Utusan Online - Sukan |
Posted: Rombak benteng jika mahu maraOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
SINGAPURA - "Buat perubahan drastik pada bahagian pertahanan jika mahu layak ke peringkat seterusnya". Itu amaran Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas Malaysia kalah 3-5 kepada Singapura kelmarin. Jelasnya, jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal harus melakukan perubahan drastik ekoran aksi buruk bahagian pertahanan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu kelmarin. "Pertahanan kita terlalu lemah dan banyak memberikan ruang kepada lawan terutamanya gol kelima Singapura melalui Aleksandar Duric. Ia menyerlahkan kegagalan pertahanan kita mengunci pemain lawan. "Malahan dua gol padang yang diperolehi Singapura juga berpunca daripada barisan pertahanan yang tidak jitu dan tidak dapat membaca dengan baik gerakan bola pihak lawan. "Jurulatih (Rajagobal) harus memperbaiki masalah bahagian pertahanan yang saya fikir semua orang sudah nampak semenjak perlawanan menentang Taiwan lagi. Itu pun nasib baik kita mampu mara atas peraturan gol di tempat lawan. "Saya hanya lihat Safee Sali, Asraruddin Putra Omar dan S. Kunanlan sahaja beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut, " katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam. Bukan sekadar pertahanan, beliau juga mahu melihat penjaga gol utama kembali diisi Khairul Fahmi Che Mat, selepas Sharbinee melepaskan lima gol kepada lawan. "Kalau boleh dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti saya berpendapat penjaga gol, Khairul Fahmi harus diletakkan sebagai penjaga gol utama. "Dengan adanya Khairul Fahmi, saya fikir keyakinan pemain terutamanya di bahagian pertahanan mampu dipulihkan dalam usaha mencari kemenangan berharga di tempat sendiri, " katanya. Hamidin juga menyeru para pemain skuad kebangsaan agar jangan lagi dibuai mimpi dengan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu, kerana situasi berdepan dengan Singapura pada Kelayakan Piala Dunia adalah satu perkara yang berbeza. "Kita tidak berjumpa dengan Singapura dalam perjalanan kita menjuarai Piala Suzuki AFF, jadi kita tidak boleh terlalu mendabik dada kononnya kita hebat dan boleh menewaskan mana-mana pasukan. "Jadi, berikan fokus seratus peratus pada perlawanan kedua nanti , jangan hanya bersikap terlalu yakin, " jelasnya. Begitupun, Hamidin tetap yakin Harimau Malaya pasti boleh menggegar di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini, jika semangat pemain tidak luntur dalam usaha menebus aib kalah kepada Singapura. "Peluang mara masih ada, seandainya para pemain beraksi seperti mana yang telah mereka lakukan pada peringkat separuh akhir dan akhir Piala Suzuki AFF, saya rasa kita boleh layak ke pusingan seterusnya," katanya. Buat masa ini, pertahanan negara yang dibarisi Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli sementara Mohd. Aidil Zafuan direhatkan kerana mengalami kecederaan. Pilihan yang ada pada bahagian simpanan ialah Mohd. Rizal Fahmi Ab.Rosid, Azmi Muslim dan Helmi Remeli. Rajagobal masih boleh memanggil beberapa pemain senior seperti Norhafiz Zamani Misbah dan S. Subramaniam untuk diserapkan dalam skuad sebagai pilihan terakhir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Kejaguhan Thailand masih sukar ditandingi Posted: Kejaguhan Thailand masih sukar ditandingiPemain pasukan lelaki dan wanita Thailand meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia Pertama di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR - Dendam kekalahan pada Sukan Asia 2010 terus berpanjangan dan Thailand kian bermaharajalela malah bergelar juara sulung Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 setelah menumpaskan Malaysia 3-0 dalam perlawanan akhir, semalam. Skuad Gajah Putih itu cuma memerlukan kurang sejam untuk menghampakan anak buah Jamaluddin Hassan 15-4, 15-6, 15-11 di Stadium Titiwangsa dengan kebanyakan mata begitu mudah diperoleh akibat kegagalan servis tekong lawan. Membariskan Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (pelibas) dan Farhan Adam (pengumpan), tuan rumah seakan-akan bukan tandingan Thailand yang hanya menurunkan regu kedua, Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee. Perjudian berani Jamaluddin apabila menukar Noor Azman yang servis kerap terkandas dengan Syazwan Husin dalam set kedua pada kedudukan 2-6 masih gagal mengubah nasib malang regu negara yang ditinggalkan jauh 2-8, 3-10, 4-12 sebelum ditamatkan dengan 6-15. Hanya set ketiga mampu menyaksikan sedikit tentangan tuan rumah namun musuh tradisi yang diterajui Kamol Tankimhong tetap mahu menamatkan pertarungan lebih cepat dengan memasukkan tekong utamanya, Kriangkrai Kaewmian bagi mendapatkan mata mudah. Tampanan kemas Pornchai, pelibas berpengalaman tiga Sukan Asia sejak 2002 terhadap libasan Norshahruddin yang mematahkan serangan dan semangat Malaysia turut membantu Thailand mara jauh sekali gus mengaut ganjaran juara, AS$8,000 (RM24,000). Cuma sekali dua servis Syazwan mampu menghasilkan mata terus dan selebihnya, ia terlalu mudah disambut, dipatahkan dan dimatikan lawan yang turut memiliki lonjakan pelibasnya yang jauh lebih tinggi dan sukar diadang. Kekalahan regu negara yang sekadar meraih AS$4,000 (RM12,000) ada kaitannya dengan laluan percuma ke pusingan kedua ini malah sekadar menempuh lawan yang kurang handal seperti Taiwan, Filipina (suku akhir) dan Singapura (separuh akhir, beberapa jam sebelumnya). Tempoh rehat dua hari sejak kejohanan membuka tirainya Khamis lalu, gagal dimanfaatkan tuan rumah malah aksi Myanmar yang turut disekat Thailand 11-15, 7-15, 7-15 dalam satu lagi separuh akhir, didapati lebih baik sementara kita sekadar menundukkan Singapura 15-7, 15-13, 15-4. Namun kekalahan ini tetap menjamin kelayakan Malaysia ke Siri Super di Bangkok mulai September ini termasuk skuad wanita bimbingan Md. Fikri Md. Nor yang disekat pilihan kedua kejohanan, Vietnam 1-3 (5-15, 15-12, 4-15, 11-15) dalam tempoh 38 minit separuh akhir. Juara kategori wanita Piala Dunia 2011 turut menjadi milik Thailand yang bersandarkan pemain muda tetapi tidak menghadapi masalah besar untuk menewaskan Vietnam 15-7, 15-12, 15-9 dalam perlawanan akhir setelah mengatasi China pada satu lagi separuh akhir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |