Utusan Online - Sukan |
Posted: Lepaskan saya - HafizOleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian
KUALA LUMPUR - Ketika isu peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek belum berkesudahan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima satu lagi tamparan, apabila Muhammad Hafiz Hashim mengumumkan hasrat untuk meninggalkan skuad kebangsaan dan memohon dia dilepaskan. Kenyataan tersebut hadir selepas kekalahannya kepada pemain China, Chen Long pada pusingan pertama Terbuka Malaysia semalam. Hafiz menegaskan, tindakan untuk keluar BAM tiada kena mengena dengan isu Misbun, mahupun Datuk Lee Chong Wei, yang turut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan skuad kebangsaan. Katanya, hasratnya itu sudah disuarakan kepada Setiausaha BAM, Ng Chin Chai hujung bulan lalu, namun sehingga hari ini BAM tidak memberi sebarang kata putus. Ditanya punca dia mahu keluar dari BAM, Hafiz menjelaskan: "Saya perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah prestasi saya yang semakin teruk, saya tidak boleh meningkat lagi di BAM walaupun sudah lama di sana. "Keluar dari BAM antara usaha untuk menyelamatkan karier. Sampai bila saya hanya boleh melihat permainan saya statik? Saya kena melakukan sesuatu, saya kena cuba perkara baru. "Sama ada saya akan berjaya atau tidak di luar sana, ia bergantung kepada diri saya sendiri. Selagi saya berada dalam skuad kebangsaan dan tidak menunjukkan prestasi baik, orang akan mencemuh saya dan berkata, 'mengapa masih hendak kekalkan dia sedangkan dia tidak bagus." Menurutnya, memandangkan dia masih mempunyai kontrak dengan BAM sehingga Sukan Olimpik 2012, dia tidak boleh meninggalkan BAM tanpa keizinan, kerana ia mengundang risiko kepada kariernya. Dia mengakui, antara padah yang mungkin menanti adalah digantung daripada bertanding antarabangsa dan pada usia 29 tahun jika itu berlaku, ia sama seperti 'membunuh' kariernya. Justeru, Hafiz merayu kepada BAM agar melepaskannya untuk bergerak bebas. "Saya rasa tiada guna BAM mengekalkan saya kerana permainan saya bukan semakin bagus, saya bukan pemain muda yang berusia 21 tahun. Kalau saya pergi, pemain pelapis juga ada peluang yang lebih bagus untuk mendapat banyak kepercayaan,'' katanya. | ||
Posted: Chong Wei lambat panasKUALA LUMPUR - Jaguh No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menambah drama pada hari pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia semalam, apabila mencemaskan penonton dengan aksi 'lambat panas' dan ketinggalan dalam kedua-dua set, sebelum bangkit menyingkirkan Tommy Sugiarto dari Indonesia, untuk muncul wakil tunggal negara meneruskan kemaraan ke pusingan kedua. Sementara itu, juara bertahan beregu lelaki yang juga pilihan No. 1 kejohanan, Koo Kean Keat- Tan Boon Heong kalah kepada pasangan China, Hong Wei-Shen Ye 21-16, 18-21, 16-21. Ketika cabaran dua lagi wakil perseorangan, Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann terkubur awal, Chong Wei menggalas sandaran peminat untuk meneruskan kemaraan, dan dia dicemaskan seketika oleh Tommy sebelum menang 21-17, 21-18 dalam masa 43 minit. Kemenangan Chong Wei, yang memburu kejuaraan ketujuh kejohanan, hadir beberapa minit selepas Hafiz mengumumkan hasrat untuk meninggalkan skuad kebangsaan. Malah, berita mengejutkan itu turut sampai ke pengetahuan Chong Wei sebelum dia memasuki gelanggang. "Ada orang beritahu saya tentang perkara itu ketika saya hendak memasuki gelanggang, ia sesuatu yang mengejutkan tetapi saya harap Hafiz akan berjaya dengan apa sahaja keputusan yang diambil," ujar Chong Wei. Semalam merupakan hari yang penuh dengan pelbagai emosi pemain negara. Jika Chong Wei lega selepas bergelut, Hafiz menangisi kekalahan 14-21, 16-21 kepada jaguh muda China, Chen Long dan Wong Choong Hann tunduk 15-21, 21-15, 18-21 kepada Marc Zwiebler dari Jerman, Wong Mew Choo pula adalah pemain paling gembira. Perseorangan wanita negara itu melakar kejutan terbesar kejohanan dengan menewaskan juara dunia 2009, Lu Lan 13-21, 22-20, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan pemain No. 1 dunia, Wang Xin juga dari China. Chong Wei pula akan berdepan Hu Yun dari Hong Kong dalam saingan pusingan kedua. "Hu Yun adalah pemain lama dan saya sentiasa menghormatinya tetapi pada saya, tidak perlu memikirkan tentang orang lain kerana yang penting adalah fokus kepada permainan sendiri. "Hari ini, saya bergelut pada awal saingan, mungkin kelewatan jadual pertandingan (lewat hampir dua jam) juga sedikit menjejaskan tumpuan saya, namun saya tidak mahu menyalahkan faktor luaran, kerana saya harus menyalahkan diri sendiri jika tidak dapat bermain dengan baik. "Beberapa serangan dan gerakan awal saya tidak menjadi, saya melakukan beberapa kesilapan mudah. Begitupun saya tidak cemas biarpun ketika sudah ketinggalan, saya hanya perlu tenang dan memikirkan bagaimana untuk mengatasi kelemahan dan ia berjaya," kata jaguh No. 1 dunia itu. Prospek untuk Chong Wei berentap dengan juara Olimpik, Lin Dan di separuh akhir juga tampak masih di landasan selepas jaguh China itu meneruskan kemaraan dengan menyingkirkan pemain senegara, Wang Zhengming 21-18, 21-16. Turut mara juara dunia, Chen Jin yang diberi cabaran hebat sebelum mengatasi Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark 21-23, 21-16, 21-17. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |