan saya sekarang, saya menyibukkan diri dengan macam-macam aktiviti dan sekali sekala saya bantu Nusa Mahsuri dalam program pembangunan pemain remaja," katanya lagi. Persiapan Chong Wei, 29, untuk menghadapi Olimpik menimbulkan kerisauan selepas gagal melayakkan diri ke final dalam tiga kejohanan terakhir yang disertai, Terbuka Hong Kong, Terbuka China dan Siri Super Masters Akhir. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Razlan yakin MotoGP dilanjutOleh AIZAWATI AHMAD Kemalangan yang menyebabkan kematian pelumba Honda, Marco Simoncelli (tengah) di Litar Sepang Oktober lalu tidak menjejaskan rekod penganjuran cemerlang Malaysia dalam siri MotoGP. – AFP KUALA LUMPUR – Kejayaan penganjuran MotoGP yang menarik kehadiran bilangan penonton yang tinggi menjadi faktor penarik kepada Lembaga Pengarah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersetuju untuk membuat permohonan bagi menyambung kontrak penganjuran kejohanan dunia itu yang bakal tamat pada 2013. Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, lembaga pengarah bersetuju untuk memohon menyambung kontrak bagi tiga tahun lagi dengan tempoh pilihan selama dua tahun. "Keputusan ini telah kita capai beberapa minggu yang lalu dan selepas ini, kita akan cuba mendapatkan persetujuan daripada Kementerian Kewangan pula dan saya yakin kementerian akan bersetuju dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh lembaga pengarah SIC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. Menurut Razlan, MotoGP merupakan sebuah kejuaraan antarabangsa yang berupaya menarik kehadiran penonton yang cukup ramai di rantau Asia. Malah katanya, penganjuran kejuaraan dunia itu mampu menjana pendapatan negara dari segi kehadiran pelancong tempatan dan luar negara terutama dari Asia, Australia dan Eropah. "Sukan MotoGP tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan sebab itu, sukan ini mampu menarik kehadiran penonton yang ramai, lebih-lebih lagi di kalangan penduduk tempatan yang teruja apabila anak Malaysia turut bersaing," ujarnya. Beliau memberitahu, apa yang lebih menarik, SIC turut terpilih sekali lagi menjadi lokasi untuk sesi ujian jentera pasukan-pasukan bertanding pada hujung Februari sebelum kejuaraan dunia bermula. "Sesi kali ini agak mendebarkan kerana selepas kemalangan maut yang menimpa pelumba Itali, Marco Simoncelli pada Grand Prix Malaysia Oktober lepas, pelumba-pelumba akan menjejak kaki ke Sepang buat pertama kali selepas tragedi itu. "Mungkin sesi ujian kali ini banyak melibatkan emosi pelumba dan kita tidak tahu bagaimana penerimaan mereka, selain itu kita juga akan menerima kehadiran sembilan pasukan baru yang menyertai MotoGP musim depan," jelasnya. Mengulas mengenai perkembangan terkini pelumba Malaysia, Zulfahmi Khairuddin, Razlan berkata, anak muda berusia 20 tahun itu kini berada di Malaysia dan dia bakal mendapat sebuah jentera baru untuk bersaing pada musim 2012. Tambah beliau, selepas cuti Tahun Baru Cina, satu majlis pelancaran bagi memperkenalkan jentera, pasukan dan para penaja buat Zulfahmi akan diadakan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |