Utusan Online - Sukan |
Posted: Zabriskie kekal jersi kuningOleh FERZALFIE FAUZI Andrea Guardini (kiri) daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia mendahului pelumba-pelumba lain tiba di Melaka, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR MELAKA - Pakar pecut dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini mula mendapat sentuhan juara selepas memenangi peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Putrajaya yang berakhir di sini, semalam. Bagaimanapun, jersi kuning (pendahulu keseluruhan) masih milik The Green Hornet, David Zabriskie daripada pasukan Garmin Barracuda walaupun menduduki tempat ke-74. Perlumbaan sejauh 151 kilometer semalam berakhir secara beramai-ramai dengan catatan masa tiga jam 35.19 saat. "Saya memenangi perlumbaan peringkat kedua ini selepas diberi bantuan sebaiknya oleh rakan-sepasukan, terutama ketika menghampiri garisan penamat," kata bekas Raja Pecut LTdL 2011 berusia 22 tahun itu. Guardini mempamerkan kayuhan mantap untuk meloloskan diri mendahului kelompok besar yang tiba di garisan penamat sekali gus membawa pulang jersi biru (Raja Pecut) apabila mengumpul 15 mata kelebihan di garisan penamat. "Saya akui aksi penamat tadi (semalam) memang amat sukar selepas menyaksikan pasukan Europcar bekerja lebih awal sebelum tiba di garisan penamat, rakan sepasukan saya, Rafael Andriato pula mengalami kemalangan pada selekoh akhir," kata pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu. Perlumbaan semalam menyaksikan Dmtriy Gruzdev dari Astana masih mempertahankan Jersi Putih (Terbaik Asia Keseluruhan) manakala pelumba Champion System, Anuar Manan merupakan pelumba terbaik Asia peringkat kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Jersi merah (Raja Bukit) menjadi milik pelumba Drapac Cycling, Floris Goesinnen selepas menjadi pelumba pertama tiba dahulu di dua zon pendakian, Bukit Pelandok dan Linggi dengan mengumpul lapan mata. Perlumbaan hari ini bermula dari Melaka ke Parit Sulong sejauh 187.6km dan jaguh pecut dijangka sekali lagi akan menguasai saingan dengan tiga zon pecutan tersedia menanti di Tangkak, Labis dan Chaah manakala hanya satu sahaja zon pendakian di Bukit Belah. |
Harrif resah mencari rentak terbaik Posted: Harrif resah mencari rentak terbaikEsah Abdullah memujuk Mohd. Hariff selepas berakhir perlumbaan peringkat kedua di Melaka, semalam. – MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR MELAKA – Ayam tambatan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh masih lagi mencari rentak terbaik apabila terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 pada peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka, semalam. Bagaimanapun, abangnya, Zamri lebih cemerlang selepas menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan sejauh 151 kilometer yang menyaksikan saingan berakhir secara berkelompok dan mereka menduduki tempat ke-19 keseluruhan berpasukan. Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, dia agak kecewa dengan prestasinya setakat ini. Ibunya, Esah Abdullah terpaksa mententeramkan pelumba itu sebaik tamat saingan. "Saya rasa kecewa pada saingan hari ini (semalam). Saya tidak tahu mengapa strategi yang dirancang tidak menjadi," kata Harrif yang merupakan pemenang tempat ketiga pada peringkat pertama LTdL 2011 di Langkawi. Jelasnya, saingan semalam sangat sukar dan sasarannya untuk mengutip mata di zon pecutan juga tidak berjaya. Malah, dia juga cepat berasa letih selepas terpaksa mengejar kelompok hadapan yang melakukan breakaway lebih awal di kilometer 30. "Pelumba Astana juga banyak mengawal perlumbaan, meskipun di laluan yang sempit, mereka tetap cuba menguasainya, sekali gus menyebabkan saya tiada peluang untuk meloloskan diri," jelasnya. Sementara itu, rakan sepasukan, Jang Chan Jae menduduki tempat ke-12, diikuti Mohd. Shahrul Mat Amin ke-29, Mohd. Saufi Mat Senan ke-36 dan Shinichi Fukushima ke-43. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |