Utusan Online - Sukan |
Posted: 70,000 untuk penyokong kitaOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket untuk penyokong Malaysia pada harga RM30 dan RM50 untuk perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini. Harga yang diumumkan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak RM10, apabila RM50 dikhaskan untuk tempat duduk berbumbung, sementara tempat duduk tidak berbumbung pula ditetapkan RM30. Berbanding pada perlawanan separuh akhir membabitkan Malaysia dan Vietnam lalu, harga tersebut merupakan kenaikan sebanyak R10, namun harga tiket bagi kanak-kanak kekal RM5. Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, penyokong tempatan boleh mula mendapatkan tiket yang akan dijual esok di pintu pagar berwarna kuning Stadium Nasional, bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang sehingga hari perlawanan. ''Tiket ini hanya dijual kepada penyokong Malaysia sahaja dan mereka perlu menunjukkan kad pengenalan masing-masing ketika membeli tiket. ''Sebanyak 70,000 tiket kerusi tidak berbumbung dan 2,500 tempat duduk berbumbung diperuntukkan kepada penyokong Malaysia. ''Sementara bagi penyokong Indonesia, berdasarkan persetujuan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), 15,000 tiket bagi kerusi tidak berbumbung dan 500 tempat duduk berbumbung akan diagihkan kepada penyokong mereka di sini. ''Kami belum memberi keputusan di mana tiket untuk penyokong Indonesia akan dijual, kerana mengikut cadangan asal, FAM mahu tiket dijual di Kedutaan Indonesia, namun ia bergantung perbincangan Setiausaha PSSI, Jeneral Nugraha Besoes yang akan melakukan kunjungan hormat ke sana esok (hari ini), '' katanya. Jika kedutaan tidak bersetuju mekanisme cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, Azzuddin berkata, pihaknya mempunyai alternatif lain. ''FAM akan serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan antara cadangan awal ialah menjual tiket di pintu pagar biru dan mereka harus menunjukkan pasport Indonesia ketika membeli tiket. ''Mungkin esok (hari ini) saya akan beritahu secara rasmi cara penjualan tiket kepada penyokong Indonesia, '' jelasnya pada sidang media di Wisma FAM, semalam. Sebelum itu, beliau dan Sivasundram menerima kunjungan hormat perwakilan PSSI ke Wisma FAM, bagi membincangkan pengagihan tiket dan taklimat mengenai langkah keselamatan menjelang perlawanan akhir pertama, Ahad ini. Azzuddin memberitahu, FAM akan mempertingkatkan kawalan keselamatan pada hari perlawanan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini. ''Berasaskan pengalaman pada enam tahun lalu ketika kedua-dua pasukan bertemu, pemisahan penyokong antara kedua-dua pasukan harus dilakukan. ''Satu mesyuarat khas membincangkan soal keselamatan akan dilakukan pada hari esok di Wisma FAM, '' katanya. Skuad Indonesia akan tiba ke Malaysia Jumaat ini dan akan menjalani latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN). | ||
Ikat sayap Indonesia - Rajagobal Posted: Ikat sayap Indonesia - RajagobalOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Kelibat dua pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan bersama pemain import mereka, Cristian Gonzales akan diberikan perhatian istimewa oleh pertahanan Malaysia. Itu janji jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini. ''Berdasarkan analisis, Saya melihat mereka pemain yang boleh menghadirkan ancaman serius kepada kami jika diberikan ruang untuk bergerak bebas. ''Saya ada perancangan khusus untuk mengikat mereka dan jika itu berjaya, kami mampu bermain mengikut apa yang saya rancangkan dan itu mampu berikan kelebihan buat kami. ''Saya harap para pemain boleh mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bermain pada perlawanan kedua. ''Selain mereka, saya lihat ketua pasukan Indonesia, Firman Utina dan Ahmad Bustomi juga antara pemain yang bagus, '' katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam. Skuad negara kembali menjalani latihan semalam, selepas diberi pelepasan dua hari oleh Rajagobal, sejurus pulang dari Hanoi, Ahad lalu. Namun dua pemain, Khyril Muhymeen dan Mohd. Amirulhadi Zainal tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain menjalani latihan, kerana cedera lutut. Rajagobal berkata, dua pemain tersebut berlatih di bawah pengawasan ahli fisioterapi dan dia masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan pemain Kedah dan Selangor itu. ''Khyril ada masalah di lutut kanan sementara Amirulhadi pada lutut kiri, tetapi saya lihat tidak serius. Saya akan lihat perkembangan mereka dari semasa ke semasa, '' katanya. Selain itu, Rajagobal berharap tiga pemain, Safee Sali, Mahali Jasulli dan Amirulhadi dapat mengelakkan daripada mengutip kad kuning kedua pada final pertama, supaya dapat beraksi di Stadium Gelora Bung Karno pada final kedua. ''Mereka bertiga masing-masing sudah mendapat satu kad kuning perlawanan separuh akhir berdepan Vietnam. ''Saya harap mereka berhati-hati semasa bertemu Indonesia di Stadium Nasional nanti supaya tidak digantung pada perlawanan seterusnya, '' katanya. Skuad bimbingan Rajagobal akan berdepan Felda United di Wisma FAM pada aksi persahabatan pada pukul 8 malam ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |