Utusan Online - Sukan |
Posted: Waspada kejutan ChinaOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Walaupun Liu Xiaolong-Qiu Zihan merupakan pasangan paling lemah di kalangan empat beregu China yang bertanding pada Kejohanan Dunia di London, namun mereka tidak sesekali dianggap lawan mudah oleh beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang akan memulakan kempen dengan berdepan pasangan itu, hari ini. Kien Keat-Boon Heong turun sebagai pilihan keempat, malah memegang rekod pertemuan 3-0 ke atas Xiaolong-Zihan tetapi pengalaman pahit diaibkan pasangan kerdil dari China, Hong Wei-Shen Ye pada pusingan pembukaan Terbuka Malaysia, Januari lalu memberi pengajaran hebat kepada mereka. Justeru, pertemuan ke atas mana-mana pasangan dari China akan diambil sebagai ancaman serius, biarpun di atas kertas naib juara dunia itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan awal di Arena Wembley. "Kami mungkin mempunyai rekod baik ke atas Xiaolong dan Zihan apabila menang semua tiga pertemuan sebelum ini, tetapi kami juga mempunyai sejarah hitam berdepan pasangan dari China, terutama jika pasangan itu tidak diberi perhatian. "Saya masih ingat kesilapan besar kami kerana memandang rendah pasangan negara itu (Hong Wei-Shen Ye) pada Terbuka Malaysia, Januari lalu, akibatnya kami kalah di depan penonton sendiri dalam perlawanan yang kami sepatutnya boleh menang. "Sejak daripada itu, saya dan Boon Heong tekad untuk sentiasa melayani mana-mana pasangan China sebagai ancaman serius, walaupun mereka hanyalah pasangan paling lemah, tidak memiliki ranking yang bagus atau pasangan bidan terjun,'' kata Kien Keat. Pertemuan terakhir Kien Keat-Boon Heong dan Xiaolong-Zihan adalah pada pusingan kedua Terbuka Jerman, Mac lalu yang mana mereka menang 21-17, 21-13, manakala dua lagi pertemuan berlangsung pada 2009 iaitu di Terbuka China dan Terbuka Macau. Sekiranya melepasi pusingan kedua hari ini, pasangan negara itu, yang menerima bye di pusingan pertama, akan berdepan pemenang di antara pilihan ke-13, Ingo Kindervater-Johannes Schoettler dari Jerman atau pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Lin Yu Lang. Mengulas keadaan mereka menjelang perlawanan pembukaan hari ini, Kien Keat menjelaskan, moral serta semangatnya bersama Boon Heong berada di tahap yang amat tinggi selepas menjalani latihan lapan hari di Universiti Bath yang dianggap cukup positif dan banyak membantu persiapannya. Kien Keat, 25, yang bebas daripada kecederaan juga tidak berganjak dengan sasaran untuk melayakkan diri sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir atau mengatasi pencapaian tahun lalu, di mana mereka mara ke final tetapi kalah kepada pasangan utama China, Fu Haifeng-Cai Yun. "Saya sudah pernah menjadi naib juara, jadi adalah realistik kalau saya memasang sasaran untuk mencatat keputusan yang lebih daripada itu, iaitu muncul juara. Laluan tidak mudah dari awal hingga akhir, tetapi yang paling penting kami memberikan persembahan 100 peratus,'' kata Kien Keat. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Choong Hann masih berbisa, Zakry-Thien How 'gulung tikar' Posted: Choong Hann masih berbisa, Zakry-Thien How 'gulung tikar'KUALA LUMPUR - Pemain veteran, Wong Choong Hann bermula dengan meyakinkan apabila hanya memerlukan 18 minit untuk melepasi halangan pertamanya pada Kejohanan Dunia semalam, namun beregu negara, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How gagal meneruskan kecemerlangan apabila terkandas pada pusingan kedua di tangan pasangan Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu. Ketika semua tumpuan perseorangan Malaysia di Arena Wembley, terarah sepenuhnya kepada jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Choong Hann yang langsung tidak diberi perhatian memulakan kempen dengan meyakinkan apabila membenam pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsing 21-7, 21-9. Pemain bebas berusia 34 tahun itu membuktikan dia masih berbisa dan bersemangat untuk menyamai pencapaian muncul naib juara dunia 2003, namun sejauh mana langkahnya akan pergi turut bergantung kepada perlawanan pusingan kedua berdepan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana hari ini. Bagaimanapun harapan peminat badminton negara untuk melihat kejutan kedua dihasilkan Zakry-Thien How di London tidak kesampaian apabila pasangan No. 4 Malaysia itu tunduk 24-26, 19-21 di tangan pilihan ke-10, Chieh Min-Sheng Mu. Selepas mengejutkan juara dunia 2005, Howard Bach-Tony Gunawan pada pusingan pertama kelmarin, Zakry-Thien How diberi harapan tinggi untuk mengalahkan gandingan Taiwan itu, malangnya mereka mensia-siakan kelebihan mendahului dan melepaskan beberapa mata mudah untuk tunduk dalam masa 45 minit. Di set pertama, pasangan negara itu memegang mata set dengan mendahului 20-18 dan 20-19, namun mereka gagal mematikan permainan dan membenarkan lawan menyamakan kedudukan 20-20 sebelum akhirnya tumpas 24-26. Di set kedua, Zakry-Thien How sekali lagi berada pada kedudukan baik dengan mendahului 19-17, tetapi membenarkan lawan mengutip empat mata berturut-turut, dua daripadanya hasil kesilapan servis Thien How hingga menyebabkan jurulatih, Rexy Mainaky berang. Kamera televisyen berulang kali menunjukkan ekspresi wajah Rexy yang tidak gembira apabila melihat servis Thien How sama ada pendek atau sangkut di jaring sebanyak tiga kali, dan kesilapan yang sama turut dilakukan oleh Zakry. Sementara itu, kebimbangan mengenai tahap kecergasan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui sedikit reda apabila pasangan utama negara itu melepasi halangan awal dengan menewaskan beregu tuan rumah, Jenny Wallwork-Gabrielle White 21-14, 21-12. Pei Tty-Eei Hui bakal berdepan ujian getir pilihan keempat, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa dari Jepun di pusingan kedua Dalam perkembangan perseorangan lelaki, Chong Wei tidak akan bertemu pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka seperti diramal, sebaliknya bertemu pemain Finland, Ville Lang yang mengejutkan Donysius 21-17, 21-18. Musuh ketat Chong Wei, Lin Dan pula mudah melepasi halangan awal dengan mengalahkan pemain Lithuania, Kestutis Navickas 21-11, 21-10. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |