Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Pemain senior masih bagus'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini masih belum cukup untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam senarai kesebelasan utama.

Masih yakin dengan kelibat pemain-pemain senior, dia mendedahkan masih belum ada tempat secara automatik buat mereka tetapi tidak mahu bersikap terus menutup pintu kepada mereka jika mampu menampilkan rentak konsisten dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan di Jepun ini.

Bakal berdepan kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse hari ini, Rajagobal berkata, dia sebagai jurulatih, lebih arif mana pemain yang wajar diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

"Kita kena faham ini adalah perlawanan persahabatan dan ini adalah masa terbaik buat saya menguji semua pemain dan kalau ada yang menyerlah, mereka mungkin boleh menjadi pilihan terbaharu untuk menentang Bahrain nanti.

"Memang ada pemain baharu yang menyertai kami bermain cukup baik tetapi bila menjelang aksi sebenar di pentas antarabangsa, pemain yang lebih senior dan berpengalaman selalunya tidak menghampakan saya jika diberikan peluang.

"Saya tahu pemain mana yang boleh diharapkan bila tiba perlawanan sebenar," katanya.

Apa yang diperkatakan oleh Rajagobal itu pasti menjadi satu cabaran besar kepada buat pemain-pemain seperti Mohd. Nizad Ayub, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dan Junior Eldstal untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang biarpun telah menunjukkan prestasi terpuji semasa perlawanan persahabatan berdepan Chonburi F.C dan Chelsea minggu lalu.

Apatah lagi bukan semua pemain senior dalam skuad pada waktu ini berada di tahap terbaik seperti Safee Sali, Mohd. Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani, namun ia masih belum mencukupi memenangi kepercayaan Rajagobal.

Jelasnya, bertemu Shimizu yang merupakan kelab dari liga utama Jepun, bukanlah sesuatu yang mudah tambahan kebanyakan pemainnya masih kepenatan melalui dua perlawanan dalam seminggu yang lalu.

"Perlawanan esok bukan mudah..kita akan bertemu pasukan dari J-League, tambahan sedang berpuasa lagi, saya bukan hendak memberi alasan tetapi inilah realiti pasukan kita sekarang.

"Kita juga menghadapi dua perlawanan dalam masa terdekat ditambah dengan menaiki penerbangan dari Malaysia ke Jepun, pemain saya tidak berada di tahap kecergasan yang dikehendaki," katanya.

Shimizu S-Pulse kini menduduki di tangga ke-11 J-League daripada 18 pasukan dengan 22 mata dari 17 perlawanan dan pada perlawanan terakhir, kelab yang dibimbing pengurus dari Iran, Afshin Ghotbi itu seri 2-2 bertemu Kashiwa Reyol pada 17 Julai lalu.

Juara Piala Liga Juara-Juara Asia tahun 1999/2000 itu diperkuatkan dengan beberapa pemain import seperti pertahanan dari Belanda, Calvin Jong-A-Pin serta dua pemain Korea Selatan, Lee Minsoo dan Lee Kije.

Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Shonan Bellmare pada hari Sabtu sebelum menutup tirai aksi persahabatan di Jepun dengan menentang kelab J League 2, Tokyo Verdy, pada 31 Julai.

Mukhriz intai kerjasama kelab antarabangsa selepas terajui KFA

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
sukan@utusan.com.my

TIMBALAN Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (kiri) memakaikan kot Presiden KFA kepada Mukhriz selepas dipilih menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir semalam dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh sebanyak 28 perwakilan yang menyertai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz yang ditemui pemberita selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima amanah tersebut serta berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak pasukan Kedah.

"Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA.

"Azam saya sudah tentu Kedah berjaya menjadi gemilang semula dalam arena bola sepak dan saya yakin dengan formula mantap perkara ini tidak mustahil," katanya.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Kedah, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa bagi berkongsi ilmu dengan penggerak bola sepak di Kedah.

"Kita mahu mereka bekerjasama dengan kita berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan pasukan, pengurusan stadium, kewangan, kelab peminat dan lain-lain lagi.

"Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana, tapi sekarang memang kita tengah bincang dengan satu dua kelab," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sementara pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia, Datuk Ahmad Shafie optimis bahawa pasukan Kenari akan mencipta kejayaan pada saingan Liga Malaysia nanti.

"Kita malap sekarang bukan makna kita tidak boleh menyinar, saya yakin kita boleh harungi Liga Malaysia dan berada pada tangga teratas.

"Saya juga percaya barisan pemain Kedah adalah terbaik dan potensi mereka harus digilap lagi," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS