Utusan Online - Sukan |
Posted: Jacqueline juara dunia!Oleh TAN MING WAI Jacqueline Jenelee dijulang rakan sepasukan selepas memenangi perlawanan akhir perseorangan Kejohanan Boling Wanita Dunia (WWC) 2011 di Hong Kong semalam. KUALA LUMPUR - Lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang gah dikibarkan di bumi Hong Kong, semalam mengiringi kejayaan Jacqueline Jenelee Sijore meraih pingat emas acara perseorangan pada Kejohanan Boling Wanita Dunia (WWC) 2011, sekali gus memberikan permulaan cemerlang bagi kem negara pada temasya dwitahunan itu. Kejayaan sensasi Jacqueline, 19, yang beraksi sebagai muka baru mengulangi pencapaian rakan sepasukan, Esther Cheah yang menjuarai acara sama, juga menerusi penampilan sulung pada edisi 2005 di Aalborg, Denmark. Turun menentang jaguh Korea Selatan, Son Yun-Hee pada perlawanan akhir, tidak menghalang Jacqueline daripada menghayun penuh yakin untuk mencatat kemenangan 266-217. Pemain kelahiran Sarawak itu terdahulu menyekat kemaraan pilihan pertama dari Singapura, Shayna Ng 246-214, pada separuh akhir. Shayna dan pemain Denmark, Mai Ginge Jensen yang tewas kepada Yun-Hee dalam satu lagi pertembungan separuh akhir, masing-masing berpuas hati dengan pingat gangsa. Bercakap selepas melakar kejayaan itu, Jacqueline berkata, dia menikmati kegembiraan berganda kerana bukan sahaja impiannya bergelar juara dunia direalisasikan, malah yang lebih penting mengharumkan nama negara dengan kilauan emas pertama. "Saya hilang kata-kata... Saya langsung tidak jangka dapat capai impian menjadi juara dunia dalam tempoh yang begitu singkat. "Saya berasa tenang dan yakin sepanjang masa dengan adanya bimbingan jurulatih Holloway (Cheah), segala-galanya memihak kita hari ini. "Namun, perjuangan belum selesai, masih ada beberapa acara lagi selepas ini. Saya dan rakan-rakan sepasukan akan cuba sedaya upaya menghasilkan lagi tambahan pingat untuk negara," katanya yang melakukan lapan strike berturut-turut dari frame keempat sehingga ke-11 untuk mengesahkan kejuaraan, semalam. Kejayaan Jacqueline bergelar juara dunia pada usia semuda ini, semakin menyerlahkan kemampuannya pada peringkat antarabangsa, meskipun baru sahaja dinaikkan status dari skuad pelapis elit yang dibubarkan awal tahun ini. Dia membuktikan dirinya tidak gugup berdepan sekumpulan pencabar bertaraf dunia terutamanya pemain pro dari Amerika Syarikat, Eropah mahupun gergasi Asia, Korea Selatan. Selain Jacqueline, turut beraksi ialah Zandra Aziela Ibrahim Hakimi yang menamatkan saingan pada tempat ke-14, diikuti Zatil Iman Abdul Ghani (ke-29), Esther Cheah (ke-46), Sharon Koh (ke-62) dan Sin Li Jane (ke-92). Acara perseorangan menampilkan aksi seramai 171 pemain dari 33 buah negara. Kejohanan diteruskan dengan acara beregu hari ini dan Holloway meletakkan percaturan menggandingkan Sharon Koh-Zatil Iman, Esther Cheah-Zandra Aziela dan Li Jane-Jacqueline. |
Posted: Zakry-Fairuz sertai KLRCOleh TAN MING WAI MOHD. Zakry Latiff (kanan) dan Mohd. Fairuzizzuan Tazari menunjukkan jersi sambil bergambar bersama Pengarah Urusan KLRC, Andrew Kam pada Majlis Rumah Terbuka KLRC di KL Hilton, semalam. KUALA LUMPUR - Bekas beregu badminton kebangsaan, Mohd. Zakry Latif dan Mohd. Fairuzizuan Tazari menyuntik nafas baru dalam karier mereka apabila menyertai kelab profesional, KLRC, semalam. Mereka sebelum ini mengejutkan arena badminton negara dengan keputusan meninggalkan skuad kebangsaan selepas 15 tahun bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 20 Oktober lalu. Bagaimanapun, Mohd. Zakry dan Mohd. Fairuzizuan menegaskan bahawa keputusan menjadi warga KLRC dibuat hanya selepas mendapat kebenaran meninggalkan BAM dan ia juga bukan satu tindakan yang dilihat sengaja menentang badan induk badminton negara itu. "Sebagai pemain bebas, kami memilih KLRC kerana sedar kelab ini dapat membantu kami mengembalikan prestasi sebenar dan yang lebih penting memakbulkan impian kami beraksi di Olimpik tahun depan. KLRC sememangnya destinasi terbaik selepas BAM. "KLRC akan membiayai segala kos kami keluar bertanding seperti tiket penerbangan dan penginapan. Kami ada mendapat beberapa lagi tawaran luar tetapi tidak menarik dan kurang lengkap," kata Fairuzizuan kepada media di majlis rumah terbuka KLRC di Hotel Hilton, semalam. Jelas Mohd. Zakry, dia kini hanya memiliki masa lapan bulan untuk mengumpul mata kelayakkan Olimpik dan akan memulakan perjuangan baru bersama pasangannya itu di Grand Prix Emas Indonesia di Kalimantan, hujung bulan ini. Jika penyertaan Mohd. Zakry dan Mohd. Fairuzizuan tidak begitu mengejut, malah mungkin dapat diduga kebanyakan pihak, bagaimana pula kepulangan Razif sebagai jurulatih badminton dan berkemungkinan besar mendapat tawaran melatih di KLRC. Ketika ditemui semalam, Razif mengakui kedua-dua pemain itu ada datang berjumpa dengannya selepas keluar BAM dan meminta padangan. "Setakat ini saya tidak pasti Zakry-Fairuz inginkan saya jadi penasihat, jurulatih atau mentor, namun kalau mereka inginkan saya menjadi jurulatih dan diperlukan mengikut mereka bertanding di luar negara, saya sedia membantu walaupun tanpa sebarang bayaran atau gaji. "Saya masih mempunyai keghairahan terhadap badminton. Saya ingin menolong kedua-dua mereka layak ke Olimpik. "Juga ingin ditegaskan bahawa bantuan yang saya hulurkan kepada Zakry-Fairuz bukan kerana marah dengan BAM yang dahulu tidak melayan tawaran saya kembali melatih, tetapi adalah kerana saya mahu terlibat bantu pembangunan badminton negara," ujarnya. Dalam pada itu, Pengarah KLRC, Datuk Seri Andrew Kam berkata, dia sedia membuka pintu untuk perbincangan dengan Razif yang disifatkannya sebagai seorang yang berkemampuan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |