Utusan Online - Sukan |
Posted: Kim Swee 'tutup pintu'Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Sejak tiba di Jepun Ahad lalu, jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee mengamalkan dasar 'tutup pintu' apabila tidak membenarkan media Jepun membuat sebarang liputan pada sesi latihan pasukan kebangsaan. Bukan mahu merahsiakan kekuatan dan strategi yang akan digunakan pada perlawanan Kelayakan Olimpik esok, Kim Swee menegaskan dia bertindak demi memastikan anak-anak buahnya tidak terganggu menjelang pertemuan dengan Samurai Biru. "Memang saya tidak memberi ruang kepada media di sini membuat liputan sesi latihan kami. Saya lebih menekankan fokus pemain supaya tidak terganggu. "Mungkin esok (hari ini) baru saya akan berikan kelonggaran buat media Jepun buat liputan sesi latihan terakhir, iaitu sehari sebelum perlawanan. "Buat masa ini, saya tidak mendengar apa-apa pandangan Jepun terhadap pasukan Malaysia. "Itu tidak penting kerana saya hanya menumpukan perhatian kepada kekuatan sendiri, " katanya yang dihubungi, semalam. Malaysia memulakan langkah pertama saingan Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 berdepan Jepun, yang diletakkan sebagai pilihan utama untuk menempah tiket ke London di Stadium Tosu esok, pukul 6.45 petang waktu tanah air. Menyentuh persiapan skuad negara, Kim Swee berkata, pemain tidak menghadapi masalah besar menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang sedikit berangin dan lembap di Wilayah Saga. "Suhu ketika latihan adalah sekitar 20 ke 23 darjah celsius. Dijangkakan pada hari perlawanan nanti, suhu akan mencecah bawah 20 darjah celsius. "Ia tidak menjadi masalah besar buat pemain yang pernah mendapat pendedahan di Slovakia, yang hampir sama dengan cuaca di sini, malah cuaca di Slovakia lebih sejuk," katanya. Namun, skuad Olimpik mendapat perkhabaran kurang menggembirakan apabila dua tonggak tengah, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih dibelenggu kecederaan. Kim Swee mengakui masalah itu mampu menjejaskan rentak pasukan. "Jika mereka tidak dapat diturunkan, memang ia boleh mengurangkan kualiti bahagian tengah, tetapi saya ada perancangan lain kerana pengganti mereka mampu menjalankan peranan jika diturunkan. "Namun saya optimis mereka boleh beraksi," katanya. | ||
Posted: Detik memalukan Torres
MANCHESTER - Daripada dipuji, Fernando Torres akhirnya dikeji apabila terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol ketika berdepan Manchester United yang menyaksikan Blues kalah 1-3 kelmarin. Torres hanya mampu meledak dua gol untuk Chelsea sejak berpindah dari Liverpool Januari lalu menerusi rekod perpindahan tertinggi di Britain. Jaringan pertama yang diperoleh Torres pada perlawanan kelmarin dijelmakan pada babak kedua minit ke-46 selepas memperdaya penjaga gol, David de Gea, ketika United mendahului 3-0 pada babak pertama lagi. Ketika Ramires menghantar bola kepada Torres untuk mendapatkan jaringan, penyerang Chelsea itu dilihat sudah hampir pasti dapat menjaringkan gol apabila berupaya mengelecek penjaga gol David de Gea. Namun peluang mudah di hadapan pintu gol United yang terbuka luas gagal dimanfaatkan, apabila pemain itu seolah-olah tidak mampu mengawal bola sehinggakan percubaannya tersasar, menyebabkan Torres diejek hampir 75,000 penyokong United di Old Trafford. Kini tiada cara untuk Chelsea mengembalikan peluang tersebut namun boss Blues, Andre Villas-Boas enggan menyalahkan pemain itu sebaliknya beranggapan kesilapan Torres tidak seteruk ketika Wayne Rooney gagal menyempurnakan penalti pada awal perlawanan. "Contoh terdekat ialah Rooney yang gagal menjaringkan penalti. Itu adalah kesilapan paling buruk buat seorang penyerang bertaraf dunia, juga buat pasukan," kata Villas-Boas. Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berpendapat kesukaran Torres untuk menghasilkan jaringan disebabkan dia belum memperoleh rentak. "Torres memerlukan masa untuk mendapatkan jaringan. Sungguh teruk apabila dia tidak dapat mendapatkan gol dan dia memerlukan masa untuk itu," jelas Ferguson. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |