Utusan Online - Sukan |
Schwartzel idam juara, Kaymer mahu bangkit Posted: Schwartzel idam juara, Kaymer mahu bangkitOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Hanya tiga hari selepas menjuarai kejohanan Masters minggu lalu, Charl Schwartzel tiba di Kuala Lumpur dengan membawa misi memburu kejuaraan kedua berturut-turut pada kejohanan golf Maybank Terbuka Malaysia yang bermula hari ini. Pemain No. 1 dunia, Martin Kaymer pula berazam untuk menebus imej yang tercalar, gara-gara gagal melepasi kelayakan pada saingan Masters. Biarpun terpaksa mengharungi perjalanan hampir 24 jam di atas penerbangan dari Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur dan tiba tanpa peralatan golf, jaguh Afrika Selatan itu tetap bersemangat mencari kejuaraan di Malaysia dan melengkapkan bulan paling menakjubkan dalam kariernya. Sedar, saingan yang bakal dihadapi cukup sengit dengan kehadiran pemain No. 1 dunia, Kaymer, juara Terbuka Britain, Louis Oosthuizen dan bintang muda sensasi Ireland, yang juga pemain No. 9 dunia, Rory Mcllroy, Schwartzel yakin dengan prospek kejuaraan kedua berturut-turut dalam masa dua minggu. "Terbuka Malaysia menampilkan cabaran paling sengit dalam sejarah kejohanan, tetapi saya cukup bersedia untuk mengharungi saingan sepanjang minggu ini. Setiap kali memasuki pertandingan, hanya ada satu perkara bermain di fikiran, memberikan yang terbaik dan cuba merangkul kejuaraan,'' kata pemain berusia 26 tahun itu. Pada saingan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Schwartzel bukan saja bakal berdepan jaguh-jaguh dari barat, malah bintang Jelajah Asia yang selama ini cemerlang pada Terbuka Malaysia, termasuk penyandang juara, Noh Seung-yul dari Korea Selatan. Turut membawa cabaran Asia pastinya juara dua kali, Thongchai Jaidee dari Thailand dan Arjun Atwal dari India, selain pendahulu Order of Merit Jelajah Asia, S.S.P. Chowrasia, juga dari India. Schwartzel, pemain No. 11 dunia, tiba di Kuala Lumpur semalam selepas mengharungi 20 jam perjalanan yang meletihkan. Dia perlu segera mengatasi masalah keletihan dan jetlag. "Sekarang saya duduk sini dan saya tidak tahu apakah ia pagi atau malam. Saya berada dalam perbezaan waktu 12 jam (dari Amerika Syarikat) dan telah berada dalam kapal terbang selama 24 jam. "Saya sebenarnya agak kecewa kerana set club saya masih belum tiba, jadi saya tidak dapat menjalani latihan hari ini, apa pun, itu tidak langsung mematahkan semangat saya untuk mengharungi cabaran minggu ini,'' katanya lagi. Sementara itu bagi Kaymer, dia mahu melupakan kekecewaan di kejohanan Masters dengan merangkul kejuaraan Jelajah Eropah ke-10. Terbuka Malaysia merupakan kejohanan yang diiktiraf bersama oleh Jelajah Asia dan Jelajah Eropah. "Saya tidak mahu memikirkan tentang Augusta. Saya hanya mahu memikirkan tentang Terbuka Malaysia, itu yang paling penting buat saya sekarang. Minggu ini adalah minggu paling besar dan saya tidak boleh terbawa-bawa kegagalan minggu lalu di sini,'' katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Peluang pemain kita menyerlahOleh NORZIE MOHD. KHASBI KUALA LUMPUR - Kehadiran nama-nama besar seperti pemain No. 1 dunia, Martin Kaymer, juara baru Masters, Charl Schwartzel, juara Terbuka Britain, Louis Oosthuizen dan bintang muda Ireland, Rory Mcllroy menjadikan edisi ke-50 Maybank Terbuka Malaysia yang bermula hari ini sebagai yang terhebat dalam sejarah kejohanan. Itu belum lagi menyebut nama bintang-bintang Jelajah Asia sendiri seperti juara dua kali, Thongchai Jaidee dari Thailand dan Arjun Atwal dari India, selain penyandang juara, Noh Seung-yul dari Korea Selatan. Malah, legenda golf Australia, Peter Thomson, antara pengasas Terbuka Malaysia mengakui kejohanan ini sudah jauh berkembang sejak diperkenalkan buat kali pertama pada 1962, sekali gus memberi gambaran betapa sebarang usaha pemain tempatan untuk melakar kejutan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) menjadi semakin sukar. Tiada seorangpun pemain Malaysia pernah merangkul kejuaraan pada kejohanan ini dan kejayaan P. Gunasegaran muncul naib juara 1994 kekal sebagai pencapaian terbaik kita. Justeru, apakah kemunculan bintang dunia akan menjadi motivasi tambahan kepada pemain negara untuk mencuri tumpuan atau hanya menjadikan mereka lebih tenggelam? Ia persoalan paling menarik untuk diikuti peminat golf tempatan sepanjang 14-17 April ini. "Senarai penyertaan Terbuka Malaysia tahun ini amat hebat. Charl Schwartzel datang selepas menjuarai Masters di Augusta, sudah tentu dia menjadikan cabaran lebih kompetitif. "Malaysia sendiri memiliki 22 pemain di lapangan, ini adalah situasi yang jarang sekali dapat anda lihat," ujar Thomson, yang didatangkan khas ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 kejohanan. Kata Thompson, yang kini berusia 81 tahun, Terbuka Malaysia 2011 yang menawarkan AS$2.5 juta (RM8 juta) sudah menjadi kejohanan premier dalam Jelajah Asia dan gelaran yang diinginkan oleh kebanyakan pemain ternama. Mengenai tiadanya pemain tempatan yang pernah merangkul kejohanan, Thompon, juara Terbuka Britain lima kali mempunyai pengalaman tersendiri mengenai Terbuka Malaysia yang boleh dikongsi bersama pemain negara. Biarpun, dia antara pengasas kejohanan dan pemilik banyak kejuaraan utama, namun hakikatnya, legenda veteran itu sendiri tidak pernah menjuarai Terbuka Malaysia. "Tetapi saya berjaya menjuarai Terbuka India, Hong Kong dan Filipina dan Terbuka Britain pada 1954, 1955, 1956, 1958 dan 1965." Mengetuai cabaran 22 pemain tempatan pada kejohanan kali ini adalah jaguh No. 1 negara dan duta Maybank, Danny Chia, yang layak menerusi Order of Merit Jelajah Asia. Bergelar profesional sejak 1998, pemain berusia 39 tahun ini, yang baru pulih daripada kecederaan pergelangan tangan berkongsi sentimen mengenai cabaran hebat yang menanti Terbuka Malaysia tahun ini. "Ia membariskan cabaran terkuat dalam sejarah. Kehadiran pemain No. 1 dunia, Martin Kaymar, Rory Mcllroy, Charl Schwartzel dan Louis Oosthuizen menjadikan persaingan amat kompetitif dan menarik dibandingkan tahun sebelumnya. Saya sendiri teruja untuk melihat keputusan kejohanan," kata Danny. Danny mengakui, laluan semakin berliku buat pemain tempatan untuk mencipta sejarah, namun peluang tidak pernah tertutup. Malah, dia percaya pemain muda seperti Gavin Kyle Green harus diberi tumpuan, meskipun kurang pengalaman dan sekadar berstatus amatur. Daripada 22 pemain negara yang mengambil bahagian, enam daripadanya adalah amatur. Selain Danny, harapan peminat tempatan juga bergantung kepada pemain yang dalam prestasi terbaik, Shaaban Hussin dan Ben Leong. Malaysia akan diwakili oleh 16 pemain profesional dan enam amatur. Selain Danny, Ben dan Shaaban, cabaran profesional negara turut dipikul Iain Steel, Rashid Ismail, R. Nachimuthu, A. Sasar, Mohamad Hanafiah Mohd. Jamil, Akmal Tarmizee Nazari, M. Sasidaran, S. Sivachandran, Airil Rizman Zahari, Khor Kheng Hwai, Sukree Othman, Nicholas Fung dan Shaifubari Muda. Saingan amatur diketuai Gavin, Mohd. Azman Basharudin, Kenneth de Silva, Mohd. Hisyam Majid, Jeremiah Kim dan Chan Tuck Soon. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |