Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan 'segan' terima bantuan

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

Rahman Sidek

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disaran agar keluar daripada sistem tradisional mereka yang hanya menerima 'bekalan' pemain daripada akademi sendiri atau Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), sebaliknya turut meninjau bakat yang dilahirkan oleh kelab-kelab persendirian.

Badan badminton negara itu selama ini dilihat tidak begitu mempedulikan kehadiran pemain-pemain daripada akademi persendirian dan perkara tersebut sebenarnya hanya merugikan badminton Malaysia sendiri kerana kita memiliki ramai bakat 'tidak nampak' yang boleh diketengahkan.

Jurulatih Nusa Mahsuri, Rahman Sidek berkata, di Malaysia terdapat banyak akademi persendirian yang melatih pemain-pemain muda secara sistematik, malah mereka menggaji jurulatih yang berkaliber, justeru tidak mustahil jika ada antara pemain yang dilahirkan oleh kelab-kelab ini mempunyai potensi besar dan boleh diserap ke dalam skuad kebangsaan.

"Eropah sudah lama menggunakan sistem kelab dan lihat sekarang bagaimana Jerman tiba-tiba saja mampu melahirkan pemain yang bagus hingga berjaya menewaskan Malaysia pada Piala Sudirman.

"Lihat juga apa yang berlaku di Thailand. Mereka menggunakan sistem kelab sepenuhnya dalam pemilihan pemain profesional untuk mewakili negara, sistem itu nyata berjaya dan mereka kini sudah mempunyai ramai jagoan bertaraf dunia yang muncul pada usia muda.

"Saya tidak kata, sistem kelab harus digunakan sepenuhnya di Malaysia, mungkin di negara kita ia belum cukup bersedia dijadikan teras utama pemilihan pemain badminton kebangsaan tetapi sekurang-kurangnya BAM boleh bekerjasama dengan kelab-kelab persendirian kerana mereka memiliki ramai bakat yang tidak diketahui.

"Di Malaysia ada banyak kejohanan yang dianjurkan oleh kelab-kelab atau akademi persendirian, bayangkan daripada ribuan peserta berapa banyak bakat yang boleh dikesan ? BAM sepatutnya hantar wakil untuk meninjau, ikuti setiap program yang dianjurkan untuk mengesan bakat-bakat ini.

"Mereka tidak rugi apa-apa, semua kejohanan itu dianjurkan tanpa menggunakan wang BAM. Lagi pun, kami juga akan tumpang gembira kalau ada pemain kami dipilih mewakili negara," kata Rahman ketika ditemui pada sesi latihan Nusa Mahsuri di Kelana Jaya, semalam.

Menurut Rahman lagi, sebagai bekas pemain kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia pada kejohanan utama seperti Piala Thomas, perkembangan badminton tanah air ketika ini begitu menyedihkannya dan dia berharap dapat melakukan sesuatu untuk membantu sukan yang amat disayangi.

Malah, Rahman percaya, ramai orang di luar BAM sedia menghulurkan bantuan untuk menaikkan semula zaman kegemilangan badminton negara tetapi tidak diberi ruang untuk berbuat demikian.

"Sudah sampai masanya, BAM bersikap lebih terbuka. Mungkin mereka boleh dapatkan pandangan daripada orang-orang di luar badan itu yang punya pengetahuan atau kepakaran tentang badminton. Apa salahnya jika kita berkongsi pandangan, itu tidak merugikan sesiapa.

"Kita tengok di Indonesia, PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia) mula mengumpulkan bekas-bekas legenda mereka seperti Rexy Mainaky, Ricky Subagja, Susi Susanti, Joko Suprianto.. ini semua kerana apa ? Kerana mereka tahu, hanya orang-orang yang pakar dalam badminton tahu bagaimana hendak membawa sukan itu pergi lebih jauh.

"Saya percaya, dalam tempoh enam bulan hingga setahun, orang-orang ini mampu membawa impak kepada badminton Indonesia, malah pada Piala Sudirman tempoh hari kita sudah nampak semangat sangat berbeza.

"Bila semua orang yang sayangkan badminton dan pakar dalam badminton berkumpul, sudah tentu ia akan membawa perbezaan," kata Rahman lagi.

Selain Nusa Mahsuri, Malaysia mempunyai banyak akademi dan kelab persendirian yang aktif mengadakan kejohanan serta latihan insentif mereka sendiri seperti Looi Academy, Kelab Badminton Kawasaki, New Vision Academy dan YKH Academy, yang dimiliki oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996, Yap Kim Hock.

KLRC pula menaungi pemain-pemain yang mahu bergerak secara profesional di pentas antarabangsa.

Azlan ganti Shahidan?

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
sukan@utusan.com.my

Azlan Man

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Azlan Man bakal menerajui Persatuan Bolasepak Perlis (PFA)?.

Perkara itu tidak mustahil kerana namanya telah dicadang sebagai Presiden baharu bagi menggantikan penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digantung 30 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan mengkritik badan induk itu baru-baru ini.

Hukuman yang dikenakan ke atas Shahidan, yang turut didenda RM39,000 menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis itu hilang status sebagai presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Malah, Ahli Majlis PFA dikatakan sudah sebulat suara bersetuju untuk melantik Azlan sebagai presiden yang baharu dalam Mesyuarat Agung PFA yang akan berlangsung pada 16 Jun ini.

Setiausaha PFA, Dr. Ammar Hassan berkata, pemilihan Azlan bersesuaian dengan tujuan PFA untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi persatuan.

Katanya, perubahan juga diharap dapat memastikan perkembangan positif dalam pengurusan dan pembangunan bola sepak di negeri ini.

"Jadi, ahli-ahli dan perwakilan dalam gabungan PFA bersetuju Menteri Besar dilantik sebagai Presiden PFA yang baharu," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis PFA mengenai persiapan mesyuarat agung persatuan berkenaan, di sini semalam.

Bagaimanapun kata Ammar lagi, PFA sedang menanti jawapan daripada Azlan selepas memaklumkan hasrat PFA itu kepadanya.

"Kami (PFA) yakin Menteri Besar sedang mempertimbangkan hasrat yang disampaikannya oleh PFA dan akan memberi keputusan positif tidak lama lagi," tambahnya.

Menurut beliau, Azlan diyakini dapat memberi 'wajah' baharu kepada PFA yang kini sedang menghadapi kemelut kewangan.

Tambahnya lagi, PFA memerlukan kira-kira RM220,000 setiap bulan bagi kos pengurusan, termasuk membayar gaji pemain Liga Perdana dan Piala Presiden.

Beliau percaya mutu bola sepak negeri Perlis akan kembali menyinar jika PFA mempunyai peneraju yang mantap, kewangan yang kukuh dan pemain yang bagus.

Beliau berharap syarikat-syarikat dan tokoh-tokoh korporat terutama yang berasal dari Perlis turut menyumbang ke arah pembangunan bola sepak negeri ini.

"Kami telah membentuk jawatankuasa dana PFA yang antara lainakan mengenalpasti sumber yang boleh membantu kewangan persatuan itu," katanya lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS