Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Misi 'hidup mati' ke Belanda

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PEMAIN-pemain hoki kebangsaan mengambil kesempatan meredakan ketegangan dengan menjalani terapi dalam kolam renang sebuah hotel di Johor Bahru, semalam sebagai persediaan berdepan Jerman dalam aksi suku akhir pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia hari ini. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Skuad kebangsaan hari ini akan menentang Jerman dalam aksi suku akhir, atau lebih diibaratkan 'hidup mati' untuk mencari tempat ke Piala Dunia di Belanda tahun depan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, tetapi jika kita mampu menundukkan Jerman, maka peluang skuad bimbingan Paul Revington untuk merebut satu slot daripada tiga yang ditawarkan pada kejohanan ini terjamin kerana dapat melangkah ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Dunia pada 2002 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, jika gagal, pintu belum tertutup rapat, sebaliknya Malaysia tiada pilihan melainkan perlu menjuarai Piala Asia 2013 yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada Ogos ini.

Itu sahaja pilihan yang ada bagi menamatkan kemarau 11 tahun tanpa aksi di Piala Dunia.

Mencari kemenangan ke atas pasukan No. 1 dunia seperti Jerman sudah tentu bukan tugas mudah buat ketua jurulatih, Paul Revington kerana memerlukan satu percaturan yang sempurna selain komitmen penuh daripada semua pemain.

Malah, perlawanan hari ini dijangka berlangsung sengit kerana semua pemain Malaysia sepatutnya tidak memberi laluan mudah kepada Jerman.

Dalam pada itu, penolong jurulatih, Arul Selvaraj memberitahu, hanya keinginan tinggi dalam kalangan pemain untuk beraksi pada Piala Dunia 2014 sahaja mampu menjadi kunci meraih kemenangan ke atas Jerman.

"Jika pemain mempunyai keinginan tersebut sudah tentu mereka akan melakukan yang terbaik ketika menentang pasukan No. 1 dunia.

"Sewaktu berhadapan Jerman nanti pemain perlu menganggap lawan kita adalah pasukan biasa sahaja.

"Dalam masa sama juga pemain perlu percaya dengan taktikal yang bakal diarahkan oleh jurulatih. Saya juga percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu membantu pasukan untuk menundukkan Jerman," kata Arul.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu Malaysia masih lagi belum berupaya memperoleh kemenangan ketika menentang Jerman.

Jerman yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 juga pasti tidak mahu membiarkan Malaysia yang ketika ini menghuni ranking ke-13 dunia mengaibkan mereka tambahan pula juara Piala Dunia dua kali itu memiliki kelebihan tersendiri.

Penyertaan Jerman pada kejohanan yang telah berlangsung sejak Sabtu lalu itu adalah dengan misi meraih kejuaraan dan keinginan mereka untuk mencapai matlamat tersebut dapat dilihat dengan barisan pemain yang dimiliki.

Ketika ini skuad Jerman memiliki dua pemain terbaik dunia iaitu pemenang Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2012, Moritz Furste dan Pemain Remaja Terbaik FIH 2012, Florian Fuchs.

Bagaimanapun, kekuatan yang dimiliki skuad kebangsaan ketika berada di bawah bimbingan Revington tidak boleh dipandang rendah kerana banyak perubahan positif dapat dilihat selepas gagal ke Sukan Olimpik London tahun lalu.

Hari ini perlawanan suku akhir lain yang turut menjadi perhatian adalah perlawanan melibatkan gergasi Asia, Pakistan menentang pasukan kedua terbaik Asia, Korea Selatan.

Tempat kedua, Selangor, Johor DT sengit

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Pemain T-Team, Damir Ibric Yuksel (tengah) diasak pemain Selangor, Adam David Griffith dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. Selangor menewaskan T-Team 4-1. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR - Trofi Liga Super sudah terlepas daripada genggaman Selangor, namun tiket bagi beraksi di Piala AFC buat tahun kedua berturut-turut mungkin masih mampu menjadi penawar Red Giants.

Menambahkan lagi klimaks bagi merebut tempat kedua dalam saingan liga, mereka bakal bertemu Johor Darul Takzim (Johor DT) yang kini muncul sebagai pencabar tunggal Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Tekanan mungkin akan memihak kepada Johor DT yang memerlukan kemenangan ekoran perbezaan jaringan yang lebih memihak kepada Selangor tetapi jurulatih Selangor, Irfan Bakti mengakui para pemainnya sudah bersedia menahan gelora 'Luaskan Kuasamu' dan yakin mampu mencipta kejutan di hadapan penyokong setia tuan rumah.

"Secara kebetulan pula terjumpa mereka (Johor DT) pada perlawanan terakhir dan pertembungan ini pasti klasik kerana tempat kedua menjadi perebutan antara kedua-dua pasukan dengan tiket Piala AFC sebagai ganjaran.

"Walaupun di atas kertas keputusan seri sudah mencukupi buat kami tetapi Selangor tetap mahukan kemenangan pada aksi terakhir di Liga Super menentang Johor DT dan kami bersedia memberikan tekanan.

"Biarpun sedar sedikit sukar beraksi di tempat lawan, saya melemparkan keyakinan dengan kemampuan para pemain saya untuk melakar kemenangan tambahan kami berada di prestasi terbaik pada masa sekarang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pun begitu, Irfan tetap tidak mahu memperlekehkan cabaran Johor DT tambahan sedar lawan bagaikan harimau terluka ekoran gagal meraih kejuaraan dalam saingan Piala FA dan sudah tentu menjadikan kedudukan sebagai naib juara Liga Super sebagai peluang menebus maruah mereka.

"Sudah tentu Johor DT mahu kembali bangkit setelah kecewa dalam Piala FA dan mahukan sekurang-kurangnya tiket bermain di Piala AFC dengan menewaskan kami.

"Namun sudah tentu kami tidak akan berikan laluan mudah dan bersedia apa sahaja kerana kami tidak rela dipintas oleh Johor DT pada saingan terakhir liga," katanya.

Dalam kedudukan liga, Selangor dan Johor DT terikat dengan 39 mata selepas 21 perlawanan tetapi Red Giants unggul dengan perbezaan 14 jaringan berbanding Harimau Selatan yang sekadar meraih enam jaringan.

Red Giants jelas berada dalam momentum terbaik tambahan memenangi empat perlawanan terakhir liga berturut-turut sekali gus melonjakkan kedudukan mereka di tangga kedua liga setelah berada di tempat keempat sekian lama selain turut dibantu aksi tidak konsisten Johor DT dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kemenangan besar 4-1 ke atas T-Team pada Selasa lalu di Stadium Shah Alam jelas menunjukkan Red Giants semakin sukar digugat dengan aksi Mohd. Amri Yahyah bertambah meningkat dengan dua jaringan disumbangkan oleh pemain veteran ini pada minit ke-11 dan 69 sementara Mohd. Nasriq Baharom dan Francis Forkey Doe masing-masing menjaringkan satu gol (minit ke-72 dan 83).

"Pemain saya paling puji buat masa sekarang sudah tentu Amri Yahyah, dia menunjukkan satu persembahan yang cemerlang malahan salah satu jaringannya dengan T-Team cukup menarik.

"Dia sebenarnya berpeluang merakamkan hatrik, namun mungkin bukan rezekinya, aksi Nasriq juga semakin baik dan turut mendapatkan satu gol," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS