Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kenyataan saya ikhlas - Khairy

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanseremban@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

REMBAU - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan yang dibuatnya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) adalah pandangan ikhlas selaku menteri.

''Kenyataan yang dibuat merupakan pandangan ikhlas selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai sukan di negara ini yang berdasarkan laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang melihat insiden kekecohan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu.

''Saya tidak mahu komen dengan lebih lanjut sebab saya tidak mahu panjangkan cerita ini. Cuma saya bagi pandangan yang ikhlas. Kalau mereka (FAM) terima ok, jika sebaliknya tidak apa.

''Saya cuma mewakili Kementerian Belia dan Sukan menyampaikan pandangan berdasarkan laporan pandangan orang awam tetapi kalau itu tidak dapat terima apa yang boleh saya buat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Haji di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hasan Haji Sail Pedas dekat sini, semalam.

Kelmarin, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menyuarakan rasa terkilan berhubung kenyataan Khairy yang menyoal ketelusan badan induk bola sepak itu.

Jelas baginda, keputusan mengadakan semula aksi separuh akhir kedua Piala FA, Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil dibuat mengikut peraturan.

Khairy sebelum itu menegur FAM dan PBNP dengan menyalahkan kedua-dua persatuan itu.

FAM dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukkan 60 ribu tiket kepada PBNP dan 20,000 tiket kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang diadakan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas dibatalkan di Stadium Darul makmur, Kuantan gara-gara kekecohan penonton.

Mental kuat kunci kejayaan Johor DT

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mempertahankan tindakannya meletakkan dua pemain kebangsaan, Safiq Rahim dan Safee Sali di bangku simpanan pada separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang, kelmarin.

"Malam ini (kelmarin) pemain membuktikan kemampuan Johor DT biarpun ada cakap-cakap yang mempersoalkan ketiadaan pemain kebangsaan Malaysia dalam pasukan utama. Saya tetap turunkan Safiq dan Safee (dalam beberapa minit terakhir babak kedua).

Fandi memasukkan Safiq dan Safee untuk menggantikan Mohd. Nazri Ahmad dan Leonel Nunez tetapi menurunkan dua lagi pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak dalam kesebelasan utama sepanjang 90 minit permainan.

Kelmarin, kekuatan mental dan kematangan pasukan serta kata perangsang jurulatih Fandi membentuk resipi tepat yang menjana kemaraan Johor DT untuk berdepan juara bertahan Piala FA, Kelantan dalam perlawanan akhir, 29 Jun ini.

Tanpa terlalu tertekan biarpun ditinggalkan Pahang 2-0 dalam babak pertama, anak buahnya membuktikan kebangkitan semula mereka seperti mana ketika menewaskan Kedah dan Selangor dalam pusingan kedua dan suku akhir.

"Selalu kami ketinggalan (dalam kempen) Piala FA musim ini, namun dalam apa juga keadaan pun, kami masih mampu bangkit. Mental pasukan cukup kuat menanganinya dan permainan kami tidak terganggu.

"Inilah kejayaan paling bermakna bagi Johor Darul Takzim kerana sudah sekian lama pasukan bola sepaknya tidak ke perlawanan akhir," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS