Utusan Online - Sukan |
Posted: Lebih sengit dari di LaosJAKARTA - Sebagai tonggak yang membantu Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA dua tahun lalu, kapten skuad negara, Baddrol Bakhtiar mengakui, cabaran untuk mempertahankan kejuaraan kali ini jauh lebih sukar berbanding ketika memenanginya di Laos, menewaskan Vietnam di final. Jelas pemain sayap berusia 23 tahun itu, pertarungan kali ini bukan saja memerlukan Malaysia berdepan pasukan kuat Indonesia, malah dikelilingi penyokong fanatik negara itu yang melakukan pelbagai serangan psikologi untuk menjatuhkan semangat pemain kita. Biarpun berjaya menumbangkan tuan rumah 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Khamis lalu, namun Baddrol mengakui, pertemuan kali kedua dalam tempoh lima hari jauh berbeza, apatah lagi Indonesia pasti cuba bangkit membersihkan maruah yang tercalar. "Final di Jakarta ini memang sukar dan sengit, sudah tentu pengalaman kali ini lebih mencabar berbanding apa yang kami lalui di Laos, dua tahun lalu. Pertamanya kami terpaksa menghadapi ribuan penyokong fanatik mereka. "Indonesia juga sudah pasti bermati-matian bukan sahaja untuk memastikan pingat emas tetapi mahu membalas dendam selepas kalah kepada Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan,'' ujar pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu. Bagaimanapun tegas Baddrol, sebagaimana rakan-rakan sepasukannya berjaya menyerap segala tekanan dalam pertemuan Khamis lalu, dia yakin mereka juga memiliki mental yang tinggi untuk menangani situasi yang sama hari ini. Malah, mereka pasti lebih bersemangat untuk menghadirkan kemenangan kerana menyedari kemenangan kali ini bukan sekadar menentukan juara kumpulan, malah memberi pingat emas. "Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, janji kami hanya satu, memberikan persembahan terbaik dan mengambil kesempatan daripada pertahanan mereka yang agak goyah. "Saya yakin jika semua mengikut perancangan dan berjalan lancar, kita mampu mempertahankan pingat emas," katanya. Sementara itu penyerang muda negara, Muda, Izzaq Faris Ramlan kecewa kerana terpaksa disisihkan daripada aksi final akibat kecederaan lutut. Penjaring gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 di peringkat kumpulan itu mengalami kecederaan tersebut pada aksi separuh akhir menentang Myanmar, kelmarin. "Selepas perlawanan separuh akhir dengan Myanmar semalam (kelmarin), perasaan saya bercampur baur, gembira dan sedih. Gembira kerana kita akhirnya berjaya ke perlawanan akhir, namun dalam masa yang sama kecewa kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan beraksi pada pentas final akibat cedera. "Saya berdoa semoga kita memenangi perlawanan akhir itu nanti dan saya percaya rakan-rakan sepasukan mampu memenanginya. "Secara peribadi memang saya mahukan pingat emas bola sepak Sukan SEA," katanya. - Utusan Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Misi 60 emas mungkin sukarJAKARTA - Sasaran 60 pingat emas yang ditukar pada saat akhir mungkin sukar dicapai ketika Sukan SEA XXVI tinggal dua hari untuk ditutup, namun tambahan beberapa emas mungkin masih boleh berlaku selepas kontinjen negara mencatat angka 52 dengan menokok enam emas di hari ke-10, semalam. Renang berirama menyapu bersih empat emas yang ditawarkan setakat ini dengan mendominasi acara duet rutin bebas menerusi Pnh Hui Chuen dan Katrina Ann, selain menggunguli saingan berpasukan rutin bebas. Wusyu pula melengkapkan emas keempat mereka semalam apabila menokok dua lagi menerusi Tai Cheau Xuen dalam kombinasi Nandao dan Nan Gun wanita, manakala Kevan Cheah Nandao + Nan Gun lelaki. Boling menamatkan kempen selaku juara keseluruhan selepas Adrian Ang menghadirkan emas kelima negara dalam acara prestij Masters lelaki, yang menyaksikan Muhd. Syafiq Rihdwan Abdul Malek meraih gangsa. Hasrat basikal untuk menambah dua lagi emas tertangguh selepas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa terpaksa menunggu untuk memburu emas keduanya dalam scratch 5 kilometer apabila perlumbaan ditangguh akibat hujan. Bagaimanapun Malaysia meneruskan penguasaan dalam acara berpasukan lelaki kejar mengejar 4,000 meter di velodrom Rawamangun di sini, semalam. Kuartet Mohd. Harrif Salleh, Mohamad Akmal Amrun, Mohd Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan pesaing dari Indonesia pada aksi akhir, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. Mereka mencatat masa 4:36.322 untuk meraih emas ketiga Malaysia dalam basikal trek, sementara Indonesia ketinggalan di belakang dengan masa 4:51.404 bagi memenangi perak. Filipina dengan masa 4:45.900 meraih gangsa. Kemenangan tersebut merupakan pencapaian membanggakan terutamanya buat Harrif yang memenangi emas keduanya selepas menjuarai acara perlumbaan scratch 10km, kelmarin. "Sukar saya hendak luahkan dengan kata-kata. Kami telah memberikan yang terbaik, hari ini (semalam) meskipun terpaksa berhadapan dengan ejekan dan cemuhan daripada penyokong tuan rumah, tetapi kami berjaya mengawal emosi kami," kata Harrif. Hari ini renang berirama menawarkan emas terakhir di kolam renang, basikal mengharapkan Fateha meraih emas kedua, manakala tumpuan juga kepada tinju yang menampilkan Muhammad Farkhan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |