'KOM tidak ikut peraturan''KOM tidak ikut peraturan'
Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my
(DARI kiri) Norjannah, Siti Zubaidah, Nurul Sarah dan Yi Ling antara enam atlet olahraga negara yang 'melarikan diri' daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu.
|
ISU kontroversi membabitkan enam atlet olahraga negara yang 'melarikan diri' daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu kini kembali hangat.
Ia berikutan pendedahan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi semalam.
Menurut Kok Chi, MOM mendapati hukuman yang dikenakan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke atas keenam-enam atlet terbabit tidak mengikut peraturan Agensi Antidoping Dunia (WADA).
Katanya, mengikut peraturan WADA, atlet yang terlibat perlu dikenakan hukuman penggantungan selama setahun dan bukan sekadar memberikan amaran keras seperti mana yang diputuskan oleh KOM.
Justeru, MOM telah menghantar satu laporan khas berhubung isu tersebut kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada April lalu untuk mendapatkan penjelasan, selain mahu badan induk dunia itu menilai tindakan sewajarnya yang harus dikenakan ke atas keenam-enam atlet terlibat.
"Perkara ini tidak ada kena-mengena sama ada atlet yang terlibat didapati positif atau negatif.
"Tetapi ia disebabkan tindakan mereka yang dilihat salah apabila 'melarikan diri' daripada menjalani ujian antidoping.
"Mengikut peraturan WADA, melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping adalah salah.
"Hukuman yang dikenakan KOM ke atas enam atlet tersebut juga masih belum jelas.
"Cuma MOM hanya dimaklumkan yang jurulatih terlibat telah dikenakan penggantungan selama setahun.
"Enam atlet yang terlibat pula hanya dikenakan amaran keras oleh KOM," kata Kok Chi ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara MOM dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) di pejabat MOM di Kuala Lumpur semalam.
Pada 24 Mei tahun lalu, enam atlet pecut negara, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd. Imran Abd Hadi telah 'melari- kan diri' daripada menjalani ujian antidoping di Institut Sukan Negara (ISN).
Lantaran itu, KOM telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan pada September tahun lalu bagi mengetahui punca sebenar berhubung masalah tersebut.
Jawatankuasa itu telah diketuai oleh Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai.
Ditanya apakah tindakan yang boleh diambil MOM jika IAAF mendapati KOM telah melanggar peraturan dengan tidak mengenakan tindakan yang sewajarnya ke atas keenam-enam atlet terbabit, Kok Chi berkata:
"Kita tunggu dahulu jawapan yang akan diberikan oleh IAAF.
"Meskipun semua pihak sedang sibuk dengan Sukan Olimpik 2012 tetapi MOM akan cuba menghantar surat untuk mendapatkan maklum balas daripada IAAF secepat mungkin."