Utusan Online - Sukan |
Chong Wei terus garang ke separuh akhir Posted: Chong Wei terus garang ke separuh akhir
KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei menggembirakan ribuan penyokong dengan muncul wakil tunggal Malaysia melangkah ke separuh akhir, namun separuh daripada tarikan Terbuka Malaysia hilang kerana dia tidak akan menentang Lin Dan yang menarik diri. Chong Wei, sebaliknya hanya akan bertemu pemain muda China, Chen Long pada separuh akhir hari ini selepas pertemuan yang diimpikan oleh seluruh peminat tidak menjadi kenyataan ekoran tindakan Lin Dan menarik diri dengan alasan kecederaan otot perut. Juara Olimpik itu dikatakan mengalami kecederaan tersebut ketika latihan pagi semalam, bagaimanapun ia agak menghairankan kerana pemain China tidak kelihatan pada sesi latihan yang dijadual di Stadium Putra pukul 9 pagi. Ketiadaan musuh tradisi mencerahkan peluang Chong Wei untuk merakam kejuaraan ketujuh Terbuka Malaysia dan semalam dia tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16. Biarpun sedikit dikejutkan dengan ketinggalan 8-11 pada set pembukaan, namun Chong Wei dengan bantuan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek tidak menghadapi masalah untuk bangkit sebelum memenangi pertarungan dalam masa 40 minit. "Saya tahu semua orang menunggu pertemuan saya dan Lin Dan, ia memang agak mengecewakan mereka apabila tidak dapat menyaksikan perlawanan itu tetapi untuk saya, tiada apa yang boleh dilakukan jika dia mahu menarik diri. "Saya setuju dengan pandangan Taufik Hidayat (Indonesia), BWF (Persekutuan Badminton Dunia) kena mengambil serius perkara ini kerana ia bukan kali pertama Lin Dan menarik diri daripada kejohanan secara tiba-tiba apabila terpaksa berdepan rakan senegara sendiri. "Saya tidak kata ia adalah perancangan atau plot China, saya tidak pasti tetapi perkara seperti ini kalau dibiarkan tidak bagus untuk sukan badminton. Semua peminat akan marah,'' kata pemain No. 1 dunia itu ketika ditemui sejurus tamat perlawanan. Bagaimanapun tegas Chong Wei, sekali pun berjaya mengelak pertemuan dengan musuh tradisi yang telah mengalahkannya dalam dua perlawanan terakhir mereka - Piala Thomas dan Sukan Asia 2010, dia masih tidak melihat laluan di separuh akhir mudah kerana Chen Long juga adalah pemain yang sukar dijinakkan. Tambahan lagi katanya, pemain muda China itu, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka China, Oktober lalu mempunyai kelebihan fizikal kerana mendapat rehat sehari ekoran kemenangan percuma yang dihadiahkan oleh Lin Dan. Chong Wei, 29, dan Chen Long, 22, mempunyai rekod pertemuan seimbang. Dia mengalahkan pemain muda itu pada pertemuan terakhir mereka di Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Jun tahun lalu tetapi kalah ketika kali pertama bertemu di Terbuka India, Mac 2009. Melengkapkan kuota separuh akhir perseorangan lelaki adalah dua pemain Indonesia, juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat yang bakal berentap dengan Simon Santoso. Taufik mudah mengetepikan naib juara All England, Kenichi Tago 21-15, 21-15, manakala Simon menundukkan rakan senegara, Alamsyah Yunus 21-19, 21-9. | ||
Posted: Nadzmi jumpa Misbun hari iniOleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian KUALA LUMPUR - Selepas hampir sebulan berlarutan, kemelut antara jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal berakhir esok apabila ahli majlis badan badminton negara itu bersidang untuk mencari satu keputusan. Bagaimanapun tempoh yang sebenarnya dianggap paling kritikal adalah hari ini, apabila Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh mengadakan pertemuan terakhir dengan Misbun untuk berunding mengenai masa depan jurulatih, sebelum membawa hasil rundingan untuk dibincangkan oleh majlis. Kata Nadzmi, beliau masih berharap krisis ini akan berakhir dengan nada positif, sambil melihat kehadiran Misbun di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei pada Terbuka Malaysia sebagai semangat yang baik. "Saya belum sempat berjumpa beliau kerana baru pulang dari luar negara hari ini tetapi saya akan bertemunya esok kerana banyak perkara yang perlu dijelaskan oleh kedua-dua pihak sebelum mesyuarat majlis diadakan Ahad ini. Baik Misbun mahupun BAM perlu mempunyai gambaran yang betul. "Saya masih percaya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Saya tidak pasti apakah hasil daripada rundingan dengan Misbun dan apakah keputusan akan dicapai di mesyuarat itu nanti, tetapi saya mengharapkan ia berakhir dengan sesuatu yang amat positif," ujar Nadzmi. Tegas Nadzmi lagi, masalah perletakan jawatan Misbun harus ditangani daripada semua aspek kerana ia melibatkan kepentingan negara, bagaimanapun perkara paling penting buat majlis BAM adalah memahami aspirasi dan pemikiran jurulatih itu. Begitupun Misbun juga perlu diperjelaskan mengenai matlamat perjuangan sebenar BAM kerana sebagai sebuah badan induk yang menaungi ramai pemain-pemain kebangsaan serta menggalas tanggungjawab melakukan program pembangunan, mereka juga mempunyai sistem dan cara yang mungkin kurang difahami. Ketika ditanya apakah beliau lega kerana kemelut Misbun menghampiri penghujung, Nadzmi hanya berkata: "Saya memang mengharapkan perkara ini tidak berlarutan lebih lama kerana selepas ini kami ada banyak program yang memerlukan perlaksanaan. "Saya memang gembira masalah ini akan berakhir segera tetapi lebih gembira jika ia berakhir dengan baik. Saya tidak kata masalah ini tidak merungsingkan saya, tetapi mungkin sebagai orang lama saya mempunyai kesabaran yang tinggi." Mengulas keputusan pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim untuk meninggalkan pasukan kebangsaan, Nadzmi mengakui, isu juara All England 2003 itu lebih mudah berbanding Misbun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |