Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Akar umbi masih lemah

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

B. Sathianathan

SHAH ALAM - Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi seawal umur 12 tahun di negara ini perlu diberi perhatian serius jika negara mahu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti serta mampu mencabar di saingan antarabangsa.

Jika kata-kata bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan menjadi penilaian, sistem pembangunan bola sepak di negara ini mungkin perlu dikaji semula kerana masih ada kelemahan yang membelenggu para pemain muda di negara ini untuk memajukan corak permainan mereka.

Dia yang menjadi salah seorang penilai pada Kem Bola Sepak Junior Allianz dalam memilih tiga pemain yang akan menjalani latihan di Munich, Jerman mengakui beberapa aspek asas bola sepak oleh kebanyakan para pemain muda masih berada di tahap terendah.

Semuanya berpunca ekoran kekurangan perlawanan yang kompetitif dalam tempoh satu tahun dan itu menyukarkan mereka mengasah skil serta keupayaan di tahap terbaik.

''Jika saya mahu bercakap benar, lebih 100 remaja terdiri daripada mereka yang berumur di kalangan 14, 15 dan 16 tahun yang saya temui mengakui mereka hanya bermain sebanyak tiga atau empat perlawanan kompetitif sepanjang tahun.

''Situasi ini cukup berbeza semasa saya pergi ke Jepun, pemain yang sebaya dengan usia mereka beraksi lebih kurang 40 perlawanan dalam masa satu tahun, memang kita agak sedikit ketinggalan dalam soal ini.

''Pembangunan akar umbi di peringkat sekolah ternyata perlu dinilai kembali kerana jumlah perlawanan yang mereka lalui tidak mencukupi dan memang agak sedikit," katanya yang ditemui selepas pemilihan Kem Bola Sepak Junior Allianz 2013 di Padang SUK, semalam.

Sebagai bukti, Sathianathan berkata, beberapa perkara asas bola sepak di kalangan mereka yang hadir juga tidak sebaik mana ekoran kurang pendedahan bermain di peringkat tertinggi.

''Perkara-perkara asas seperti balingan bola juga ada kelemahan malahan mereka lebih gemar bermain secara hantaran jauh kerana tidak mahir menggunakan hantaran-hantaran pendek.

''Ini semua berpunca daripada kurangnya bermain perlawanan kompetitif di samping tiada jurulatih yang bertauliah membentuk mereka," katanya.

Pada pemilihan terakhir melibatkan 25 pemain yang turun menentang pasukan Bawah 17 tahun Selangor di Padang SUK, tiga pemain yang berjaya menempah tiket ke Munich adalah S. Thinparaj, Farid Asraf Kamarozaman dan Mohamad Syawal Rosman.

Mereka akan berangkat ke sana selama enam hari bermula 7 Ogos depan dan berpeluang menemui bintang-bintang Bayern Munich malahan dapat menyaksikan perlawanan secara langsung aksi kelab gergasi Jerman itu di Allianz Arena.

Tujuh lagi pemain lain yang berada di tempat keempat hingga sepuluh akan menyertai Kem Junior Bola Sepak Asia Allianz 2013 di Phuket, Thailand dari 28 hingga 30 Jun ini.

Seramai 1,200 peserta telah hadir pada sesi uji bakat yang diadakan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan pada 15 Jun lalu dan Padang SUK.

Turut hadir Ketua Pegawai Esekutif Allianz Insuran Berhad, Jens Peisch dan dua bekas pemain kebangsaan, Shahrin Majid serta Rusdi Suparman yang bertindak sebagai sebagai hakim.

Hafizh rakam kejayaan podium kedua di Sepanyol

Posted: 23 Jun 2013 12:21 PM PDT

Hafizh Syahrin menduduki tempat ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

KUALA LUMPUR - Pelumba sensasi Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah kian mempamerkan kehandalan dengan menaiki podium keduanya bagi musim ini dalam pusingan ketiga Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol CEV Repsol di Litar Albacete, semalam.

Biarpun mengalami sakit otot lengan kanan, pelumba cekal Petronas Raceline ini yang layak bagi permulaan petak depan kelmarin, tetap mampu menduduki tempat ketiga selepas melengkapkan 20 pusingan.

Hafizh, 19, atau digelar El Pescao (Ikan Kecil) mencatat 31 minit 00.440 saat manakala Alejandro Marinelarena merangkul kejuaraan dengan 30'56.019s sambil diikuti oleh Roman Ramos di tangga kedua, 30'58.464s.

"Saya gembira meraih podium kedua di Albacete. Keadaan tampak baik sejak awal malah saya mampu mendahului bagi beberapa pusingan dengan dikejar rapat Daniel Rivas dan Ramos.

"Saya cuba menjauhi mereka namun kedua-dua penunggang itu cukup pantas jadi saya biarkan mereka melepasi supaya saya dapat mengambil nafas baharu.

"Sebaik sahaja mereka di depan, saya kekal bersama di situ dan kami saling mendahului beberapa kali.

"Saya berharap untuk mencapai kedudukan lebih baik kerana kederasan saya namun menuju penghujung perlumbaan, lengan kanan saya mula sakit dan saya tidak mampu mengasak lagi.

"Walau bagaimanapun saya cukup gembira dengan keputusan ini. Pasukan saya menjalankan tugas yang cemerlang jadi syabas kepada setiap orang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS