Utusan Online - Sukan |
Posted: Pemain import mungkin kembaliOleh AIZAWATI AHMAD KUALA LUMPUR - Selepas tiga musim, khidmat pemain import mungkin kembali mewarnai liga bola sepak tempatan musim depan. Itu bayangan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berpendapat penggunaan khidmat pemain import mampu menjadikan Liga Malaysia (Liga-M) lebih kompetitif. Tambah beliau, kehadiran pemain import juga berupaya menarik lebih ramai penyokong ke stadium. Lantaran itu beliau tidak menolak kemungkinan khidmat pemain import bakal diperkenalkan kembali dalam saingan bola sepak tempatan mulai musim depan. "Kita sudah membayangkan hala tuju untuk musim 2012 iaitu kehadiran pemain import ke dalam pasukan negeri mahu pun kelab berupaya meningkatkan kualiti permainan para pemain," katanya. Beliau menghadiri majlis cabutan undi pusingan kelayakan Zon D Piala Dunia Polo Persekutuan Polo Antarabangsa (FIP) 2011 di sini, semalam. Jelas Tengku Abdullah, keputusan sama ada pemain import akan dibenarkan, akan dibawa ke dalam mesyuarat FAM untuk diperbincangkan secara mendalam. Utusan Malaysia difahamkan, Jawatankuasa Ad-hoc yang ditubuhkan oleh FAM akan bermesyuarat pada hujung bulan ini bagi mencari kata putus berhubung keputusan untuk membenarkan semula pemain import beraksi dalam liga bola sepak tempatan. FAM tidak lagi membenarkan khidmat pemain import dalam liga tempatan mulai musim 2009 dan ia dikekalkan sehingga musim lalu. Keputusan FAM itu bertujuan memberi peluang kepada pemain tempatan terutamanya pemain penyerang yang sentiasa dibayangi oleh pemain import dan gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam pasukan masing-masing. Ia merupakan larangan kedua penggunaan khidmat asing selepas larangan yang sama selama tiga musim mulai 1999 hingga 2001. Mengenai perkembangan pemain kebangsaan, Safee Sali yang beraksi bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya, Tengku Abdullah menyifatkan kejayaan bekas pemain Selangor itu beraksi baik bersama pasukan barunya memberi petanda positif buat karier Safee. "Saya harap dia dapat jaringkan gol dalam setiap perlawanan dan sentiasa meningkatkan gaya permainannya dari semasa ke semasa," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Arsenal lawan Harimau Malaya 10 Julai? Posted: Arsenal lawan Harimau Malaya 10 Julai?Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Kelab terkemuka Liga Perdana England, Arsenal dijangka menentang skuad Harimau Malaya pada 10 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil berdasarkan sumber dari laman web di England, www.arsenalindiser.com. Mengikut sumber tersebut, Arsenal akan singgah di Kuala Lumpur pada 10 Julai sebelum terbang ke China, bagi menghadapi perlawanan kedua pada 16 Julai di Shanghai. Maklumat itu hadir selepas pengurus Arsenal, Arsene Wenger membuat pengesahan bahawa skuadnya akan mengadakan Jelajah Pramusim dengan mengunjungi Malaysia dan China pada Julai ini. Pengesahan itu dipetik daripada salah sebuah akhbar terkemuka United Kingdom, Telegraph melalui wawancara dengan Wenger mengenai pemilikan penuh kelab itu oleh taikun Amerika, Stan Kroenke. Menurut Wenger, penajaan kewangan yang besar menjadi punca dia membawa Arsenal pertama kali datang ke Malaysia sejak tahun 1999 walaupun dia kurang berminat untuk ke Asia berbanding Eropah. ''Jelajah di timur jelas memberikan tarikan besar kepada bahagian kewangan. Kami memerlukan penajaan tambahan selain daripada pendapatan sendiri yang kami hasilkan. Saya boleh menerima Jelajah seperti ini selagi tidak mengganggu persiapan kami. ''Saya tidak mahu datang ke sana (Malaysia dan China) tetapi oleh kerana jumlah penajaan yang tinggi dari Eropah, kami akan ke Malaysia dan China. Kami mempunyai kurang daya tarikan kewangan daripada pasukan lain, jadi kami tidak boleh ketinggalan dalam soal itu," kata Wenger. Chelsea dan Liverpool telah membuat pengesahan akan ke Kuala Lumpur dengan skuad Blues akan berdepan skuad Harimau Malaya pada 21 Julai namun tarikh perlawanan bagi Liverpool masih belum dapat dipastikan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |