Utusan Online - Sukan |
Posted: Kejuaraan untuk MisbunOleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei terlalu hebat untuk ditandingi Taufik Hidayat dan keunggulan jaguh No. 1 dunia itu melayakkannya menjuarai badminton Terbuka Malaysia kali ketujuh semalam. Malah, Taufik mengakui Chong Wei terlalu bagus sehingga membenarkannya merapatkan jurang mata di set kedua, hanya kerana mahu menjaga air mukanya, memandangkan mereka berdua adalah rakan baik. Chong Wei menang 21-8, 21-17 hanya dalam masa 37 minit. "Saya rasa dalam set kedua, Chong Wei hanya bagi peluang kepada saya. Jurang mata di antara kami terlalu besar, dia mungkin mahu menjaga air muka saya, kerana kami kawan baik. "Saya memang tidak punya sebarang alasan atas kekalahan ini, Chong Wei jauh lebih baik daripada saya hari ini, dia terlalu bagus dan berhak menang," kata Taufik, yang ketinggalan 8-18 di set kedua sebelum mengejar untuk kedudukan 17-18. Sejak muncul juara pada 2004, jaguh No. 1 dunia itu hanya sekali terlucut gelaran Terbuka Malaysia pada 2007, yang dimenangi bintang Denmark, Peter Hoeg Gade. Namun, selebihnya dia menguasai saingan pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Ketika krisis jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Chong Wei membuktikan kekentalan mentalnya tidak mampu diganggu isu luar gelanggang. Ini adalah kejuaraan keduanya sejak isu peletakan jawatan Misbun pada 1 Januari lalu. Kejuaraan semalam mungkin hadiah terbaik buat Misbun, yang setia menemaninya dari tepi gelanggang pada kejohanan di sini. Lebih menggembirakan, isu Misbun mula menunjukkan tanda positif, apabila jurulatih itu menunjukkan 'isyarat positif' ketika ditanya wartawan mengenai keputusan BAM, semalam yang memberikan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan kemelut Misbun. Kemenangan semalam bukan saja membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah AS$$30,000 (RM96,000) tetapi menghampiri rekod legenda badminton negara, Wong Peng Soon, yang memenangi lapan kejuaraan. Peng Soon, yang ketika itu mewakili Malaya muncul juara perseorangan lelaki pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953. "Saya gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran buat kali ketujuh. Selepas semua pemain Malaysia kalah, saya sedar sebagai wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran, harapan yang diletakkan kepada saya amat tinggi. "Saya tidak mahukan keputusan yang tidak baik, saya hanya mahu kemenangan untuk menggembirakan penyokong. Jurulatih saya (Misbun) meninggalkan pesan kepada saya supaya bekerja lebih keras jika mahu menang, berdepan ribuan penyokong yang amat mengharapkan kemenangan daripada saya bukan situasi yang mudah," kata Chong Wei. | ||
Posted: BAM lepaskan HafizKUALA LUMPUR - Beraksi dalam kejohanan antara kelab di Indonesia menjadi perancangan terdekat jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim sebaik diberi lampu hijau daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meninggalkan skuad kebangsaan tanpa sebarang syarat. Ketika ini, ada tiga buah kelab di negara itu sudah mengemukakan tawaran kepada juara All England 2003 itu untuk beraksi bersama mereka dalam saingan liga yang akan berlangsung dari 19-27 Februari ini. Bagaimanapun jelas Hafiz, dia belum memulakan sebarang rundingan dengan mana-mana kelab, kerana masih mempunyai kontrak dengan BAM dan hanya bersedia untuk membuka rundingan sebaik kontraknya tamat pada 1 Februari ini. Sambil berterima kasih kepada budi bicara BAM yang telah melepaskannya dengan cara baik, Hafiz berjanji akan menyumbang kudrat kepada Malaysia setakat yang termampu jika diperlukan pada kejohanan utama seperti Piala Thomas, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan SEA. "Saya berterima kasih kepada BAM kerana mereka banyak menolong saya, malah memberi tempat kepada saya dalam skuad kebangsaan. Mereka juga banyak memberi pendedahan kepada saya dan hari ini mereka melepaskan saya dengan cara baik. "Saya gembira kerana semuanya berakhir dengan baik. Ia bagus untuk BAM dan bagus untuk diri saya. Saya tetap sedia untuk menyarung jersi Malaysia jika diperlukan, terutama dalam kejohanan berpasukan. Dulu ketika masih di Nusa Mahsuri pun saya tiada masalah untuk beraksi buat negara, jadi tiada bezanya dengan sekarang," ujar Hafiz. BAM dalam mesyuarat majlis semalam memutuskan untuk melepaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu tanpa sebarang syarat, biarpun Hafiz masih memiliki kontrak sehingga Sukan Olimpik London 2012. Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh berkata, jasa yang pernah ditabur Hafiz, selain permohonan cara baik yang dikemukakan, menyebabkan badan badminton negara itu tiada masalah untuk melepaskannya. "Hafiz sangat berterus terang, dia amat bekerjasama dengan kami, malah telah banyak berjasa dan berkhidmat kepada negara. Kami menerima permohonannya untuk meninggalkan skuad kebangsaan tanpa sebarang syarat," kata Nadzmi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |