Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tuah anak Chong Wei?

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei atau Sazali Samad? Datuk Nicol David atau Pandelela Rinong?. Teka-teki siapa yang bakal bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012, akan terjawab dalam Anugerah Sukan Negara Ke-48, malam ini.

Rezeki kelahiran Kingston Lee, Jumaat lalu mungkin akan berpihak kepada Chong Wei untuk naik ke pentas pemenang berdasarkan pencapaian pingat perak badminton pada Sukan Olimpik London, tahun lalu, selain lima gelaran Siri Super dan satu Grand Prix Emas.

Namun gelaran Mr. Universe kategori 70 kilogram pada Kejohanan Bina Badan Dunia WBDF Keempat di Bangkok, Disember lalu yang dimiliki Sazali tidak kurang hebatnya.

Ini akan menjadi pertaruhan anggota polis ini untuk dinobat sebagai Olahragawan selepas turut turut menjuarai Kejohanan Asia Ke-44 di China.

Chong Wei sudah bergelar Olahragawan Kebangsaan pada 2005, 2008 dan 2011 manakala Sazali pernah memenanginya pada 2000 dan 2006, sekali gus mencetuskan daya tarikan kepada pemerhati dan peminat sukan tanah air tentang siapa yang mampu melebarkan rekod kejayaan berprestij itu kali ini.

Kejutan juga mampu didatangkan oleh juara Master Piala Dunia AMF, Mohd. Syafiq Ridhwan, sambil sedikit tentangan bakal cuba diberikan oleh juara kata perseorangan dan berpasukanLiga Perdana Persekutuan Karate Dunia, Ogos lalu - Leong Tze Wai.

Persaingan merebut gelaran turut berlaku di antara ratu terjun negara, Pandelela dan jaguh skuasy No. 1 dunia, Nicol.

Kejayaan Pandelela meraih gangsa 10 meter platform individu pada Olimpik 2012 meletakkannya sebagai pilihan untuk membawa pulang gelaran Olahragawati.

Namun, Nicol dengan deretan kejuaraan, termasuk gelaran dunia ketujuh turut meletakkannya dalam kedudukan pilihan.

Mereka akan disaingi juara keirin berbasikal Asia, Fatehah Mustapa dan pemenang gangsa perseorangan Kejohanan Boling Dunia, Cheah Mei Lian.

Pandelela, Olahragawati Kebangsaan 2011 cuba menambah koleksi peribadi selepas turut dinobat sebagai pemenang Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Olimpian Wanita Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Nicol pula masih memegang rekod selaku Olahragawati Kebangsaan terbanyak dalam sejarah (lapan kali - 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010).

Trofi dan ganjaran RM20,000 yang dinaikkan sekali ganda sejak tahun lalu, menanti Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012 dengan majlis penyampaian anugerah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ini akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Anugerah lain, termasuk Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM20,000), Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan (RM10,000); Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM5,000) dengan persatuan sukan yang menaungi pemenangnya, mendapat RM2,000 di samping Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Kuasa 'bersuara' akan diperluas

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah menggantung ramai tokoh bola sepak negara gara-gara mengkritik persatuan, bakal mengalami transformasi.

Jika sebelum ini hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan bersuara, Artikel 88 akan diubahsuai untuk membenarkan lebih ramai pegawai melontarkan pandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Peraturan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, pegawai lain juga akan diberi kebenaran untuk bersuara oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM berdasarkan portfolio masing-masing, sekiranya pindaan kecil artikel itu dipersetujui Kongres, pertengahan Ogos ini.

Katanya, cadangan pindaan yang disifatkannya sebagai lebih jelas dan bertujuan memudahkan semua pihak itu bakal dihantar kepada ahli gabungan FAM, tiga bulan menjelang mesyuarat Kongres.

Ia bertujuan untuk memberi makluman kepada mereka agar dapat diselaraskan dengan perlembagaan persatuan masing-masing.

"Cadangan pindaan Artikel 88 itu memiliki sedikit pengubahsuaian daripada yang sekarang tetapi masih dalam kawalan tertentu. Kami tidak mahu ada lagi pihak yang mengambil tafsiran berbeza. Kami akan senaraikan apa yang boleh dan tidak boleh untuk mereka mengulas (kepada media) berdasarkan portfolio masing-masing," katanya.

Afandi yang juga Naib Presiden FAM, mengulas mengenai hasil mesyuarat Exco dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadirinya di sini, semalam.

Agenda utama mesyuarat ialah cadangan pindaan Artikel 88.

Tokoh bola sepak yang digantung dan didenda kerana menyalahi artikel berkenaan ialah Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan yang terbaharu bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib ialah ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Mohd. Taufek Abd. Razak berkata, kes jurulatih berkenaan bakal dibicarakan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 20 April ini bersama kes pergaduhan dua pemain Selangor dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Januari lalu.

"Sekarang ini saya sangat sibuk dengan PRU. Tunggulah kemungkinan besar (kes Rajagobal yang dikatakan mengkritik khidmat penyerang import dalam Liga Malaysia) selepas hari penamaan calon.

"Kesnya akan disebut bersama kes pergaduhan pemain Selangor, Afiq Azmi dan Shukur Jusoh dengan ATM dalam Piala FA itu," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS