Utusan Online - Sukan |
Posted: Awas Gunners!Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Jurulatih skuad negara, Rajagobal serius memberikan arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Arsenal, malam ini. - BERNAMA KUALA LUMPUR - Status selaku gergasi Liga Perdana England - Arsenal bukan sesuatu yang menakutkan buat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang menyeru rakan sepasukannya agar mempersembahkan aksi terbaik malam ini. Menjadikan pengalaman berdepan Manchester United dua tahun lepas sebagai pengalaman terbaik, perancang utama pasukan negara itu yakin Malaysia mampu membuat kejutan ke atas Arsenal. ''Ya, memang benar mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tetapi jangan terlalu awal menidakkan peluang kami untuk menyaingi Arsenal. ''Namun, saya harap rakan sepasukan boleh membuktikan sesuatu dan jangan terlalu menghormati lawan dalam perlawanan esok (hari ini). ''Selain itu, apa yang penting, berhadapan dengan pasukan lawan seperti Arsenal, kami boleh dapat belajar sesuatu daripada cara permainan mereka. ''Kami harus mengambil kesempatan terbaik ini, ramai pemain luar di sana mahu berhadapan dengan pasukan yang hebat seperti Arsenal, jadi saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam. Skuad negara yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Singapura pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini juga dijadual berdepan Liverpool pada 16 Julai ini. Bagi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan Safee Sali, mengakui dia sudah tidak sabar lagi beraksi pada hari ini jika diberikan peluang. ''Menjelang perlawanan berhadapan dengan Singapura, saya anggap ini adalah persiapan paling bagus untuk meningkatkan keyakinan kami. ''InsyaAllah, jika diberikan peluang turun, saya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan negara," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Chelsea. Pada perlawanan hari ini, Rajagobal dijangka menurunkan Mohd. Shakir Shaari untuk beraksi di bahagian tengah bersama Safiq. Khairul Fahmi Che Mat juga akan kembali mengawal gawang negara daripada Sharbinee Allawee selepas pulih daripada kecederaan bahu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Szczesny hormati skuad negaraPasukan Arsenal mengadakan latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang Malaysia malam ini. Arsenal mengadakan siri Jelajah Asia 2011 sebagai persiapan musim baru Liga Perdana England yang akan membuka tirai bulan depan. - UTUSAN/Shahril Azman Zain KUALA LUMPUR - Penjaga gol utama Arsenal, Wojciech Szczesny berkata, dia sudah bersedia berhadapan skuad Malaysia walaupun mengakui kurang arif mengenai Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal. Jelas Szczesny, dia hanya mendapat maklumat yang rata-rata pemain skuad negara masih muda dan berumur di bawah 24 tahun. Pun begitu, dia sesekali tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan Malaysia yang diramal memberikan tentangan sengit kepada Arsenal. ''Sebelum kedatangan kami di sini, kami sempat diberitahu kesebelasan utama Malaysia terdiri daripada pemain-pemain muda. ''Saya jangkakan pasukan Malaysia akan memberikan kami satu ujian sukar pada perlawanan malam esok (hari ini). ''Namun, saya dan rakan-rakan akan menghadirkan satu persembahan terbaik untuk menang dan menghiburkan para peminat kami di sini," katanya secara eksklusif kepada Utusan Malaysia di Mid Valley, semalam. Dia sebelum itu menghadiri program 'Gunners Challenge' anjuran Nike bersama tiga lagi rakan sepasukannya iaitu Jack Wilshere, Theo Walcott serta Alex Song dan turut meluangkan masa bertemu para peminat selama dua jam. Szczesny merupakan penjaga gol nombor satu Arsenal musim lalu selepas kecederaan yang dialami oleh Lukasz Fabianski serta kemerosotan prestasi Manuel Almunia. Dalam pada itu, penjaga gol yang berasal dari Poland itu menambah, dia terkejut dengan sambutan yang diterimanya sepanjang dua hari berada di Malaysia. ''Sambutan yang diterima daripada penyokong di sini cukup menakjubkan, tidak sangka kami mempunyai peminat yang ramai di sini. ''Malahan, kemudahan yang disediakan dan layanan diberikan oleh tuan rumah semuanya nampak baik," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |