Utusan Online - Sukan |
Selangor enggan lepas takhta, Perak tumbang Posted: Selangor enggan lepas takhta, Perak tumbang
KUALA LUMPUR – Selangor hampir melepaskan teraju Liga Super namun berjaya bertahan untuk seri 1-1 dengan Terengganu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. Selangor mempamerkan rentak agresif pada babak pertama terlebih dahulu mengambil giliran mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-43. Hantaran Amri Yahyah berjaya memperdayakan pertahanan Terengganu yang menyangka Safiq berada pada kedudukan ofsaid, sebelum kapten Harimau Malaya itu melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharbinee Allawee. Bermula babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya pada minit ke-62, gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma. Gol berpunca daripada hantaran silang Joseph Kalang Tie yang disudahkan oleh Ismail Faruqi menerusi satu tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Saiful Amar Sudar. Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan, Selangor menarik nafas lega kerana barisan hadapan Terengganu banyak mensia-siakan peluang mendapatkan gol kemenangan. Namun, kedudukan Selangor selaku pendahulu mungkin sementara jika Kelantan berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohammed IV hari ini. Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kedah, yang mendapat sentuhan pertama Wan Jamak Hassan. Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ke-30 sebelum Mohd. Firdaus Faudzi menambah derita skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-75. Pertahanan tuan rumah, Mohd. Syazwan Roslan membunuh semangat rakan sepasukan dan 15,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82. Mohd. Hazrul Mustafa memberikan jaringan sagu hati Perak pada minit ke-90. | ||
Perlis yakin kemampuan Krecska Posted: Perlis yakin kemampuan KrecskaOleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI KANGAR - Perlis yakin kehadiran jurulatih baru, Janos Krecska dapat membantu Singa Utara untuk mencapai kemenangan dalam beberapa perlawanan bola sepak Liga Super yang akan datang. Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu, ia berdasar komitmen tinggi dan pengalaman bekas jurulatih KL Plus itu ketika diberi tanggungjawab membimbing barisan muda Perlis. "Dia (Krecska) memberitahu saya bahawa Perlis mempunyai pemain bagus, cuma mereka (pemain) perlu diberi sedikit lagi bimbingan dan pasti dapat memburu kemenangan sebagaimana diharapkan untuk memperbaikki kedudukan dalam liga," katanya pada majlis menandatangani kontrak jurulatih skuad Perlis di Yayasan Pok & Kassim, semalam. Jurulatih berasal dari Hungary yang pernah menjadi pemain pasukan Perak pada penghujung 90-an bersama rakan senegaranya, Laszlo Repasi itu diikat selama setahun oleh Perlis untuk membantu skuad Singa Utara yang mendudukki tangga tercorot daripada 14 pasukan. Bagaimanapun, kata Shahidan, kemerosotan Perlis ialah disebabkan langkah pasukan Singa Utara untuk mendedahkan barisan muda khususnya pemain skuad Piala Presiden. "Dibandingkan dengan pasukan lain, kami (Perlis) sekurang-kurangnya berani memberi peluang kepada pemain muda yang tidak mempunyai nama. "Kami melihat jangka masa panjang demi pembangunan bola sepak di negeri ini," kata Shahidan. Sementara itu, Krecska berkata, dia optimis Perlis mampu mencipta kemenangan dalam beberapa perlawanan terdekat malah mampu mengatasi pasukan handalan termasuk Terengganu. "Saya yakin pemain mampu melakukannya, cuma mereka perlu dibimbing dan diberi motivasi untuk menaikkan semangat juang yang tinggi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |