Utusan Online - Sukan |
Posted: Strategi serampang dua mataOleh FERZALFIE FAUZI Sintang utama Chelsea, John Terry (kanan) dan Frank Lampard (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan menyertai sesi latihan pasukan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. - AP KUALA LUMPUR - Pertemuan menentang Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok akan digunakan sepenuhnya oleh jurulatih, Ong Kim Swee untuk menguji kesemua pemain skuad Olimpik dan beberapa bekas pemain kebangsaan. Menurut Kim Swee, pendekatan yang akan digunakan pada pertemuan dengan kelab London itu ialah meletakkan pemain senior sama ada bekas pemain kebangsaan atau pemain yang pertama kali beraksi dalam skuad kebangsaan dalam separuh masa pertama manakala pemain skuad Olimpik pada babak berikutnya . "Berdasarkan pengamatan saya ketika skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool sebelum ini, kedua-dua pasukan Liga Perdana England (EPL) tersebut meletakkan pemain muda mereka pada separuh masa pertama sebelum menurunkan pemain utama pada separuh masa kedua," katanya kepada para pemberita di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam. Jelasnya, percaturan tersebut adalah untuk membolehkan pemain senior yang rata-rata pernah beraksi bersama skuad kebangsaan membuktikan kebolehan mereka bersaing dengan pemain muda Chelsea, sekurang-kurangnya bagi mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal. "Bagi skuad Olimpik pula inilah peluang terbaik mereka bersaing dengan pemain senior Chelsea yang kebanyakannya ialah pemain kebangsaan negara masing-masing seperti John Terry (England), Fernando Torres (Sepanyol), John Obi Mikel (Nigeria) dan Frank Malouda (Perancis). "Selain itu pemain skuad Olimpik ini juga boleh mendapat kata-kata semangat dan belajar daripada sembilan pemain senior yang saya senaraikan sebagai persediaan terbaik mereka menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang bermula September ini," katanya. Antara pemain senior yang dipanggil Kim Swee ialah Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Joseph Kalang Tie, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Farizal Marlias, Shahrulnizam Mustapa dan Amri Yahyah. "Kalau boleh saya memang hendak memberi peluang semua pemain bawah 23 tahun termasuk mereka yang dipanggil daripada pasukan negeri dan kelab, selain pasukan saya sendiri Harimau Muda A untuk beraksi menentang Chelsea kerana ini adalah peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman," katanya. Pemain bawah 23 tahun pasukan negeri dan kelab yang disenaraikan Kim Swee adalah Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Azrul Azmi (Felda United), Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Azrif Nasrulhaq (PKNS), Nazmi Faiz dan Syazwan Tajuddin (Harimau Muda B). Selepas ini kesemua lapan pemain tersebut akan bergabung dengan 15 pemain skuad Harimau Muda A yang dijadual menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Slovakia selama sebulan bagi persiapan menjelang perlawanan kelayakan Olimpik peringkat kumpulan. Antara 15 pemain Harimau Muda A ialah Shukor Jusoh, Gary Steven Robbat, Amer Saidin, Affize Faisal Mamat, Fandi Othman, Ferris Daniel Mat Nasir, Irfan Fazail, Izham Tarmizi, Zamir Selamat, K. Sasikumar, Syahrul Azwari Ibrahim, A. Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Mereka akan berlepas ke Slovakia pada Jumaat ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Hairuddin imbau kenangan 2003KUALA LUMPUR - Berjaya menandingi pertahanan Chelsea, John Terry dan menanduk masuk sepakan sudut Rosdi Talib pada minit ke-40 dalam saingan Piala Liga Perdana England Asia 2003 memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar. Esok, pemain kelahiran Setiu, Terengganu berkenaan dijangka bertemu semula dengan pemain antarabangsa England itu (Terry), bukan buat kali kedua tetapi kali ketiga selepas kali terakhir ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Chelsea di Stadium Shah Alam pada 2008. Menurut pemain berusia 31 tahun itu, bertemu semula Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sempena Jelajah Asia pra musim, esok menaikkan semula semangat Hairuddin yang dipilih dalam skuad Pilihan Malaysia bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee. "Saya gembira diberi peluang beraksi semula bersama pasukan Malaysia walaupun bergabung dengan skuad Olimpik, ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya bukan sahaja dapat beraksi menentang Chelsea tetapi menyertai sebuah skuad yang mempunyai pemain muda yang bagus," katanya ketika ditemui media selepas latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) dekat sini, semalam. Jelasnya, jika diturunkan oleh Kim Swee dia berjanji akan beraksi dengan baik tetapi tetap merasakan sukar untuk mengulangi pencapaian 2003 menjaringkan gol tunggal negara pada ketika itu selepas tewas 1-4. "Kami akan cuba memberi tentangan kerana Chelsea bukan calang-calang pasukan kerana dibarisi pemain hebat, tetapi jika dapat menjaringkan gol dan menewaskan penjaga gol, Petr Cech ia boleh dianggap bonus buat saya. "Saya juga merasakan skuad kali ini berbeza berbanding pasukan 2003 yang ketika itu Chelsea di bawah bimbingan Claudio Ranieri dengan mengharapkan pemain seperti Jimmy Floyd Hasselbaink, Boudewijn Zenden berbeza dengan sekarang apabila mereka dibarisi Didier Drogba, Fernando Torres dan Cech," katanya. Hairuddin juga berjanji akan memberi persembahan terbaik jika dia digandingkan bersama pemain Selangor, Amri Yahyah berikutan di dalam latihan jurulatih banyak menggunakan gandingan tersebut di bahagian serangan. "Bagaimanapun saya tidak terfikir untuk dipilih semula dalam skuad kebangsaan bimbingan jurulatih, Datuk K. Rajagobal, kerana pasukan itu sudah mempunyai pemain tetap yang sudah serasi berganding bersama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |