Utusan Online - Sukan |
Posted: Safee tidak tergugatOleh ZAZALI JAMIAN
KUALA LUMPUR - Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai status bintang penyerang negara, Safee Sali, biarpun media melaporkan Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan badan bola sepak dunia, FIFA. Pengurus Safee, Zakaria Ab. Rahim menegaskan, laporan media Indonesia bahawa ISL diharamkan FIFA dan Safee tidak boleh menyarung jersi Malaysia adalah tidak tepat. Jelasnya, ia cuma satu salah faham yang perlu diperbetulkan. Malah, Zakaria memberitahu, Safee masih selesa beraksi bersama Pelita Jaya, antara kelab yang dikatakan terjejas ekoran pengharaman ISL. "Ada beberapa akhbar mereka (Indonesia) melaporkan tentang perkara tersebut dan ia tidak tepat sama sekali. "Saya juga telah dimaklumkan bahawa laporan itu bukan surat rasmi yang dihantar kepada badan induk bola sepak mereka tetapi hanya email jawapan yang dihantar kepada media untuk membalas soalan diajukan sebelum ini. Ia cuma salah faham dan tidak betul sama sekali. "Pihak FIFA sekadar menasihatkan mereka agar menangani perkara tersebut dengan baik itu sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam. Terdahulu portal berita akhbar Republika, melaporkan, surat pengharaman ISL oleh FIFA ditujukan kepada Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin. Surat tersebut antara lain menyatakan ISL adalah liga yang tidak diiktiraf badan dunia itu. Kandungan surat tersebut juga menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil dalam ISL , sekali gus memberi makna bahawa semua yang terlibat akan dikenakan pembekuan status perpindahan serta pemain tidak boleh bermain dalam liga atau kejohanan di negara yang merupakan anggota FIFA. Sementara itu, Zakaria berkata, bagi menjelaskan perkara tersebut secara terperinci satu sidang akhbar khas akan diadakan di ibu negara pada Isnin depan. "Saya dan Safee baru pulang dari Indonesia dan setakat ini ramai orang yang telah menghubungi saya untuk bertanyakan berhubung perkara ini. "Perkara ini nampaknya sudah menjadi begitu rumit dan memerlukan penerangan secara terperinci. Justeru, saya akan mengadakan satu sidang akhbar khas bersama media Malaysia bagi menjelaskan dengan terperinci," jelas Zakaria lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Survival Piala Thomas BAMOleh Norzie Mohd. Khasbi PENGALAMAN dan peningkatan yang semakin ditunjukkan Muhammad Hafiz Hashim bakal menempatkannya dalam skuad Piala Thomas 2012. KUALA LUMPUR - Demi survival Piala Thomas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia memanggil semula bekas pemain kebangsaan, sambil menolak sebarang eksperimen ke atas pemain muda untuk menghadapi pusingan kelayakan, tahun depan. Menurut BAM, mereka akan melakukan apa saja keputusan yang dianggap wajar untuk memastikan Malaysia berjaya melepasi pusingan kelayakan di Macau, 4-19 Februari ini. Gagal melayakkan diri akan dianggap 'malapetaka' buat badminton negara. Itu bermakna, dua pemain KLRC, Muhammad Hafiz Hashim dan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli mungkin menerima nasib berbeza apabila skuad diumum, bulan depan. Pada ketika Hafiz hampir pasti dipanggil, Zulfadli mungkin diketepikan jika badan badminton itu memilih untuk menurunkan pemain lebih berpengalaman. Malah di atas kertas, jaguh veteran, Wong Choong Hann yang sudah mencecah usia 34 tahun masih relevan menjadi calon untuk menggalas cabaran kerana memiliki ranking lebih baik berbanding pemain-pemain muda negara. Dia menghuni tangga ke-44 dunia, 10 anak tangga di belakang Hafiz (34), tetapi mengatasi Liew Daren (47) dan Mohd. Arif Latif (49). Senarai akhir skuad negara akan diumum selepas tamat Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 10-15 Januari ini. Biar apa keputusan kejohanan, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sudah menjamin tempat. Zulfadli, 18, masih berpeluang tetapi perlu mempamer permainan yang benar-benar meyakinkan jika mahu mengetepikan Daren, Arif, Chong Wei Feng dan Chan Kwong Beng. "Sekarang bukan masa untuk menegakkan pemain siapa yang layak atau tidak, sekarang adalah masa di mana kita hanya mahu yang terbaik membawa cabaran Malaysia kerana ketika ini, survival Piala Thomas lebih penting. "Kami mengalu-alukan pemain bebas atau bekas pemain kebangsaan dalam pasukan Piala Thomas seandainya mereka benar-benar layak dan berada pada prestasi terbaik apabila kejohanan berlangsung. "Malah, BAM juga tidak akan melakukan sebarang eksperimen, kerana pentas kelayakan Piala Thomas bukan lagi medan untuk menguji atau mendedahkan pemain,'' kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh. Jika sebelum ini fokus Malaysia badminton pada Piala Thomas adalah kepada sejauh mana kita mampu merampas gelaran, namun kini dengan ketiadaan pemain muda berwibawa, BAM terpaksa menerima hakikat bahawa peluang untuk melepasi kelayakan sendiri belum terjamin. Malah, dengan pusingan kelayakan bakal menampilkan semua gergasi Asia, termasuk China yang sudah melayakkan diri selaku tuan rumah pusingan akhir, Malaysia mendapati laluan untuk mencari tiket semakin getir. Perlu diingat, Malaysia telah dikejutkan oleh Thailand dalam saingan berpasukan Sukan Asia di Guangzhou, tahun lalu, bermakna negara itu juga mampu menjadi pencabar utama. Jepun juga mampu menjadi ancaman, selain kuasa sedia ada seperti Indonesia dan Korea Selatan. China mampu menjadi 'pengacau' jika diundi bersama Malaysia dalam kumpulan yang sama. Meskipun sudah layak, mereka mahu beraksi pada pusingan kelayakan untuk mencari sebanyak mungkin mata bagi kelayakan Sukan Olimpik 2012. Hanya empat pasukan dari kelayakan zon Asia layak bertanding di Wuhan dari 20 hingga 27 Mei. Biarpun sudah 19 tahun Malaysia tidak bergelar juara Piala Thomas, iaitu kali kemenangan di Kuala Lumpur pada 1992, namun kita tidak pernah gagal melayakkan diri pusingan akhir sejak format baru kejohanan diperkenalkan pada 1984. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |