Mendaki puncak kemasyhuranMendaki puncak kemasyhuran
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
IBU EMAS... Skuad Harimau Muda meraikan kejayaan muncul juara acara bola sepak pada Sukan SEA di Jakarta, Indonesia bulan lalu.
TAHUN 2011 kini hanya menghitung detik-detik terakhir sebelum melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi.
Sepanjang tahun ini, pelbagai suka duka mewarnai skuad bola sepak negara yang dilihat berada di landasan yang tepat untuk kembali dimartabatkan di pentas antarabangsa terutama di Asia Tenggara.
Sedar atau tidak, perjalanan gemilang 'adik dan abang' - skuad Harimau Muda dan Harimau Malaya sepanjang tahun ini bukannya tercipta sebegitu sahaja.
Sebaliknya, ia mengambil masa sejak bertahun lagi dan ia jelas terbukti apabila semakin ramai peminat semakin membanjiri stadium dan mula mengenali nama-nama pemain tempatan, selain berbangga menyarung jersi kebangsaan tidak kira tempat dan waktu ketika ini.
Paling jelas, semakin ramai yang 'pantang dicuit' terutamanya jika pihak media 'mengusik' pasukan kesayangan mereka yang tewas mengejut dalam perlawanan tertentu.
Percaya atau tidak, ia memang satu perkara yang positif dan cukup membanggakan sebenarnya kerana menjadi petanda yang cukup jelas betapa pasukan negara kini kembali bertakhta di hati peminat.
SKUAD HARIMAU MUDA
MENGIMBAU semula warna-warni kejayaan Harimau Muda sepanjang tahun ini, pastinya kemilau emas temasya Sukan SEA yang berjaya dipertahankan di Jakarta, Indonesia November lepas tercatat sebagai kejayaan yang paling membanggakan bagi tahun 2011.
Tanyalah sesiapa sahaja, mungkin tidak ramai yang seberani pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee yang sanggup bertindak 'kamikaze' sebaik mengambil alih 'baton' daripada Datuk K. Rajagobal yang berjaya menamatkan kemarau emas selama 20 tahun di Vientiane, Laos pada dua tahun lepas.
Ternyata, kejayaan menggenggam ibu segala emas di depan jutaan penyokong fanatik Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sememangnya berbaloi meskipun terpaksa ditentukan oleh sepakan penalti, tambahan pula sentimen 'bencikan Malaysia' yang cukup membara di negara itu sejak bertahun lamanya.
Pengalaman terpaksa 'diarak dengan cukup terhormat' dengan menaiki Barracuda pastinya berbekas di hati barisan pemain muda negara terutamanya 'Kapten Marvel', Baddrol Bakhtiar yang pernah berdepan pengalaman yang sama dengan skuad senior pada aksi final Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Malah, kata-kata azimat Kim Swee yang tidak mahu anak-anak buahnya diperbudakkan sebegitu sahaja menjadi 'tonik' yang cukup berkesan buat pasukan negara yang pada mulanya dilihat agak meragukan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pembuka tirai menentang Singapura sebelum itu, rekod yang paling buruk buat Harimau Muda dalam aksi pembukaan temasya Sukan SEA sejak 2001.
Untuk rekod, skuad negara yang tidak pernah gagal mencatatkan kemenangan sulung dalam setiap aksi kumpulan temasya Sukan SEA sejak sedekad lalu.
Pada temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2001, Malaysia menewaskan Brunei 5-0, sementara membelasah Kemboja 8-1 dan 5-0 pada temasya 2003 dan 2005.
Malaysia juga menang 4-0 ke atas Laos pada aksi pembuka tirai temasya Sukan SEA di Korat pada 2007 sebelum membelasah Timor-Leste 11-0 di Laos dua tahun lepas.
PENGALAMAN BERHARGA... Skuad Harimau Malaya diberi peluang mengadakan aksi persahabatan dengan kelab gergasi England, Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil Julai lalu.
Begitupun kali ini, Kim Swee dan anak-anak buahnya tidak lagi menoleh ke belakang apabila kembali bangkit menewaskan Thailand (2-1), Kemboja (3-1) dan Indonesia (1-0) sebelum menjinakkan Myanmar dengan gol tunggal Ahmad Fakri Saarani pada separuh akhir.
"Sultan kamu tidak dihormati, maruah ahli keluarga kamu dipijak-pijak. Jika kita tewas malam ini, bermakna kita bersetuju dengan tindakan rakyat Indonesia."
Demikian lebih kurang bunyinya cabaran yang disuarakan Kim Swee yang jelas disambut anak-anak buahnya dengan penuh sifat 'kejantanan' di pentas final.
Menginjak usia 41 tahun pada 11 Disember lepas, pengendali kelahiran Melaka itu kini tidak ubah bagaikan selebriti apabila cukup dikenali ramai termasuk anak-anak kecil.
Bijak berdepan media serta memiliki karisma sebagai pemimpin, ada usikan nakal daripada pemerhati bola sepak yang berasakan Kim Swee wajar dianugerahkan gelaran Datuk.
Enggan mendabik dada terlalu awal, Kim Swee sebaliknya mahu keikhlasannya mengemudi Harimau Muda tidak disalah-ertikan mana-mana pihak.
"Saya bukan bekerja untuk mengejar pangkat. Saya ikhlas bekerja dan jangan panggil saya Datuk, segan saya," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Apa yang pasti, kejayaan Harimau Muda di Jakarta dilihat menutup terus 'mulut' pengkritik yang sebelum ini memperlekehkan usaha anak-anak buah Kim Swee 'berguru' di Slovakia termasuk menyertai kejohanan jemputan Piala VFF di Vietnam awal Oktober lalu.
Lebih manis, skuad kendalian Kim Swee juga menutup tirai 2011 dengan penuh bergaya sepanjang menjalani latihan di Australia baru-baru ini apabila menewaskan Sydney FC 3-0 serta kembali bangkit membelasah Central Coast Mariners 4-1 selepas dijinakkan pasukan yang sama dengan keputusan 0-1 sebelum itu.
Begitupun, 'langit tidak selalunya cerah'. Kecemerlangan anak buah Kim Swee yang cemerlang di temasya Sukan SEA begitupun sedikit 'tercalar' apabila masih belum dapat mencatatkan sebarang kemenangan bagi aksi kelayakan Kumpulan C temasya Olimpik Zon Asia setakat ini.
Selepas berjaya membenam Pakistan dan Lubnan pada dua pusingan terdahulu, impian Harimau Muda sebagai pasukan tunggal dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan akhir kelayakan ternyata belum cukup untuk menghadirkan gerun di hati Gergasi Asia, Jepun apabila tewas 0-2 dalam aksi pertama kumpulan.
Kepadatan jadual perlawanan yang selang dua sehari daripada aksi final Sukan SEA ternyata menjejaskan prestasi Harimau Muda yang terpaksa akur apabila tewas 0-2 kepada Syria selepas itu.
Paling memeritkan, mereka seolah-olah belajar erti sebenar bola sepak apabila dijinakkan Bahrain dengan keputusan 2-3 meskipun selesa mendahului dua gol sebelum itu, satu keputusan yang cukup 'pelik bin ajaib' dan sukar diterima.
Yang pasti, 'arang yang tercalit' di muka setiap pemain Harimau Muda harus segera ditebus apabila kembali membuat perhitungan dengan ketiga-tiga pasukan itu awal tahun depan.
Tunjukkan kepada mereka kekalahan kita tempoh hari hanyalah gara-gara faktor keletihan.
Dalam masa sama, pengalaman beraksi selama empat musim di Liga Singapura bermula Februari tahun depan juga dilihat sebagai medan terbaik membentuk perancangan jangka panjang bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar (2013) dan juga Sukan Asia di Korea Selatan pada 2014 nanti.
SKUAD HARIMAU MALAYA
LANGKAH hebat skuad senior pada tahun ini tidak serancak 'adik' mereka - Harimau Muda setelah ditunjukkan jalan keluar daripada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 pada Julai lalu.
Membuka tirai 2011 dengan memegang reputasi selaku juara Piala AFF Suzuki setelah membenam Indonesia dengan agregat 4-2 tahun lepas, kegagalan Harimau Malaya untuk mara lebih jauh pada saingan itu mula menerbitkan 'kata-kata sumbang' pemerhati bola sepak yang mempersoalkan kredibiliti Rajagobal termasuk mendesak jurulatih itu meletakkan jawatan.
Mungkin, kejayaan pada Sukan SEA dan Piala AFF sebelum ini disifatkan hadir 'terlalu awal' buat Rajagobal yang begitupun tidak mudah melatah dengan provokasi negatif sedemikian.
Memulakan aksi tahun ini dengan cukup cemerlang apabila menewaskan Hong Kong 2-0 sebelum seri 1-1 dengan kelab Perancis, Etoile FC bagi aksi persahabatan, detik cemas Harimau Malaya bermula apabila terikat dengan agregat 4-4 dengan pasukan China Taipei pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun lalu.
Terlebih dahulu menang 2-1 di tempat sendiri, Harimau Malaya tiba-tiba dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tempat lawan, namun masih terselamat daripada ditunjukkan jalan keluar lebih awal apabila layak ke pusingan kedua hasil peraturan gol di tempat lawan.
'Malapetaka' pasukan negara akhirnya dijelmakan seteru utama, Singapura yang menewaskan Malaysia dengan agregat 4-6 pada pusingan kedua pada Julai lepas.
Apa tidaknya, jutaan peminat fanatik bola sepak tempatan pasti belum dapat melupakan kekalahan memilukan itu menerusi enam gol jaringan Alexandar Duric (dua gol), Qiu Li, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak dan Shi Jia Yi.
Kekok beraksi di atas padang tiruan juga ternyata menyaksikan benteng pertahanan negara begitu rapuh apabila tewas 3-5 di Stadium Jalan Besar sebelum sekadar seri 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Ada yang beranggapan betapa Harimau Malaya masih dibuai mimpi indah sehingga 'terlupa' misi sebenar untuk beraksi lebih jauh pada saingan Piala Dunia 2014 apabila berpeluang berdepan gergasi Liga Perdana England menentang Arsenal dan Liverpool pada aksi Pra-Jelajah Asia di bulan yang sama. Mereka tewas 0-4 dan 3-6 dalam kedua-dua perlawanan itu.
Rentetan kekalahan Harimau Malaya di pentas antarabangsa juga tidak berakhir di situ apabila dibelasah 0-5 oleh Australia sebelum seri 1-1 dan tewas 2-3 kepada India dalam siri perlawanan persahabatan selepas itu.
'Mendung tidak bererti hujan', kesungguhan Rajagobal mengadakan banyak perlawanan persahabatan berstatus A sepanjang tahun ini sebenarnya wajar dipuji dan ternyata berbaloi apabila melonjak tujuh anak tangga ke tangga ke-155 berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan FIFA pertengahan Disember lalu.
Biarpun masih terlalu jauh dengan pencapaian terbaik negara yang pernah menduduki ranking ke-75 dunia pada tahun 1993, sekurang-kurangnya ia menunjukkan kita masih antara pencabar utama di peringkat Asia Tenggara.
"Daripada awal, saya telah katakan bahawa layak atau tidak ke pusingan ketiga Piala Dunia, perancangan pasukan tetap perlu diteruskan mengikut sasaran utama kita layak ke pusingan akhir Piala Asia.
"Tetapi ramai yang tidak faham. Siapa yang mahukan kekalahan. Jangan buat rumusan hanya berdasarkan satu perlawanan.
"Kita baru mahu bangkit selepas menang Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010. Kita kena terima hakikat, kita perlu naik dari satu peringkat ke satu peringkat," jelas Rajagobal sebelum ini.
Biarpun ramai menganggap skuad kebangsaan terlepas enam aksi kompetitif setelah gagal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, perkara itu perlu dilihat daripada sudut positif sebagai persiapan mempertahankan Piala AFF Suzuki tahun depan.
Full content generated by Get Full RSS.