Utusan Online - Sukan |
'Kehilangan' misteri 6 atlet olahraga Posted: 'Kehilangan' misteri 6 atlet olahragaOleh AIZAWATI AHMAD KUALA LUMPUR - Misteri. Ke mana perginya enam atlet olahraga negara yang tiba-tiba 'menghilangkan' diri sejurus diarahkan membuat ujian doping di Institut Sukan Negara (ISN) kelmarin? Enam atlet berkenaan diarahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) supaya menjalani pemeriksaan perubatan dan ujian doping sebelum berangkat ke Bulgaria bagi menjalani latihan dan menyertai beberapa kejohanan bermula 28 Mei hingga 3 Julai ini. Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, daripada enam atlet berkenaan, hanya lima yang menjalani pemeriksaan perubatan dan untuk doping kesemuanya tidak menjalani ujian tersebut. "Saya dimaklumkan sebelum menjalani ujian doping, lima atlet tersebut meminta izin untuk bersarapan terlebih dahulu tetapi mereka kemudiannya menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sehingga pagi semalam. "Sementara seorang lagi atlet, saya difahamkan turut berada di kafe ISN sebelum menghilangkan diri, namun atlet ini tidak menjalani kedua-dua pemeriksaan iaitu perubatan dan juga doping," katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurut Zolkples, ujian tersebut merupakan prosedur biasa yang perlu dijalani oleh atlet sebelum ke luar negara atau menyertai sebarang kejohanan, baik di peringkat domestik dan antarabangsa. Jelasnya, atlet kebangsaan perlu mengambil langkah segera dengan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ke luar negara. "Kita juga cuba menghubungi ketua jurulatih mereka, Harun Rasheed, namun dia turut gagal dihubungi," ujarnya. Beliau memberitahu, pihaknya juga mencuba mencari atlet-atlet tersebut di asrama penginapan, tetapi gagal menemui mereka. "Kita juga menjejak mereka dengan menghubungi keenam-enam atlet ini menerusi telefon bimbit, juga di kediaman keluarga, tetapi gagal," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata, masalah tersebut tidak seharusnya berlaku kerana kesemua atlet terbabit menetap di kawasan asrama MSN dan mereka bila-bila masa boleh menjalani ujian yang diarahkan oleh ISN. "Apabila arahan dikeluarkan, wajib buat atlet-atlet terlibat menghantar contoh air kencing dan jika mereka gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil kerana ia melanggar peraturan yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA)," tegasnya. Katanya, pihak persatuan boleh mengambil tindakan jika ada di kalangan atlet mereka ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh MSN atau pun ISN. Selain enam atlet tersebut, atlet yang telah menjalani kedua-dua pemeriksaan kelmarin ialah Noraseela Mohd. Khalid (400 meter berpagar), Tan Song Hwa (tukul besi), Lo Choon Sieng (20km jalan kaki) dan P. Yuvaraj (400 meter), manakala tiga lagi atlet iaitu Mohd. Jiromi Riduan (800m, 1,500m), S. Mathialagan (800m) serta K. Ganthimanthi (800m, 1,500m) berbuat demikian, semalam. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Malaysia tempah laluan berduri Posted: Malaysia tempah laluan berduriOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Malaysia menempah laluan berduri pada suku akhir badminton Piala Sudirman apabila gagal muncul juara Kumpulan B selepas kalah tipis 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan sengit di Qingdao, China semalam. Walaupun dua kali mendahului 1-0 dan 2-1, namun Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan 2-2, sebelum mengesahkan kemenangan menerusi beregu campuran, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadet yang menundukkan pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 21-15. Menamatkan cabaran selaku naib juara kumpulan bermakna Malaysia berpotensi menentang pilihan utama dan juara tujuh kali, China, bergantung kepada undian yang bakal dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Semalam, Malaysia memulakan aksi dengan langkah kanan selepas beregu utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghadiahkan mata sulung menerusi kemenangan mudah 21-15, 21-17 ke atas pasangan serpihan, Alvent Yulianto-Mohamad Ahsan. Begitupun, Indonesia seperti diduga mengutip mata mudah dalam perseorangan wanita apabila Adriyanti Firdasari tidak mampu dicabar oleh Lydia Cheah ketika menang 21-8, 21-12 dalam masa 28 minit. Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan 27 minit untuk kembali meletakkan pasukan negara di depan apabila menundukkan Dionysius Hayom Rumbaka 21-8, 21-8. Ketika peminat mengharapkan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dapat memberi kemenangan kepada Malaysia menerusi beregu wanita, pasangan senior itu bagaimanapun gagal menyaingi Greysa Polii-Meliana Jauhari apabila tunduk 21-23, 14-21. Pei Tty-Eei Hui melebarkan rekod kekalahan 0-5 kepada pasangan utama Indonesia itu, manakala Peng Soon-Liu Ying tewas lima daripada enam pertemuan dengan Fran-Pia. Ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek mengakui, aksi gemuruh yang dipertontonkan Lydia sememberi gambaran jelas kepadanya siapa yang harus diturunkan di suku akhir nanti. "Selepas menurunkan Tee Jing Yi dalam perlawanan pembukaan, saya memilih untuk mencuba Lydia hari ini tetapi selepas apa yang ditunjukkan tadi, saya rasa Jing Yi adalah pilihan yang baik untuk saingan terusnya,'' kata Rashid. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |