Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Blues janji lebih garang

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

MICHAEL Essien (kanan) dan Branislav Ivanovic (tengah) antara pemain utama Chelsea yang menjalani latihan di Stadium Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Harimau Malaya tidak boleh menganggap kedatangan Chelsea ke Malaysia sekadar makan angin jika tidak mahu menjadi mangsa dimalukan kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, esok

Pertahanan skuad Blues, Gary Cahill menegaskan mereka bakal beraksi lebih mantap apabila menentang Malaysia esok setelah hanya menang tipis 1-0 ke atas skuad Pilihan Thailand dalam perlawanan di Bangkok, Rabu lalu.

Esok merupakan perlawanan kedua Jose Mourinho sejak kembali melatih The Blues selepas meninggalkan Real Madrid.

Menurut Cahill, pertemuan dengan Malaysia mungkin tidak jauh bezanya dengan Pilihan Thailand tetapi mereka harus berusaha lebih keras lagi dan menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua di bawah bimbingan Mourinho, esok.

"Kami perlu lebih tajam lagi, begitu juga dengan tahap kecergasan kami, harus dipertingkatkan dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan Malaysia," katanya kepada media selepas latihan selama sejam lebih di Stadium Shah Alam semalam.

Ditanya mengenai latihan dan suasana di Malaysia, Cahill berkata, semuanya berjalan lancar, baik sesi latihan, stadium dan hotel sedikit pun tidak mencatatkan persiapan mereka.

"Sesi latihan kendalian Mourinho memang amat keras, mungkin beberapa pemain sudah biasa dengannya. Ini adalah kelab yang bagus, jadi sesi latihan amat penting buat kami, perpindahannya ke Chelsea satu keputusan yang tepat," katanya.

Cahill, 27, turut mengakui bahawa persaingan dalam pasukan Chelsea juga begitu berat selepas beberapa pemain seperti John Terry dan David Luiz terpaksa berebut tempat kesebelasan utama bagi posisi pertahanan tengah.

"Memang akan berlaku satu persaingan di sini bagi merebut posisi, saya harus bekerja keras dan memastikan saya memperoleh tempat. Ia juga amat penting buat semua pemain," kata Cahill yang turut mencari ruang untuk beraksi di Piala Dunia 2014 Brazil.

Bekas pertahanan Bolton Wanderers dan Aston Villa itu beraksi pada separuh masa kedua ketika bertemu Pilihan Thailand Rabu lalu dan berjaya mengekang asakan lawan daripada membolosi gawang Blues.

Dalam masa sama, Cahill turut memuji kehadiran dua pemain baru dalam skuad Chelsea, Andre Schurrle dan Marco van Ginkel selepas kedua-dua pemain itu berlatih bersama-sama dan beraksi buat pertama kali Rabu lalu.

"Mereka merupakan dua pemain muda yang bagus, saya lihat mereka mempunyai kualiti luar biasa, kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat membantu pasukan. Seperti saya katakan sebelum ini mereka nampak hebat di dalam latihan," katanya.

Pengorbanan Fadhli Shas

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Fadhli Shas

PETALING JAYA - Sebaik sahaja selesai membantu Harimau Muda A pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia, Mohd. Fadhli Shas langsung tidak berehat sebaliknya terus menyertai latihan skuad kebangsaan sejak Khamis lalu.

Dia masih merasai kepenatan kerana beraksi lima perlawanan dalam tempoh 12 hari dari 6 hingga 17 Julai di Kazan, ditambah pula dengan ibadah puasa.

Namun segala kepayahan itu diketepikan oleh Fadhli demi mewakili skuad Harimau Malaya.

Itulah pengorbanan pemain berusia 22 tahun itu yang enggan merungut malah gembira kerana khidmatnya terus ditagih oleh pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk aksi persahabatan termasuk menentang Chelsea, esok.

"Saya baru sahaja sampai semalam dari Kazan tetapi itu tidak menjadi masalah untuk terus berlatih kerana sebagai pemain bola sepak profesional, saya perlu bersedia bila-bila masa sahaja untuk dipanggil.

"Penat itu perkara biasa tetapi saya ada misi yang lebih penting iaitu mahu membantu pasukan kebangsaan menentang Chelsea, dua tahun lalu saya tidak berkesempatan bermain.

"Diharapkan pengalaman saya di Kazan, Rusia (Universiade 2013) dan Eropah dapat membantu skuad kebangsaan dalam menghadapi chelsea serta beberapa perlawanan lain selepas ini, " katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Dianggap sebagai tonggak paling berpengalaman dalam pasukan kebangsaan walaupun masih muda, Fadhli sememangnya sering menjadi pilihan utama Rajagobal di bahagian pertahanan pada kebanyakan perlawanan penting dilalui skuad kebangsaan.

Walaupun begitu, tugas Fadhli untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama bukan sesuatu yang mudah kerana kehadiran pemain Kelantan, Azizi Matt Rose pasti menyukarkan pemain berusia 22 tahun itu untuk bergandingan dengan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak di bahagian pertahanan tengah.

Azizi mempamerkan aksi yang memuaskan bagi pemain yang sudah tujuh tahun tidak bermain dengan pasukan kebangsaan dengan membentuk persefahaman mantap bersama Aidil semasa bertemu kelab Thailand, Chonburi F.C, 16 Julai lalu.

Justeru, Fadhli mengakui dia perlu mempertingkatkan lagi usaha semasa sesi latihan bagi memikat hati Rajagobal untuk berada di dalam kesebelasan utama.

"Saya sedar semakin ramai pemain baru diserapkan dan bukan satu tugasan mudah untuk mendapatkan tempat, jadi saya perlu membuktikan sesuatu pada sesi latihan di samping bekerja lebih keras, " katanya.

Ditanya jika diturunkan jika berdepan Chelsea, Fadhli yang merupakan peminat Liverpool tidak sabar berdepan dengan pemain-pemain ternama The Blues seperti Eden Hazard, Demba Ba dan Frank Lampard.

"Barisan serangan Chelsea memang cukup mantap dan antara yang hebat di dunia dengan membariskan pemain-pemain handalan seperti Hazard dan Lampard tetapi bagi saya ini satu pengalaman yang saya tidak akan lepaskan, " katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS