Utusan Online - Sukan |
Posted: Benarkan pemain kita ke QPROleh ABDUL HAFIZ AHMAD Skuad Harimau Muda di bawah kendalian jurulatih Ong Kim Swee memiliki ramai pemain muda berwibawa yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Skuad ini dalam persiapan untuk saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012. KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) mengingatkan Tan Sri Tony Fernandes tidak melupakan bola sepak negara ini sekalipun akur bahawa pembelian Queens Park Rangers (QPR) merupakan hak teraju bersama syarikat induk penerbangan AirAsia itu. Menganggapnya sebagai satu sumbangan besar kepada sukan sambil mengucapkan tahniah, Tengku Abdullah turut menyarankan supaya Fernandes membuka peluang kepada pendedahan pemain Malaysia dalam perlawanan, kem latihan mahupun akademi QPR sendiri. Malah, Sabtu lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, dalam kerjasama mereka setakat ini, AirAsia sekadar memberikan diskaun tambang penerbangan kepada pasukan Liga Malaysia yang dianggap tidak membawa kesan yang begitu besar kepada kemajuan bola sepak negara. "Saya sedar untuk membawa masuk pemain kebangsaan kita bermain dengan sebuah kelab berprestij seperti QPR dalam EPL cukup sukar kerana peraturan ketat negara Kesatuan Eropah (EU) selain ranking dunia pasukan senior kita yang masih jauh di luar syarat mereka (perlu berada bawah 100 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). "Terpulang kepada mereka (Fernandes dan Kamarudin Meranun) untuk menimbangkannya kerana kelab itu hak mereka tetapi kalau dapatlah diselitkan mana-mana peluang buat pemain kita dan jika FAM dipelawa, tentu banyak yang dapat dicapai oleh bola sepak Malaysia. "Kami pun bukan mahukan yang terlalu besar, kalau ada peluang buat pemain Harimau Muda atau skuad belia lain dalam liga divisyen tiga mereka pun sudah memadai," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM kepada Utusan Malaysia, semalam. Tengku Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengulas penguasaan 66 peratus kepentingan kelab itu yang dilaporkan bernilai 35 juta pound (RM172 juta) oleh Fernandes, 47, sekali gus menjadikan pemilik AirAsia, penerbangan tambang rendah Malaysia itu sebagai pengerusi baru dan Kamarudin menjadi ahli lembaga pengarah kelab QPR. Pembelian kelab bola sepak England itu, Khamis lalu merupakan yang kedua dilakukan oleh warga Malaysia selepas seorang ahli perniagaan, Datuk Chan Tien Ghee ke atas Cardiff City yang bermain dalam Liga Kejuaraan negara itu pada tahun lalu. Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pernah membeli sebuah lagi kelab EPL, Manchester City pada 2007 yang membolehkan tiga pemain negara Gajah Putih itu, Suree Sukha, Kiatprawut Saiwaew dan Teerasil Dangda dibawa berlatih di The Citizens oleh bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson. |
Jangan biarkan luka lama berdarah – Shabery Posted: Jangan biarkan luka lama berdarah – ShaberyKEMAMAN – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuktikan ia badan yang masih relevan dalam memastikan kecemerlangan sukan badminton negara berterusan. Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, jika lebih ramai pemain yang membuat keputusan untuk keluar dari BAM seperti yang diambil pasangan bekas beregu No. 2 negara, ia mungkin membayangkan badan itu sudah tidak lagi relevan. Beliau terkejut apabila membaca laporan mengenai bekas beregu negara keluar daripada naungan badan induk itu kerana sekali lagi kewibawaan BAM tercalar apabila tidak dapat mengekalkan pemain-pemain di bawahnya. "BAM adalah badan yang diberi mandat untuk membangunkan pemain, jadi sekiranya mereka (pemain) putuskan keluar BAM, kita bimbang beberapa perkara yang dikait dengan luka lama berdarah kembali, seperti yang berlaku pada Muhammad Hafiz Hashim dan Misbun (Datuk Misbun Sidek) satu masa lalu yang akhirnya merugikan semua pihak," katanya kepada Bernama di sini, semalam. Ahmad Shabery sebelum itu menyampaikan Bantuan Dana Hari Raya kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Puteh, di sini. Sehubungan itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata, beliau meminta kerjasama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkaji secara terperinci perkembangan terbaru melibatkan BAM itu. "Kita mahu lihat kesan baik buruknya kepada badminton negara, sama ada ini kes terpencil atau ia perkembangan yang boleh menular sekiranya lebih banyak pemain memilih untuk tidak lagi bersama BAM pada masa akan datang," katanya. Kelmarin, Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Salleh memberitahu media, pasangan Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari telah mengemukakan permohonan untuk keluar daripada naungan badan induk itu pada 17 Ogos lepas. – Bernama |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |