Utusan Online - Sukan |
Posted: Harimau mahu mengaum lagiDaripada SAHARUDIN MUSTHAFA
JAKARTA - Menang atau kalah bukanlah persoalan yang menjadi keutamaan bagi pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya yang bertandang ke sini untuk melengkapkan perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok. Sebaliknya, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kehadiran beliau bersama anak-anak buahnya ialah untuk bermain atas dasar semangat kesukanan. "Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun, pastinya masing-masing berharap untuk menang. ''Tiada siapa yang mahu tewas. Jadi, lebih baik kita tunggu dan lihat saja perlawanan pada hari Rabu ini," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini, semalam. Rajagobal yang tiba bersama pemain-pemain bimbingannya serta pengurus pasukan Datuk Subahan Kamal disambut pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini serta sekumpulan pelajar Malaysia. Tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia, kesemua pemain kebangsaan sempat beramah mesra dengan peminat-peminat mereka biarpun masing-masing masih kepenatan. Rajagobal juga memberitahu, beliau belum memutuskan sama ada akan menurunkan anak-anak buahnya menjalani latihan di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini. Sementara itu, penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha optimis untuk menguasai GBK pada final kedua Piala Suzuki AFF2010 di gelanggang berkenaan Rabu ini. "Bagi seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan ini. "Salah satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada 'feel' untuk menjaringkan gol di sini," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di Hotel Sultan di sini. Norshahrul, 24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua daripada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin apatah lagi dia disifatkan oleh Rajagobal sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan ini. Pada masa yang sama, dia tidak terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFF Suzuki 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010. "Insya-Allah kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Saya akan cuba pamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak milik Malaysia," ujar Norshahrul. Perasaan hiba pula menguasai pemain sayap kanan kebangsaan, Amirulhadi Zainal yang terpaksa melupakan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di sini kerana digantung perlawanan. - Utusan | ||
Apa sebab Indonesia kalah di Bukit Jalil? Posted: Apa sebab Indonesia kalah di Bukit Jalil?JAKARTA - Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Alfred Riedl mengkritik media tempatan negara itu yang disifatkannya telah 'merosakkan mental' pemain-pemain bimbingannya. Apa yang dikesalkan oleh jurulatih yang berasal dari Austria itu juga ialah pemain-pemain pasukan kebangsaan itu serta ahli keluarga mereka diberi sanjungan yang melampau sehingga ke peringkat 'mabuk pujian'. Riedl menegaskan, beliau hairan kenapa media massa di Indonesia memberikan publisiti yang melampau kepada pemain-pemain bimbingannya. Pada masa yang sama, Riedl mempersoalkan kenapa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menganjurkan aktiviti-aktiviti yang tidak memberi sebarang kepentingan kepada pasukan kebangsaan negara itu. "Media terlalu banyak meminta wawancara dengan pasukan ini. Bahkan, sejak kebelakangan ini, aktiviti yang dianjurkan oleh PSSI juga mengganggu kami. Banyak kegiatan yang berlebihan dan tidak perlu. Mungkin habis (kekalahan) ini, anda (media massa) baru akan kembali memijak bumi," katanya penuh tegas seperti yang dilaporkan akhbar Warta Kota, semalam. Laporan yang diberikan oleh media massa negara ini khususnya beberapa hari menjelang perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin amat luar biasa. Ada beberapa saluran televisyen yang menyiarkan laporan yang begitu mengagung-agungkan pasukan kebangsaan itu selain memandang remeh pasukan lawan. Selain Warga Kota, akhbar-akhbar utama lain turut memberikan liputan meluas terhadap kegagalan pasukan bola sepak Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 kepada pasukan Malaysia. Seperti yang dijangka, isu pancaran laser oleh penonton ke arah pemain bola sepak Indonesia terus diperdebatkan di dada-dada akhbar sebagai menterjemahkan rasa kecewa mereka terhadap kegagalan yang tidak pernah dimimpikan oleh negara itu. Akhbar Jakarta Globe dalam laporannya berkata, kegagalan Garuda di tangan Harimau Malaya saling tidak ubah seperti sebuah mimpi buruk bagi negara itu. Kejayaan pasukan Malaysia juga katanya, meninggalkan tekanan yang bukan kecil kepada pasukan di bawah bimbingan Riedl itu. Apa lagi dengan persoalan apakah final kedua kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Bung Karno di sini pada 29 Disember ini yang terus menjadi tanda tanya akibat rusuhan dan kerosakan prasarana stadium itu juga akan memberi kesan lapor akhbar itu lagi. Bagi akhbar Kompas dalam laporan muka depannya pula, pasukan Indonesia harus belajar untuk memberi persaingan yang lebih sengit kepada pasukan Malaysia pada pertandingan Rabu ini. "Kegagalan pada peringkat final pertama semalam harus menjadi pengajaran paling berguna buat pasukan itu untuk melakukan langkah yang lebih signifikan," kata akhbar itu lagi. Pada masa yang sama, akhbar Kompas melaporkan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menggesa pasukan Garuda serta para penyokong bola sepak agar jangan sama sekali menyalahkan team lawan hanya kerana kegagalan itu. Susilo kata akhbar itu, meminta rakyat Indonesia tidak berkecil hati dan tetap menyokong pasukan nasional dengan semangat kesukanan yang tinggi. "Tidak perlu kecil hati, jangan salah-menyalahkan, pastinya timnas (team nasional) kita juga ingin membuat yang terbaik," kata Presiden negara yang dipetik dari akhbar arus perdana itu. - Utusan |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |