Utusan Online - Sukan |
Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN NORSHAHRUL Idlan Talaha (kanan) memaksa kapten Chelsea, John Terry bekerja keras apabila mengasak kubu The Blues pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. Chelsea menang 4-1. - Utusan/Djohan Shahrin SHAH ALAM - Malaysia XI telah memberikan yang termampu tetapi inilah realitinya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jelas tidak mampu menandingi kualiti yang ada pada Chelsea apabila tewas 1-4 dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam. Di hadapan 50,000 penonton, The Blues mempamerkan aksi kelas tinggi yang cukup berbeza dengan apa yang mereka pamerkan ketika menentang Pilihan Thailand di Bangkok melalui tempo permainan yang lebih pantas dan tersusun yang membuatkan Harimau Malaya terpaku sekali gus hajat untuk mengulangi pencapaian kekalahan 0-1 pada dua tahun lalu. Empat jaringan Chelsea disumbangkan oleh tiga pemain muda mereka, Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku manakala satu lagi gol melalui Victor Moses sementara pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas menggembirakan seluruh penyokong Malaysia dengan jaringan tunggal pada minit ke-90. Cuma aksi dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan Harimau Malaya layak diberikan pujian dan hampir berjaya menambahkan gol kedua pada masa kecederaan menerusi Mohd. Nizad Ayub, namun dihampakan oleh Ashley Cole yang mengeluarkan bola di atas garisan. Selain daripada itu, anak-anak buah Rajagobal terpaksa berhempas pulas sepanjang permainan memberi saingan kepada Chelsea dalam segenap aspek terutama pada aspek fizikal dan kepantasan yang ada pada skuad bimbingan Jose Mourinho. Benteng pertahanan negara jelas berdepan kesukaran untuk bertarung dengan kelincahan dua penyerang Chelsea, Romelu Lukaku dan Demba Ba yang sering kali mudah mengatasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan rakan-rakan. Ketika permainan baru sahaja memasuki minit ke-6, Traore tidak menunggu lama meletakkan The Blues di hadapan dengan sepakan leret kencang yang mudah menewaskan Farizal Marlias hasil gerakan De Brunye. Harimau Malaya dapat memberikan sedikit ancaman pada pertengahan babak pertama dan K. Gurusamy terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-22 apabila bola percubaannya dalam kotak penalti sempat ditampan keluar oleh barisan pertahanan Chelsea. Chelsea melebarkan kedudukan pada minit ke-29 dengan jaringan daripada De Brunye yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti tetapi gol itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila pemain muda Belgium itu terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederaan. Ketika permainan hanya menunggu masa ditamatkan pada babak pertama, Lukaku memastikan namanya berada dalam senarai penjaring selepas bijak memanfaatkan hantaran Branislav Ivanocic. Di babak kedua, Moses menambah pesta jaringan The Blues pada minit ke-89 selepas Farizal gagal menampan keluar bola rembatan leret di dalam kotak penalti. Akhirnya jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat Malaysia tercapai jua pada masa kecederaan apabila Fadhli memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Chelsea dengan tandukan cantik yang menewaskan penjaga gol nombor satu The Blues, Peter Cech. |
Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Oleh MOHD.FIRDAUS ISMAIL PULAU PINANG - Skuad bola sepak Harimau Kumbang menerima tamparan hebat menjelang saingan Liga Perdana Musim depan apabila kehilangan 'orang nombor satu' Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP). Ini berikutan tindakan Presiden FAP, Mohd. Foaz Abdul Hamid meletak jawatan daripada terus memimpin FAP sejak setahun lalu. Mohd. Foaz berkata, beliau membuat keputusan itu untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya baharu selepas membimbang FAP musim ini dan berjaya membawa pasukan berkenaan ke Liga Perdana musim depan. "Saya akui cabaran menguruskan sebuah pasukan bola sepak bukanlah semudah yang disangka. "Sepanjang memimpin FAP, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan termasuklah dari segi wang ringgit. Tugas mencari penaja pula juga sangat mencabar dan tidak mudah untuk menarik syarikat-syarikat berkenaan membuat pelaburan untuk pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. Musim ini, skuad Harimau Kumbang yang dibimbing Merzagua Abderrazzak menjuarai Liga FAM sekaligus layak beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas dua musim beraksi dalam liga kelas ketiga. Ditanya mengenai calon pengantinya, Mohd. Foaz berkata, satu sidang akhbar akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi mengumumkan perkara berkenaan. "Saya sendiri yang cari pengganti dan yakin beliau mampu meneruskan tugas saya membimbing FAP. "Musim depan penting bagi Pulau Pinang kerana akan bersaing dalam Liga Perdana yang mana dibarisi pasukan hebat dan saingan lebih sukar," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |