Utusan Online - Sukan |
Pelumba Sepanyol langgar Azizul Posted: Pelumba Sepanyol langgar AzizulKUALA LUMPUR - Laporan penuh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengesahkan insiden kemalangan ngeri membabitkan pelumba terbilang, Mohd. Azizulhasni Awang pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester pada 19 Februari lalu bukan disebabkan faktor permukaan trek rosak. Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan penuh menerusi emel bertarikh 18 Mac 2011 daripada Koordinator Sukan Trek UCI, Gilles Peruzzi yang berpangkalan di Aigle, Switzerland. Malah, UCI turut menyelitkan ulasan Pengurus Besar Pusat Berbasikal Kebangsaan Britain, Jarl Walsh tentang laporan video rakaman definisi tinggi yang dilakukan sepanjang perlumbaan akhir keirin dimenangi pelumba Britain, Chris Hoy. Mengikut emel tersebut, laporan penuh disediakan oleh Presiden Panel Komisar, Wayne Pomario yang bertindak atas arahan Presiden UCI, Pat Mac Quaid selepas menerima permohonan rasmi menerusi sepucuk surat bertarikh 1 Mac 2011 daripada PKBM kepada badan dunia itu. "Saya telah teliti kandungan surat tersebut dan persatuan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh UCI. Laporan Presiden Panel Komisar juga sangat jelas dan sekarang kami tahu apa yang sebenarnya berlaku di Manchester," katanya. Laporan Peruzzi menyebut tiada bukti konkrit kononnya permukaan trek menjadi kepada kemalangan tersebut manakala laporan Pomario pula menjelaskan pelumba Sepanyol menjadi kemalangan pada selekoh ketiga selepas perlumbaan tinggal 2.5 pusingan iaitu sesudah Derny keluar daripada barisan enam pelumba. Laporan Walsh pula meminta diadakan siasatan menyeluruh tentang corak pedal basikal ditunggang Azizulhasni yang berkemungkinan menyebabkan kayu trek tercabut akibat berlakunya kemalangan tersebut. "Daripada apa yang saya faham, pelumba Sepanyol menjadi punca kemalangan apabila dia melanggar Azizulhasni. Malah, apabila membaca kandungan laporan tersebut, barulah kami tahu bahawa Poland ada membuat bantahan rasmi tentang kemenangan Azizulhasni tetapi ditolak oleh Panel Komisar. "Bagaimanapun, Panel Komisar menegaskan pelumba Sepanyol tersebut tidak berniat atau bukan sengaja untuk mencetus kemalangan berkenaan. Walaupun Panel Komisar mendenda pelumba Sepanyol itu, namun ia tiada sebarang makna kerana dia menduduki tempat terakhir daripada enam pelumba." Pada 1 Mac lalu, PKBM menulis surat rasmi kepada UCI memohon agar badan dunia itu menyalur semua maklumat terperinci berhubung insiden kemalangan ngeri membabitkan Azizulhasni pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester pada 19 Februari lalu. Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran Pocketrocketman mengalami kemalangan serius pada 19 Februari lalu apabila betis kaki kirinya tertusuk serpihan kayu ketika bertanding acara keirin di Siri Piala Dunia Klasik di Manchester bulan lalu. Dia kemudiannya tetap berupaya menghabiskan perlumbaan untuk meraih pingat gangsa. Insiden tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia gara-gara kemalangan pelik membabitkan Azizulhasni dan semangatnya yang tetap mahu menghabiskan perlumbaan sekalipun jatuh dan cedera Sehubungan itu, Abu Samah menganggap kes membabitkan kemalangan Azizulhasni di Manchester sudah boleh dilupakan sepenuhnya selepas PKBM menerima laporan penuh daripada UCI. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Liverpool, Chelsea uji kemampuan Harimau Malaya, Julai Posted: Liverpool, Chelsea uji kemampuan Harimau Malaya, JulaiOleh TAN MING WAI KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kelab terkemuka Liga Perdana England (EPL), Liverpool dan Chelsea akan mengadakan perlawanan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Julai ini. Selain Liverpool dan Chelsea, sebuah lagi kelab dari EPL turut memilih Malaysia sebagai gelanggang untuk perlawanan pra-musim itu, namun identiti pasukan ketiga itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia difahamkan ialah pasukan Arsenal. Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan daripada kedua kelab tersebut dan tarikh perlawanan akan diumumkan pada masa akan datang. "Setakat ini, Liverpool dan Chelsea telah mengesahkan kehadiran masing-masing dan pasukan ketiga akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam. Ini adalah pertama kali kelab Liverpool datang ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan setelah membatalkan pertemuan dengan pasukan Selangor pada 2008. Sementara itu, pasukan The Blues pernah menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia pada 2008. FAM masih lagi meneruskan usaha mengatur perlawanan persahabatan berkelas A biarpun sebelum ini berkesudahan dengan Harimau Malaya hanya akan menentang pasukan berstatus kelab iaitu FC Etoile dari Liga Singapura. Azzudin berkata, ia bertujuan mengisi kekosongan jadual pada April dan Mei dan FAM sedang berusaha menghubungi pasukan-pasukan kebangsaan sekitar Asia bagi memohon mengadakan perlawanan dengan mereka. "Setiap bulan para pemain skuad Harimau Malaya akan dihimpunkan untuk menjalani latihan berpusat dan kami mengharapkan sekurang-kurangnya mereka bermain satu perlawanan persahabatan. "Untuk bulan Mac ini, FAM sudah mencuba lapan persatuan namun atas komitmen masing-masing, permohonan kita ditolak... tetapi kami tetap teruskan usaha mendapatkan perlawanan berkualiti untuk Harimau Malaya," katanya. Tambah Azzudin, skuad kendalian K. Rajagobal akan bertandang ke Hong Kong pada 3 Jun depan untuk satu lagi perlawanan persahabatan dengan negara Asia Timur itu. Ia merupakan perlawanan kedua di antara kedua-dua pasukan selepas Malaysia membenam Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam pada aksi persahabatan 9 Februari lalu. "FAM sudah membuat perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) bahawa kita akan ke Hong Kong untuk perlawanan timbal balik, jadi untuk Jun, kita tidak perlu risau, malah Harimau Malaya juga akan beraksi dalam pusingan kedua kelayakkan Olimpik," jelasnya. Malaysia akan mengetahui siapakah lawannya pada undian akan dijalankan pada 30 Mac ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |