Utusan Online - Sukan |
Posted: Apek janji elak bolosOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Ketua pasukan skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat berjanji untuk mengelak gawangnya dibolosi pada perlawanan Kelayakan Olimpik menentang gergasi Asia, Jepun di Tosu, Kepulauan Kyushu Rabu ini. Memegang dua tugas penting sebagai penjaga gawang dan ketua pasukan, Khairul Fahmi atau Apek mengakui Jepun merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan C. "Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan aksi yang baik, kekalkan tenaga apabila menentang Jepun nanti," katanya selepas perlawanan persahabatan dengan skuad Bawah 23 Oman, kelmarin. Pasukan bimbingan Ong Kim Swee berlepas ke Jepun dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepang, semalam. Menurutnya, sama ada jurulatih mengekalkan statusnya sebagai ketua pasukan atau tidak pada perlawanan menentang skuad bimbingan Takashi Sekizuka itu, dia tidak rela gawangnya mudah dibolosi. "Kalau boleh saya tidak mahu dibolosi, jadi saya cuba untuk memberikan permainan terbaik. Jepun memang pasukan yang hebat tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku," katanya. Mengenai kelebihan skuad negara, Apek berkata, gandingan sesama pemain semakin baik selepas latihan dan beberapa aksi persahabatan di Slovakia bulan lepas. disusuli perlawanan ujian menentang dengan kelab Iraq, Arbil SC dan skuad Bawah 23 Oman. Malaysia diundi bersama Jepun, Bahrain dan Syria dalam Kumpulan C. Juara kumpulan layak automatik ke Sukan Olimpik 2012 manakala tempat kedua terbaik perlu mengharungi playoff. | ||
Posted: Mackay kagumi SafeeOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Safee Sali semakin menunjukkan bisa di Cardiff City apabila terus meledak gol pada hari ketiga sesi latihan di pusat latihan kelab tersebut, semalam. Bukan sekadar satu atau dua jaringan, sebaliknya penyerang prolifik negara itu meledak banyak gol pada latihan di atas padang besar dan mudah melepasi kawalan pertahanan utama Bluebirds berulang kali tanpa banyak masalah. Pengurus peribadi pemain itu, Zakaria Ab.Rahim mendedahkan gaya permainan Safee mula menarik perhatian jurulatih Cardiff, Malky Mackay, yang mahu dia menyertai setiap sesi latihan pasukan itu. "Mackay cukup tertarik dengan gaya permainan dan kekuatan fizikal yang ada pada Safee dan banyak kali meminta Safee bermain ketika sesi permainan padang. "Safee memberitahu dia sudah melakukan banyak jaringan, sehingga tidak ingat jumlah yang dijaringkan. Dia mampu mengatasi kawalan pertahanan Cardiff," katanya ketika dihubungi, semalam. Bertambah menggembirakan, Zakaria memberitahu kecederaan belakang lutut Safee semakin pulih. Safee Sali menjalani latihan percubaan bersama Cardiff City, kelab yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Chan Tien Ghee sehingga 27 September ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |