Selamatkan Sukan SEASelamatkan Sukan SEA
Daripada TAUFEK RAZAK
taufek.razak@kosmo.com.my
SUKAN SEA harus mempertahankan semangat ASEAN dan tuan rumah tidak harus mengambil peluang untuk menjadikannya sebagai acara yang memberi kelebihan kepada mereka.
PALEMBANG - Di beberapa bandar lain di Indonesia, bendera Malaysia kerap dijadikan sasaran emosi penunjuk perasaan.
Tetapi di Palembang yang menjadi venue utama, bendera itu berkibar megah di setiap sudut kota yang sudah 14 abad usianya.
Mulai dari kedai makan hinggalah ke bangunan rasmi kerajaan, semua mengibarkan bendera Malaysia. Pengibaran itu bukan kerana Palembang sudah dijajah Malaysia.
Ini kerana ada sembilan bendera lain turut dikibarkan melambangkan hubungan erat yang terjalin antara kelompok negara-negara di rantau Asia Tenggara ini atau lebih dikenali sebagai ASEAN.
Menerusi roh temasya Sukan SEA Ke-26 yang berakhir kelmarin, perpaduan, semangat muhibbah dan kemajuan sukan serantau menjadi intipati kepada tujuan temasya dwi-tahunan itu dianjurkan.
Namun jika hendak dibandingkan ketika zaman Sukan SEAP ditukar nama kepada Sukan SEA pada 1977, ternyata rohnya sudah lari daripada jasad sebenar.
Sukan SEA kehilangan apa yang dipanggil semangat kesukanan, fair play dan kewajaran acara yang dipertandingkan.
Sewajarnya ketika kita berusaha melibatkan masyarakat yang lebih luas dalam kegiatan sukan, tiga aspek ini harus kekal menjadi rohnya.
Malangnya insiden-insiden yang berlaku sepanjang temasya kali ini amat membimbangkan.
Ejek mengejek dan tidak hormat kepada lagu kebangsaan negara lain sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.
Semangat kesukanan sama sekali diketepikan semata-mata untuk melihat negara tuan rumah muncul juara keseluruhan.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Indonesia tetapi juga tuan rumah Sukan SEA sebelum ini.
Cuma bezanya, keadaannya makin berat jika tidak dibendung dengan segera.
Menggunakan pelbagai tipu helah serta pengadilan berat sebelah kerap menjadi isu dalam setiap temasya. Menghalalkan cara untuk sekadar memenangi sesuatu hanya akan menafikan semangat kesukanan itu sendiri sekali gus mendatangkan cemuhan.
Kebimbangan semakin menjadi trend apabila tuan rumah sanggup melakukan apa sahaja untuk muncul juara keseluruhan yang bermotifkan politik, pembangunan dan pembinaan bangsa.
Tidak dinafikan persefahaman ini telah lama wujud. Tawar menawar di kalangan semua negara Asia Tenggara yang bertanding berlaku. Mereka sepakat untuk memberikan kelebihan itu pada tuan rumah.
Dilihat daripada jumlah acara yang dipertandingkan itu sahaja, kita semua tahu bahawa tawar menawar itu memang dirancang. Siapa yang kenal dengan petanque atau vovinam?
Bagaimana pula roller sport, paragliding, renang sirip, catur, ski air, bridge dan wall climbing boleh menjadi sebahagian daripada acara Sukan SEA?
Tetapi semuanya ada pada temasya kali ini. Tidak lain tidak bukan ia bertujuan menjadi lubuk emas kepada tuan rumah. Berdasarkan statistik, sebanyak 68 pingat emas diraih Indonesia menerusi sukan pelik ini secara mudah.
Sambil itu untuk mengambil hati negara lain, satu atau dua acara yang tuan rumah tidak memiliki banyak jaguh disenaraikan. Contohnya seperti Malaysia dalam acara basikal trek.
Apa lagi kalau hendak bercakap tentang sukan berbentuk subjektif. Pengadilannya tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Silat, taekwondo, karate-do, wusyu, tinju dan apa sahaja yang berbentuk penilaian mata kasar, tiada pasukan yang pernah puas hati.
Kita tidak boleh lagi toleran dalam isu ini. Apatah lagi bersaksikan khalayak ramai, tuan rumah yang sekadar ingin meraih juara keseluruhan sanggup menghadiahkan kemenangan bukan mutlak untuk kepentingan diri sendiri.
Adalah lebih terhormat dan lebih punya harga diri sekiranya tuan rumah meraih juara keseluruhan tanpa perlu mengoyak-goyakkan semangat kesukanan. Kalau hanya setakat gelaran Asia Tenggara, tidak berbaloi kita perlu menggadaikan maruah seperti ini.
Terlalu naif rasanya mengorbankan perjuangan dan keringat atlet semata-mata untuk bergelar juara keseluruhan. Ia sama sekali tidak berguna. Semulianya kita perlu berlaku jujur agar sama-sama dapat meningkatkan lagi bidang sukan di rantau Asia Tenggara.
Kebangkitan negara Asia Tenggara harus dicetuskan dengan menjunjung tinggi semangat kesukanan jika kita tidak mahu menyaksikan prestasi atlet rantau ini terus ketinggalan di mata dunia.
Satu demi satu Sukan SEA sudah berlalu tanpa ada kesedaran ini. Ia hanya akan tinggal sebagai semboyan jika pentadbir sukan di rantau ini sendiri terus mencederainya.
Di tengah kebimbangan tentang terpesongnya peranan sebenar Sukan SEA ini, rasanya ada baik kita tekankan tentang semangat kesukanan dan fair play selepas temasya di Indonesia ini.
Dari situ, mahu tidak mahu, secara langsung atau tidak langsung, disedari atau tidak, kita perlu rela mengakui kelemahan dan kekurangan yang ada.
Semangat mahu menyelamatkan Sukan SEA ini perlu ada kerana tujuan yang sudah terpesong jauh, tidak harus dicapai dengan menghalalkan cara. Apa yang lebih penting lagi ialah iltizam negara ASEAN untuk mengubahnya.
Saat api obor di Kompleks Sukan Jakabaring dipadamkan, ketika bendera Sukan SEA bertukar tangan kepada Myanmar, ketika atlet dan pegawai keluar longlai meninggalkan Palembang, ketika itu kita harus punya rasa memikirkan satu perkara.
Apakah aku yang benar atau Sukan SEA itukah yang benar!
Full content generated by Get Full RSS.