PENYERANG prolifik Harimau Malaya, Mohd Safee Sali kembali menemui sentuhan penyudah di pentas antarabangsa selepas hampir setahun kemarau jaringan dengan meledak satu gol ketika skuad kebangsaan menewaskan Hong Kong 3-0 di Stadium Mongkok malam tadi.
Gol itu jaringan pertama Safee selepas kali terakhir menggegar gawang pada aksi persahabatan menentang India, November lalu sebelum pemain gantian, Safiq Rahim dan Ahmad Fakri Saarani melengkapkan kemenangan pertama Malaysia di gelanggang lawan sejak 2007 dengan gol di penghujung permainan.
Kemenangan ini pastinya meredakan tekanan dihadapi pengendali Datuk K Rajagobal yang mengharapkan keputusan baik untuk menyuntik semangat pemain selepas kekalahan 0-2 di tangan Vietnam bulan lalu dan mengelak ranking Malaysia di tangga ke-162 dunia daripada terus menjunam.
Disaksikan lebih 3,000 penonton di Stadium Mongkok, aksi di awal permainan agak hambar dengan Hong Kong lebih selesa menguasai bola ketika skuad negara tanpa tonggak utama dari Kelantan dan ATM, tercari-cari rentak.
Ketiadaan Safiq tampak memberi kesan kepada jentera tengah negara apabila Gary Steven Robbart dan Amar Rohidan seakan-akan ketandusan idea untuk mengatur gerakan.
Selepas 20 minit perlawanan berlangsung, barulah Harimau Malaya sedikit 'bernyawa', bermula dengan rembatan penyerang, Safee dari jarak 30 meter namun mudah ditangkap penjaga gol pasukan tuan rumah, Yapp Hung Fai.
Pemain sayap lincah, S Kunalan berjaya menyelinap ke kubu Hong Kong dari sebelah kiri selepas menewaskan dua pemain pertahanan tapi malang cubaannya berjaya diselamatkan Hung Fai.
Anak buah Rajagobal kempunan menamatkan aksi babak pertama dengan jaringan selepas percubaan kapten, Safee terkena palang pada minit ke-37 manakala penyudah Baddrol Bakhtiar pula ternyata lemah apabila rembatan leretnya lima minit sebelum rehat tidak cukup mampu menembusi gawang Hong Kong.
Bersambung babak kedua, skuad negara hampir mendahului namun tandukan Mohd Fadhli Shas berjaya dikeluarkan pertahanan Hong Kong di atas garisan gol.
Bagaimanapun keresahan kem negara akhirnya terlerai apabila Safee yang terselamat daripada penggantungan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) merembat kencang bagi gol pertama pada minit ke-59.
Hong Kong cuba bangkit dengan beberapa percubaan namun berjaya dikekang penjaga gol, Mohd Farizal Marlias. Kemasukan Safiq menggantikan Gary pada minit ke-74 membuahkan hasil apabila pakar sepakan percuma itu menyempurnakan peluang pada minit ke-82.
Dia juga mencipta gerakan gol ketiga apabila sepakan percumanya pada masa kecederaan gagal ditangkap kemas Hung Fai yang pantas disambar Fakri untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Malaysia akan mengadakan tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala AFF, bulan depan dengan menentang Vietnam di Hanoi pada 3 November, Thailand di Chiang Mai (7 November) dan Hong Kong di Shah Alam (14 November).
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17