Mencari permata di kolam renangMencari permata di kolam renang
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my
ROZI (berdiri, dua dari kiri) memerhatikan sesi pemilihan ketika Program Mengenalpasti Bakat Sukan Renang sempena pembukaan semula Kompleks Akuatik Negeri Terengganu semalam.
MELETAKKAN objektif untuk menjadi kuasa baru sukan tanah air, Terengganu sememangnya tidak pernah duduk diam untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam pelbagai acara sukan.
Lihat sahaja betapa berkuasanya negeri dari Pantai Timur itu di lapangan sukan berbasikal.
Setiap ceruk lebuh raya sudah ditawan menerusi barisan pelumba bertaraf dunia seperti Anuar Manan dan Mohd. Hariff Salleh.
Malah, keunggulan pecutan Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa di veledrom berbasikal juga cukup digeruni lawan dari serata dunia.
Tidak ketinggalan di arena olahraga dan nama Nazmizan Muhammad pasti diingati dengan rekod dua pingat emas acara pecut di Sukan SEA 2003 di Vietnam. Begitu juga dengan kejaguhan Adi Aliffudin. Atlet berbadan besar ini masih menjadi taruhan negara dalam acara lontar peluru.
Semua catatan sejarah itu cukup indah untuk diceritakan. Namun, hakikat yang pasti, kejayaan oleh anak-anak Terengganu itu terhasil daripada pembangunan sukan yang tersusun.
Justeru itu, Terengganu dengan status sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) edisi 2008 dan 2010 kini mahu melebarkan penguasaannya.
Kali ini, negeri yang sinonim dengan gelaran Sang Penyu itu mula berjinak-jinak untuk mencari jaguh di kolam renang.
Sebagai langkah pertama, kerajaan negeri menerusi Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) telah mengadakan Program Mengenalpasti Bakat (TID) Sukan Renang di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Batu Burok semalam.
Program sehari yang mensasarkan perenang cilik berusia lima hingga 14 tahun ini menjadi platform kepada agenda Terengganu untuk menyingkirkan Sarawak dan Selangor sebagai kuasa di kolam renang.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat sendiri mengakui betapa ruginya negeri ini andai gagal mengaut sebanyak mungkin pingat di kolam renang.
"Salah satu cara untuk kita pertahankan kejuaraan Sukma adalah dengan menguasai kolam renang kerana di sinilah jumlah pingat paling banyak ditawarkan.
"Kita juga tidak boleh sepenuhnya kepada acara-acara seperti kenu dan berbasikal. Untuk menjadi kuasa sukan tanah air, kita perlu menawan semua acara termasuklah acara di kolam renang," kata Rozi ketika merasmikan program tersebut semalam.
Melihat kepada rekod Terengganu di kolam renang, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Malah, kejayaan meraih tiga emas, dua perak dan satu gangsa di temasya Sukma 2008 hadir menerusi perenang 'import', Carmen Ooi.
Selepas temasya itu, Terengganu tiba-tiba dilanda musibah besar dengan penutupan Pusat Akuatik MBKT gara-gara masalah teknikal ekoran kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan pada 2009.
Kesannya, pasukan renang Terengganu terpaksa pulang kosong dari temasya Sukma 2010 di Melaka sekali pun muncul juara keseluruhan.
"Kita sedar antara faktor kegagalan kita melahirkan bakat-bakat di Terengganu adalah disebabkan masalah teknikal termasuk tiadanya kemudahan latihan yang baik.
"Kini, semuanya telah kembali pulih apabila pusat akuatik ini dibuka semula dan saya mahu persatuan mengambil peluang ini. Kita mempunyai ramai anak-anak yang mahir berenang di laut dan berani terjun di sungai. Mereka inilah yang perlu kita cari," jelas Rozi lagi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT), Dr. Hashim Azmi Che Nor berkata, pasukan renang negeri itu kini hanya mempunyai enam perenang dan mendapat latihan sepenuhnya daripada jurulatih tempatan.
Katanya, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang mempunyai ramai pelapis dalam acara renang, terjun, polo air mahupun renang berirama.
"Program Mengenalpasti Bakat ini adalah permulaan kepada kami walaupun kami sedar ia memerlukan masa yang lama untuk memperoleh hasilnya.
"Kami akan mengumpul sebanyak mungkin bakat-bakat muda untuk diserapkan di bawah kendalian persatuan dan mereka yang terpilih akan didedahkan kepada banyak pertandingan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan," jelasnya.
Tambah Dr. Hashim lagi, pihak persatuan mungkin akan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang jurulatih luar untuk membantu jurulatih sedia ada, Foo Yock Meng bagi melahirkan jaguh renang dari kalangan anak Terengganu.
"Semua peserta yang terpilih dalam Pencarian Bakat ini akan melalui ujian di bawah kendalian jurulatih sebelum mereka diberikan latihan sistematik mengikut kemahiran masing-masing.
"Dalam masa sama, mereka juga akan terlibat dalam kejohanan-kejohanan anjuran persatuan yang akan diadakan setiap bulan selepas ini," jelasnya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.