Rolland kembali sertai LTdL 2013Rolland kembali sertai LTdL 2013
PELUMBA-PELUMBA Europcar sudah bersedia untuk menghadapi cabaran pada LTdL 2013.
JAGUH peringkat pendakian pada kejohanan lumba basikal Jelajah Perancis, Pierre Rolland dijangka kembali menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 bersama pasukan Europcar pada 21 Februari hingga 2 Mac depan.
Rolland dari Perancis yang menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan pada Jelajah Perancis itu mengumumkan program awal 2013 dengan mengutamakan jelajah di Malaysia ini berbanding perlumbaan di negaranya sendiri.
"Saya jatuh cinta dengan LTdL selepas pertama kali mengambil bahagian pada 2011," kata Rolland.
Ketika itu, dia sedang berusaha untuk cuba menonjol selepas dua musim yang kurang menyerlah bersama pasukan Bouygues Telecom, selepas mula menjadi pelumba professional bersama pasukan Credit Agricole pada 2008.
Muncul dengan gelaran Raja Bukit di Criterium du Dauphine dan menjadi anggota pasukan kebangsaan Perancis pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, dia dianggap pakar pendaki yang mampu menggegar.
LTdL 2011 adalah permulaan semula dalam kariernya.
Dia melakukan serangan hampir setiap hari, meskipun di laluan landai kerana menyedari peluangnya untuk meraih kemenangan begitu terbatas.
Dia berkayuh ke Genting Highlands secara solo sebelum diekori pelumba lain pada baki lima kilometer terakhir dan terpaksa berpuas hati di tempat ke-12.
"Jika saya lebih arif dengan bentuk pendakian itu, saya mungkin akan bertindak secara berbeza," katanya.
"Saya mahu kembali ke Malaysia dan memenangi pendakian ke puncak legenda itu."
Disebabkan mengalami kecederaan pada Februari tahun lalu, dia terpaksa melupakan perlumbaan Paris-Nice, perlumbaan yang dianggapnya amat penting dalam persiapan menghadapi perlumbaan klasik musim panas dan Jelajah Perancis.
Sebaik memenangi peringkat pendakian di banjaran Alpine di La Toussuire dan menamatkan saingan di tangga kelapan keseluruhan Jelajah Perancis 2012, dia mengubah fikiran terhadap Paris-Nice, sebaliknya memilih LTdL.
"Melihat semula Pierre Rolland di LTdL adalah satu penghormatan besar. Kemenangannya sebagai Pelumba MudaTerbaik Jelajah Perancis 2011 adalah suatu pencapaian besar dan saya mahu melihatnya memenangi saingan di Malaysia," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2013, Emir Abdul Jalal.