Utusan Online - Sukan |
Posted: Zakry-Hoon mengejutkan
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei seperti diduga dengan mudah melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2011 manakala Zakry Latif-Hoon Thien How mencipta kejutan dengan menumbangkan bekas juara dunia, semalam. Arena Wembley, London menyaksikan cuma 31 minit yang dilalui Chong Wei, 29, untuk menumpaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-15 21-17 selepas rakan beregu negara menjinakkan Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat, 21-17, 21-14. Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu wanita negara, Ng Hui Ern-Ng Hui Lin dan pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang masing-masing menundukkan Anna Kobceva-Elena Prus (Ukraine) 21-14, 22-20 dan Lino Munoz-Cynthia Gonzalez (Mexico) 21-9, 21-5. Dalam pusingan kedua hari ini, Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan dengan pencapaian terbaiknya ialah separuh akhir 2005, dijangka masih tidak bermasalah untuk melepasi antara pemain Finland, Ville Lang dengan Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia. Laluannya hanya akan semakin mencabar dalam pusingan ketiga dengan yang mungkin menantinya ialah pilihan kesembilan, Park Sung Hwan dari Korea Selatan atau naib juara tahun lalu, Taufik Hidayat (Indonesia) atau juara bertahan, Chen Jin dalam suku akhir dan separuh akhir. Namun, Zakry-Thien How selaku pasangan bukan pilihan, menempuh laluan getir pusingan kedua apabila akan menghadapi gandingan Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu juga pilihan ke-10 kejohanan yang mendapat laluan percuma pusingan pertama. Turut getir ialah Hui Ern-Hui Lin yang bakal berdepan pilihan ke-15 kejohanan, Matsutomo Misaki-Ayaka Takahashi dari Jepun sementara pilihan ke-10, Nathan Robertson-Jenny Wallwork dari England akan melayani Peng Soon-Liu Ying untuk merebut tiket ke pusingan ketiga. Keputusan lain pusingan pertama yang melibatkan pemain pilihan menyaksikan Taufik yang juga juara dunia 2005, mengambil masa 29 minit untuk menewaskan pemain Peru, Rodrigo Pacheco Carrillo 21-10, 21-14. Kejutan turut tercipta dalam perseorangan lelaki apabila pilihan kelima dari China, Chen Long yang disingkirkan pemain kurang ternama dari Guatemala, Kevin Cordon selepas berentap lebih sejam, 19-21, 21-8, 25-27. Juara dunia tiga kali, Lin Dan yang terkandas pada suku akhir di Paris tahun lalu, hanya akan bermain dalam pusingan kedua hari ini dengan menentang pemain Lithuania, Kestutis Navickas kerana mendapat laluan percuma pusingan awal. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
PKBM tagih kudrat Rizal dalam acara pecut Posted: PKBM tagih kudrat Rizal dalam acara pecutOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Skuad berbasikal trek negara bakal tampil dengan aksi meyakinkan menjelang Sukan SEA Palembang 2011 November ini selepas pelumba senior, Rizal Tisin disenaraikan dalam acara pecut individu. Lebih memberangsangkan lagi Rizal yang sebelum ini diuar-uarkan akan mengambil bahagian dalam acara BMX di temasya tersebut amat gembira dengan penyenaraian tersebut walaupun acara kegemarannya adalah satu kilometer ujian masa bagi berbasikal trek. Menurut pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2010 itu, dia yakin mampu beraksi cemerlang dalam acara pecut walaupun ia bukan acara kegemarannya dan perlu berusaha keras untuk menghadiahkan pingat buat negara. "Saya tidak kisah, walaupun bukan acara satu kilometer ujian masa tetapi acara pecut, saya yakin mampu melakukan yang terbaik," kata pelumba kelahiran Klang, Selangor itu. Jelasnya, dia sangat gembira walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk beraksi dalam acara BMX tetapi Perseketuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) masih mempercayai kemampuannya dalam acara trek. "Sekurang-kurangnya saya mampu untuk beraksi dalam kejohanan besar tahun ini dan masih boleh mengharumkan nama negara dalam acara berbasikal, saya sangat gembira dengan keputusan ini dan tidak sabar untuk beraksi di sana. "Tidak ada masalah bagi saya untuk beraksi dalam acara pecut individu, saya pernah beraksi dalam acara ini, cuma saya perlu memantapkan lagi latihan kerana sebelum ini tumpuan saya hanya kepada acara satu kilometer ujian masa dan pecut berpasukan," katanya. Rizal, 27, mengakui pernah beraksi dalam acara pecut di peringkat antarabangsa tetapi tidak ada keputusan yang membanggakan dapat dicatatnya, namun dia mengakui peluangnya agak cerah jika beraksi dalam acara tersebut di peringkat Asia Tenggara. "Bagaimanapun saya tidak boleh mendabik dada dan berasa selesa, ini kerana pelumba negara lain turut melakukan persediaan rapi terutama sekali dari negara Thailand yang dikatakan mampu memberi cabaran kepada saya. "Dari segi persiapan ia berjalan lancar walaupun tanpa ketua jurulatih negara, John Beasley ini kerana saya mengikuti latihan bersama pelumba pelapis dan segala perkembangan saya juga dipantau dari Melbourne oleh Beasley sendiri," katanya. Rizal kembali berlatih dalam negara, selepas acaranya satu kilometer ujian masa tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik 2012 London, sebelum ini dia bersama Mohd. Azizulhasni Awang dan beberapa lagi pelumba senior menjalani latihan di Melbourne. Acara pecut individu merupakan acara tambahan yang telah dipersetujui oleh tuan rumah untuk dipertandingkan di Sukan SEA 2011 bersama-sama acara lain termasuk 10 kilometer scratch, 4km kejar mengejar individu, 40km perlumbaan mata, 4km kejar mengejar berpasukan dan omnium. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |