Utusan Online - Sukan |
Posted: Pahang lebur rekod Kelantan
KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Kelantan akhirnya lebur di tangan pasukan jiran, Pahang selepas tumpas 2-0 di Stadium Darul Makmur, semalam. Tok Gajah yang langsung tidak diberi sebarang harapan untuk mengalahkan Red Warrios mengejutkan pelawat dengan memberi tentangan sengit kepada anak-anak buah Datuk M. Karathu. Hasilnya, penyerang Pahang, R. Surendran menggegar gawang Kelantan dengan tandukan cantik pada minit ke-43 bagi meletakkan tuan rumah di depan sebelum separuh masa pertama tamat. Mohd. Faizol Hussin melengkapkan kemenangan bergaya Pahang apabila rembatannya pada penghujung perlawanan gagal memastikan Kelantan balik ke Kota Bharu dengan berputih mata. Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, nasib malang Negeri Sembilan berterusan apabila kalah 1-2 kepada Selangor walaupun mendahului menerusi penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-10. Selangor bangkit pada separuh masa kedua apabila kaptennya, Amri Yahyah memberikan gol penyamaan pada minit ke-60 sebelum Safiq Rahim menambah derita jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan dengan tandukan cantik pada minit ke-78. Kedah pula mencapai kemenangan pertama di bawah bimbingan jurulatih sementara, Radhi Mat Din apabila mengatasi Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman biarpun ketinggalan terlebih dahulu hasil sepakan voli pemain tengah pelawat, Reshafiq Alwi pada minit ke-30. Skuad Kenari memilih separuh masa kedua untuk bangkit selepas mendapat dua jaringan dalam tempoh empat minit menerusi Khyril Muhymeen pada minit ke-63 Firdaus Fauzi pada minit ke-67. Di Stadium Utama, Kangar, Felda United terus mencuri tumpuan apabila menjinakkan pasukan tangga tercorot, Perlis 2-0 untuk naik ke tangga kedua Liga Super dan berkongsi mata bersama Kelantan. T-Team pula mengikat Perak 0-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, manakala perlawanan antara Sabah dan Harimau Muda A ditunda ekoran hujan lebat. | ||
Zakry, Hoon mula tunjuk potensi Posted: Zakry, Hoon mula tunjuk potensi
KUALA LUMPUR - Ketika jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuktikan keunggulan dengan melangkah ke separuh akhir All England, gandingan, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How pula akhirnya menyerlahkan potensi sebenar mereka pada kejohanan badminton tertua di dunia itu sekalipun tersingkir di suku akhir, kelmarin. Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong masing-masing mengetepikan pencabar hebat untuk meneruskan kemaraan pada ketika Zakry-Thien How pula memberi tentangan sengit kepada beregu No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark sebelum tumbang 19-21, 18-21. Pada suku akhir kelmarin, Chong Wei yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan langsung tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana 21-15, 21-17 dalam masa 30 minit bagi menempah pertemuan separuh akhir dengan pemain muda China, Chen Long. Juara All England 2007, Kien Keat-Boon Heong pula memulihkan kembali reputasi yang semakin diragui apabila menumbangkan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 23-25, 21-11, kemenangan yang menemukan mereka dengan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun di separuh akhir. Biarpun tumpuan tidak dapat lari daripada dua sandaran utama negara ini, namun kebangkitan yang dipamer Zakry-Thien How cukup menarik perhatian, pada ketika Malaysia tercari-cari pasangan untuk menemani Kien Keat-Boon Heong beraksi pada Kejohanan Dunia di London, Ogos ini, selain Temasya Olimpik London 2012. Zakry-Thien How terpaksa meniti dari bawah kerana hanya digandingkan pertengahan tahun lalu, malah memulakan kempen All England dari kelayakan. Pasangan ini mengejutkan pilihan ketujuh, Fang Chieh-min-Lee Sheng-mu dari Taiwan 21-14, 21-19 dalam aksi pembukaan, sebelum menumpaskan beregu Jepun, Endo Hiroyuki-Kenichi Hayakawa 12-21, 21-14, 21-19 di pusingan kedua. "Memang mengecewakan gagal ke separuh akhir pada ketika kami sudah begitu hampir, namun dari aspek lain, saya dan Hoon cukup gembira dengan prestasi keseluruhan kami pada kejohanan ini kerana ia jelas semakin meningkat dan meyakinkan. "Saya harap sangat kami diberi lebih banyak peluang untuk meneruskan momentum, mungkin menyertai lebih banyak kejohanan dan mengukuhkan kedudukan. Sekarang ini sukar hendak cakap tentang peluang layak ke Kejohanan Dunia, tetapi saya melihat harapan masih ada dan 50-50,'' ujar Zakry. Menurut Zakry, dia tidak pasti apakah kejohanan antarabangsa yang akan disertai selepas ini kerana semua terpulang kepada perancangan jurulatih, namun yang pasti dia akan beraksi pada kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Alor Setar, Kedah pada 3-8 Mei ini. Zakry dan Thien How terpaksa menempuh kempen yang sukar jika mahu layak ke Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik memandangkan mereka hanya digandingkan pertengahan tahun lalu dan terpaksa menapak dari ranking yang rendah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik. Pasangan itu kini berada di tangga ke-46 dunia. Gandingan ini perlu berada dalam kelompok 24 terbaik dunia menjelang April ini untuk layak ke Kejohanan Dunia. Ketika ini, hanya Kien Keat-Boon Heong berada pada kedudukan selesa (ranking kelima), manakala Gan Teik Chai-Tan Bin Shen berada di tangga ke-16, diikuti Teo Kok Siang-Goh Wei Shem - 22. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |