Utusan Online - Sukan |
Posted: Ayuh Harimau Malaya!
JAKARTA - Ujian pertama sudah lulus.Kini, lupakan seketika kemenangan lalu. Buat para pemain negara, mereka tidak perlu hanyut dibuai kejayaan manis menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu kerana laluan berduri yang akan menguji ketahanan mental dan fizikal akan menanti di bumi Jakarta, hari ini. Memang laluan yang akan dihadapi oleh pemain negara kita cukup perit pada malam ini. Bukan kerana tekanan berhadapan 80,000 penyokong merah putih, malahan sikap provokasi yang dipamerkan oleh media dan rakyat Indonesia di sini jelas sanggup melakukan apa sahaja asalkan konsentrasi dan fokus pemain terjejas. Sejak hari pertama tewas, isu penggunaan laser terus menjadi bahan ungkitan terutamanya pihak media, malahan ketika hari terakhir persiapan antara kedua-dua pasukan. Isu remeh ini terus dipanaskan sehingga tahap mendidih seolah-olah Malaysia mendapatkan kemenangan di Kuala Lumpur dengan cara tidak bermaruah. Biarkan kem Indonesia terus memilih pendekatan sebegitu kerana sebenarnya mereka jelas amat mencemburui skuad Harimau Malaya yang kini berpeluang menjulang trofi AFF buat kali pertama. Atas kertas, keyakinan Malaysia cukup tinggi walaupun kita akan kehilangan khidmat Mahalli Jasuli dan Mohd. Amirulhadi Zainal. Namun kekuatan keseluruhan skuad ini tidak sedikit pun akan terjejas. Ashari Samsudin dan Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka menjadi taruhan mampu menggalas kekosongan yang ditinggalkan dan Malaysia tidak perlu berasa tertekan berbanding Indonesia. Jurulatih skuad negara, K. Rajagobal mungkin akan memilih bermain secara bertahan sepanjang 90 minit di Gelora Bung Karno di samping cuba melancarkan serangan balas jika berpeluang. Skuad negara tidak perlu bermain cantik dan apa paling penting adalah efisien daripada segi keputusan. Keputusan di Hanoi, kita telah membuktikannya. Apa yang penting, para pejuang negara wajib tidak melepaskan gol awal pada Indonesia di 15 minit pertama permainan. Sekiranya kita meraih gol awal, Malaysia boleh dikatakan hampir pasti akan pulang ke Kuala Lumpur selaku juara Piala AFF. Di pihak Indonesia, walaupun keyakinan di kalangan peminatnya masih tinggi dan optimis bahawa skuad kesayangan mereka itu akan muncul juara dan Malaysia bakal diganyang di kandang tuan rumah, ketiadaan Oktovianus Maniani mungkin menjejaskan rentak mereka. Semua pemain Indonesia jelas berada dalam tekanan berbanding kem Malaysia kerana harapan yang diletakkan oleh para peminatnya begitu tinggi dan ekstrem. Situasi itu perlu diambil oleh pemain negara kerana kemungkinan kesilapan bakal dilakukan oleh pemain Indonesia. Buat Safiq Rahim dan rakan-rakan, ayuh ulangi persembahan menakjubkan di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini dan benamkan ego Indonesia. Malaysia Boleh! - UTUSAN | ||
'Indonesia tidak sekuat Vietnam' Posted: 'Indonesia tidak sekuat Vietnam'
JAKARTA - Kapten Malaysia, Safiq Rahim melaungkan keyakinan Malaysia mampu sekali lagi menggempur benteng Indonesia dan sekali gus, memastikan gelaran juara Piala Suzuki AFF menjadi milik Harimau Malaya. Pemain kelahiran Kuala Selangor itu berkata, kejayaan skuad negara menyekat kemaraan juara bertahan Vietnam di Hanoi sebagi bukti mereka mampu mengulangi kecemerlangan sama ketika turun menentang Indonesia. ''Jika Vietnam kami mampu sekat ketika beraksi di Hanoi, saya rasa tiada alasan yang kami tidak boleh mengulanginya semasa bertemu Indonesia. ''Bagi saya, cara permainan skuad Indonesia tidak berbahaya seperti Vietnam atau Thailand," itu pengakuan kapten Malaysia, Safiq Rahim menjelang pertemuan getir berdepan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini. Menurut Safiq, kejayaan menyingkirkan Vietnam di separuh akhir banyak menyuntik semangat pasukan Harimau Malaya untuk beraksi lebih baik ketika berdepan Indonesia. ''Walaupun, kami bermain dalam cuaca sejuk di Hanoi pada separuh akhir kedua, kami mampu membendung setiap asakan Vietnam ketika beraksi di gelanggang lawan. ''Saya lihat kami boleh mengulangi kecemerlangan yang sama, tambahan pula kami sudah ada pengalaman beraksi di Bung Karno," katanya ketika ditemui di lobi Hotel Sultan, semalam. Bagi mematahkan semangat melawan Indonesia, Safiq mahu rakan sepasukan mencari gol awal kerana pasukan tetangga itu sudah pasti memerlukan lima gol jika mahu mengatasi defisit Malaysia. ''Kami tidak akan bermain bertahan sepanjang perlawanan, jika boleh kami mahu mendapatkan gol awal terlebih dahulu kerana ia memberikan kelebihan jaringan di tempat lawan. ''Namun, seandainya kami dibolosi terlebih dahulu, saya akan pastikan rakan-rakan tidak cepat hilang semangat dan dapat mempertahankan bekalan yang kami bawa dari Kuala Lumpur," katanya. Safiq menjelaskan, dia kini sudah mula terbayang untuk menjulang Piala Suzuki AFF di hadapan puluhan ribu penyokong lawan di Gelora Bung Karno. Malah bertambah manis, kejayaan skuad negara itu dapat dilakar di hadapan penyokong fanatik Indonesia dan kejuaraan itu kelak merupakan yang pertama buat Safiq sebagai kapten pasukan kebangsaan. ''Bayangan menjulang trofi Piala AFF semakin berkobar-kobar dalam diri ini dan saya semakin teruja untuk merealisasikannya. ''Tetapi, masih ada 90 minit yang perlu kami selesaikan dan saya mahu rakan-rakan yang diturunkan pada perlawanan esok (hari ini) memberi fokus kepada permainan dan memperkuatkan mental untuk menghadapi tekanan menggila penyokong Indonesia," jelasnya. Pemain Selangor itu juga tidak takut dengan provokasi yang dibangkitkan oleh sebahagian besar penyokong Indonesia yang masih mengungkit isu penggunaan laser ketika aksi di Kuala Lumpur. ''Kami semua tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana yang penting kemenangan Malaysia bukan dibantu atas faktor laser sebaliknya memang berdasarkan hasil permainan kami yang lebih baik daripada Indonesia," tegasnya. - Utusan |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |