Utusan Online - Sukan |
Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Tunku Ismail KUALA LUMPUR - Tidak sampai seminggu meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusannya berkuat-kuasa serta merta dan kembali menerajui badan bola sepak itu. Semuanya selepas beliau menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang dekat sini, semalam. Keputusan penarikan balik itu diumumkan sendiri oleh Sultan Ahmad Shah kepada sekumpulan wartawan pada sidang akhbarnya. Difahamkan, keputusan Tunku Ismail itu juga mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut berangkat pada pertemuan itu selain anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Titah Sultan Ahmad Shah, keputusan itu berjaya dicapai setelah baginda sendiri memujuk Tunku Ismail untuk menarik balik pendirian awalnya dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam. "Pada hari ini, sebagaimana harapan saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) akan kembali sebagai Presiden PBNJ, jadi saya telah menasihatkan Tunku Ismail supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor. ''Tambahan, Johor mempunyai dua pasukan (Liga Malaysia) iaitu di Liga Super dan Liga Perdana, jadi keputusan ini memang tepat," titah baginda selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail dan Sultan Ibrahim. Pun begitu, baginda memberi peringatan bahawa Tunku Ismail tidak terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang selain hukuman penggantungan enam bulan yang beliau sedang jalani akan terus kekal. ''Sekali memutuskan untuk menjadi anggota persatuan... kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan, tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang termaktub bertahun-tahun. ''Mengenai hukuman, ia masih berjalan, seperti mana yang saya katakan, dia mesti bertanggungjawab dengan undang-undang yang ditetapkan," tegas Presiden FAM berkenaan. Pada 3 April lalu, Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBNJ selepas mengakui rasa sukar mengikuti undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh FAM. Memilih mahu menjadi sebagai penaung PBNJ, dia melepaskan jawatan Presiden PBNJ kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil. Sebelum ini, Tunku Ismail digantung enam bulan dan denda RM18,000 pada 8 Mac lalu oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia. Namun, beliau membuat kontroversi apabila berada di bangku simpanan pemain pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu pada 30 Mac di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika sedang menjalani hukuman. Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir pada sidang akhbar itu berkata, hanya surat amaran dikeluarkan dan tidak akan ada hukuman tambahan diberikan. "Keputusan untuk tidak menjatuhkan hukuman Tunku Ismail adalah mengikut budi bicara Jawatankuasa Tatatertib FAM dan bukannya kerana perbezaan apabila berdepan dengan pihak beraja. "Hanya surat amaran diberikan kepada Tunku Ismail dan diharapkan pihak media faham bahawa bukan semua kes yang diadili perlu dikenakan hukuman, semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM," katanya. |
Selangor berjaya raih mata berharga Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT SHAH ALAM - Masih bernyawa. Selangor menghidupkan kembali sisa-sisa perjuangan ke suku akhir Piala AFC apabila menewaskan kelab Vietnam, Sai Gon Xuan Thanh 3-1 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Shah Alam, semalam. Kemenangan sulung yang dikecapi oleh Red Giants meletakkan mereka kini di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata dan perlu menang dalam baki dua lagi perlawanan bertemu wakil India, East Bengal pada 23 April ini dan aksi terakhir menentang Tampines Rovers, 30 April. Janji jurulatih Selangor, Irfan Bakti untuk menurunkan ramai pemain simpanan nampaknya hanya satu helah semata-mata apabila tonggak-tonggak utama seperti Asraruddin Putra Omar, Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah tetap diturunkan. Red Giants telah menggegar seawal minit ke-10 apabila pemain import dari Slovakia, Michal Kubala melepaskan satu rembatan menarik melalui situasi sepakan percuma dari jarak 25 meter. Penjaga gol, Sharbinee Allawee mempamerkan kecemerlangan tersendiri apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya penyerang Sai Gon bagi memastikan babak pertama berakhir 1-0 memihak kepada tuan rumah. Cengkaman Selangor semakin kukuh pada separuh masa kedua apabila Forkey Doe meledak jaringan kedua pada minit ke-62 hasil umpanan cantik daripada Amri berhampiran kotak penalti dan pemain antarabangsa Liberia itu berjaya melepaskan satu tendangan menarik melalui kaki kiri untuk menewaskan Bui Tan Trong. Amri juga tidak ketinggalan meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan satu gol yang dianggap paling menarik dalam perlawanan itu apabila melakukan satu percubaan sungkit memperdayakan Tan Trong pada minit ke-71. Jaringan pada minit ke-80 oleh Moses Oloya sudah terlambat buat Sai Gon apabila ia tidak menghalang kemenangan Selangor di tempat sendiri. Dalam satu lagi perlawanan, East Bengal kini hanya memerlukan satu sahaja lagi mata untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila tidak menghadapi masalah menewaskan Tampines Rovers 2-1 sekali gus menyaksikan kelab Singapura hampir pasti tersingkir daripada saingan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |