Bertarung di bulan Ramadan
ATLET negara perlu dibekalkan dengan nutrisi yang mencukupi setiap kali beraksi pada kejohanan antarabangsa. - Gambar hiasan
|
IBU kota London bakal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik buat kali ketiga selepas edisi 1908 dan 1948.
Namun lebih istimewa, temasya kali ini berlangsung pada bulan Ramadan buat kali kedua dalam sejarah penganjuran Olimpik selepas edisi 1980 di Moscow, Rusia.
Justeru, atlet-atlet dari negara Islam termasuk kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Olimpik kali ini sudah pasti menjadi perhatian kerana mereka perlu bertarung dalam keadaan berpuasa.
Disebabkan itu, aspek pemakanan dan nutrisi menjadi faktor utama buat setiap atlet terbabit apabila mereka beraksi di pentas Olimpik 2012 yang bakal membuka tirainya Jumaat ini.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai kedua-dua aspek itu, wartawan Kosmo!, SHANIKA ABDULLATIB menemu bual Ketua Unit Pusat Pemakanan Sukan Insti- tut Sukan Negara (ISN), Azimah Ahmad di Bukit Jalil semalam.
KOSMO!: Seperti yang kita ketahui, Sukan Olimpik 2012 berlangsung pada bulan Ramadan. Jadi boleh ceritakan mengenai aspek pemakanan dan nutrisi kepada atlet-atlet negara beragama Islam yang bertanding di London?
AZIMAH: Bagi temasya Olimpik kali ini, ISN telah membawa tukang masak sendiri untuk memudahkan penyediaan makanan di London. Bukan itu sahaja, sepanjang Olimpik, pakar nutrisi dan tukang masak kami akan bekerjasama membuat penyediaan dan penyesuaian makanan bagi atlet negara.
Bagi temasya besar seperti Olimpik, para atlet tidak perlu risau kerana makanan yang disediakan juga tidak jauh beza dengan apa yang pernah mereka makan di sini atau ketika menyertai kejohanan di luar negara.
Cuma apabila terlalu lama di sana, semua makanan akan nampak sama dan ini membuatkan mereka cepat hilang selera, sedangkan segala nutrisi seperti karbohidrat dan protein khusus untuk kalori datangnya daripada makanan.
Jadi, tugas kami adalah untuk membantu atlet menyesuaikan diri dengan makanan yang disediakan kerana tiada ketetapan khusus jumlah keperluan nutrisi disebabkan ia bergantung kepada atlet itu sendiri.
ATLET yang beragama Islam bakal berpuasa hampir 18 jam sepanjang berada di London nanti. Bagaimana pula persediaan atlet kita?
SEBAGAI rekod, hanya 10 atlet Malaysia beragama Islam akan bertanding pada Olimpik nanti dan mereka telah diberi pendedahan mengenainya sejak awal lagi.
Sejak mengetahui mereka akan bertanding pada bulan Ramadan, atlet kita, bahkan atlet muslim dari negara lain sudah menukar corak latihan mereka.
Oleh kerana puasa di London nanti tempohnya lebih panjang iaitu hampir 18 jam, kita ada mengesyorkan beberapa jenis corak pemakanan yang mana atlet mampu memulihkan tenaga dengan segera.
Rata-rata atlet memerlukan antara 2,500 hingga 3,500 kalori setiap hari dan untuk masa yang pendek itu, agak sukar untuk mereka mendapatkan jumlah kalori tersebut.
Disebabkan itu, kami mencadangkan mereka mengambil biskut, jus buah-buahan serta serta makanan lain yang berkalori tinggi, termasuk snek serta jeli bertenaga.
Waktu sahur juga menjadi aspek utama yang dititikberatkan oleh pakar pemakanan kerana makanan yang disediakan pada waktu itu mampu memberi tenaga yang diperlukan ketika mereka menjalani latihan.
Kami juga mengesyorkan agar waktu latihan dilakukan awal pagi serta lewat petang kerana dua waktu itu mampu mengelakkan pembaziran tenaga yang amat diperlukan atlet untuk latihan serta perlawanan.
CUACA panas juga dilihat bakal menjadi cabaran utama kepada atlet-atlet negara. Apa antara cabaran lain yang bakal mereka hadapi?
SEBENARNYA atlet kita agak beruntung kerana mereka bertanding dalam cuaca panas yang mana mereka sudah biasa dengan keadaan itu. Ia memudahkan atlet menyesuaikan diri berbanding sekiranya mereka perlu bertanding di negara beriklim sejuk.
Cuma, waktu musim panas yang lebih panjang bakal memberi cabaran tambahan kepada mereka dan untuk itu, kehilangan air di dalam badan menjadi isu utama yang akan menjadi perhatian kami.
Justeru, pengambilan air berkafein perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit kerana jenis minuman itu akan menyebabkan proses dehidrasi berlaku dengan pantas.
Bagi mengelakkan ia berlaku, minuman elektrolit iaitu minuman bertenaga disyorkan kepada atlet terutama dalam acara pelayaran, berbasikal dan badminton yang mana sukan tersebut berada dalam kategori high intensity.
APAKAH ada kaitan antara psikologi dan makanan yang diambil oleh atlet?
TIADA kajian yang tepat mengenai hubungan kedua-dua aspek itu tetapi saya dapati, ada beberapa makanan yang boleh menenangkan atlet kita. Antaranya, coklat dan pisang kerana kedua-duanya mempunyai kandungan potasium yang mana elemen itu membantu aliran darah menjadi lebih lancar, sekali gus membuatkan atlet lebih tenang.
ANTARA lapan acara yang disertai atlet Malaysia, acara manakah diberikan perhatian lebih dalam aspek pengambilan nutrisi sepanjang Olimpik?
MUNGKIN kita menumpukan perhatian lebih kepada penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taibi yang sedang mengandung dan jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mengalami kecederaan buku lali.
Namun hakikatnya, kami melihat sukan pelayaran sebagai acara yang perlu diberi perhatian dalam aspek pengambilan nutrisi. Pelayar bukan sekadar perlu menempuh jadual padat dalam masa 10 hari pertandingan, keadaan angin laut juga menjadi punca dehidrasi.
Berbanding acara lain, sukan layar memerlukan nutrisi yang lebih tinggi untuk memastikan atlet tersebut mempunyai tenaga sepanjang berada di tengah laut.
Jadi, diet yang diperlukan oleh pelayar negara (Khairul Nizam Mohd. Afendy) perlu mencapai hingga 3,500 kalori.
ADAKAH masalah penyediaan makanan bakal timbul di Perkampungan Atlet?
SALAH satu keistimewaan Olimpik ialah dewan makanan di Perkampungan Atlet akan menyediakan pelbagai jenis makanan dari pelbagai negara.
Jadi, cabaran utama pakar pemakanan kita di sana adalah memastikan atlet kita mengambil makanan pada jumlah yang diperlukan sahaja.
Bukan sahaja makanan yang tersaji di dewan makan itu akan mempengaruhi diet atlet, minuman yang disediakan di sekitar Perkampungan Atlet juga dilihat mampu menjejaskan menu sihat para atlet.
Sebagai contoh, minuman bergas yang disediakan mampu meningkatkan kandungan kafein di dalam tubuh atlet, sekali gus menjejaskan prestasi mereka.
BAGAIMANA pula dengan situasi atlet Malaysia yang dikatakan agak cerewet memilih makanan?
SEBENARNYA atlet Malaysia bukan cerewet tetapi susah hendak makan terutama apabila mereka terlalu penat. Keadaan menjadi lebih rumit buat pakar pemakanan untuk memastikan para atlet mendapat nutrisi yang mencukupi ketika mereka menghadapi pertandingan yang besar.
Ini disebabkan banyak faktor termasuk tekanan dan letih selepas banyak menjalani latihan intensif serta pertandingan yang mencabar.
Apabila itu terjadi, kebanyakan atlet memilih untuk tidur berbanding makan, sedangkan mereka perlu mengimbangi antara kedua-duanya.
Jika mereka terlalu letih untuk mengambil makanan berat bagi menggantikan tenaga yang hilang, snek dan jeli bertenaga sering menjadi pilihan mereka.