Utusan Online - Sukan |
Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Safee Sali, Safiq Rahim KUALA LUMPUR - Dua pemain Kelantan, Ahmad Fakri Saarani dan Azizi Mat Rose kembali menambat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam kumpulan 27 pemain bagi bertemu Chelsea dan Barcelona. Namun, ketika dua bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) yang semakin dilanda kemerosotan prestasi, Safiq Rahim dan Safee Sali - kedua-duanya masih meraih kepercayaan jurulatih berusia 56 tahun itu. Jangan sebut soal jasa, realitinya kedua-duanya lebih kerap memanaskan bangku simpanan ketika bersama Johor DT, menimbulkan persoalan yang sering ditimbulkan apabila senarai pelatih skuad kebangsaan diumumkan. Malah, tidak keterlaluan ramai menggelarkan mereka berdua sebagai anak emas Rajagobal kerana kerap mendapat tempat secara automatik walaupun prestasi mereka dalam saingan liga boleh dipertikaikan. Bekas pemain kebangsaan dan penganalisis bola sepak negara, Reduan Abdullah berkata, sebagai jurulatih, dia (Rajagobal) sememangnya berhak memilih sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai mengikut sistem permainannya dan tidak salah memanggil kedua-dua pemain berkenaan. Cuma berdasarkan pandangan peribadinya, dia berasa itu sebagai satu perkara yang kurang adil bagi pemain-pemain lain yang telah menyerlah dalam saingan liga, namun tidak diberikan kesempatan atas alasan kurang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Soal penyenaraian pemain, saya rasa biarlah Rajagobal melakukan kerjanya kerana dia lebih arif cuma rasa sedikit hairan kerana pemain yang berterusan tidak menyerlah masih dipanggil dalam pasukan kebangsaan. Situasi ini jarang-jarang terjadi sepanjang saya mengikuti skuad kebangsaan semenjak dulu kerana mana-mana pemain yang gagal memperagakan aksi terbaik ketika mewakili pasukan negeri masing-masing pasti akan digugurkan dan diisi pemain baru. Bila ini terjadi, barulah ada persaingan yang sihat di kalangan pemain untuk memastikan tempat mereka dalam skuad kebangsaan terjamin dan sentiasa memberikan terbaik di atas padang," katanya ketika dihubungi, semalam. Dalam masa sama, dia berasa satu kerugian tidak menyenaraikan pemain Johor DT, Nurul Azwan Roya, malah tidak berada pada senarai 14 pemain menunggu jika ada kecederaan melanda pada mana-mana 27 pemain utama yang dipanggil. Saya sendiri tidak mengerti pemain berkualiti tinggi seperti Azwan Roya gagal berada dalam pasukan kebangsaan, bukan saya sahaja namun semua orang nampak dia cukup konsisten sepanjang musim ini malahan mampu menjaringkan banyak gol," katanya. Beberapa nama yang menjadi teras kekuatan pasukan seperti Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak, Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Fadhli Shas masih disenaraikan. Dua bintang Sarawak, Bobby Gonzales dan Putera Nadher Amarhan Maderner berada dalam senarai menunggu 14 pemain jika ada kecederaan melanda 27 pemain utama. Semua pemain akan mendaftarkan diri menjalani latihan pusat pada 11 Julai iaitu pada bulan Ramadan di Wisma FAM bagi berdepan Chelsea pada 21 Julai ini di Stadium Shah Alam. Kemudian mereka bakal berangkat ke Tokyo, Jepun pada 23 Julai ini bagi menjalani siri perlawanan persahabatan di sana sebelum mengakhiri persiapan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia dengan menentang Barcelona FC, 10 Ogos ini. |
Hoki: Perjuangan belum berakhir lagi Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN JOHOR BAHRU - Skuad kebangsaan perlu melupakan seketika kekalahan pada suku akhir pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia, kelmarin andai mahu mengembalikan keyakinan peminat tempatan kepada pasukan negara. Sungguhpun kekalahan pada suku akhir tersebut memberikan kesan mendalam buat pasukan kebangsaan kerana terlepas peluang terbaik melangkah ke Piala Dunia 2014 di Belanda, namun perjuangan pada kejohanan tersebut masih perlu diteruskan. Skuad kebangsaan perlu menang ke atas Pakistan pada aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan hari ini untuk membuktikan Malaysia bukan pasukan yang lemah dan perlu dihormati lawan. Malah, aksi pada kejohanan ini juga penting buat skuad bimbingan Paul Revington untuk mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan ranking sekiranya menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik. Dalam pada itu, Revington berkata, tumpuannya kini adalah pada perlawanan selepas ini menentang Pakistan serta tidak mahu kekalahan kelmarin menghantui skuad kebangsaan. "Cabaran kami pada kejohanan ini masih belum berakhir dan perlu ditamatkan dengan baik meskipun berasa kecewa dengan kekalahan ke atas Jerman. "Pakistan adalah pasukan yang perlu dihormati dan kami perlu menghadapi mereka dengan aksi terbaik kami," kata Revington. Harapan untuk Malaysia melangkah ke Belanda tahun depan masih belum tertutup kerana peluang terakhir masih ada pada Piala Asia di Ipoh, Perak pada 24 Ogos hingga 1 September ini. Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya menyaksikan gergasi Eropah mendominasi pentas separuh akhir manakala hanya satu sahaja wakil Asia melepasi suku akhir. Pasukan No. 1 dunia, Jerman dan England yang melangkah ke saingan separuh akhir hari ini sudah pasti memperoleh tempat ke Piala Dunia kerana kelebihan kedudukan ranking yang dimliki. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |