Utusan Online - Sukan |
Terjun sambar dua lagi slot London 2012 Posted: Terjun sambar dua lagi slot London 2012Oleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR – Skuad terjun negara menambah dua lagi kuota Olimpik pada Piala Dunia FINA yang menjadi pentas kelayakan terakhir temasya sukan terbesar dunia itu di London semalam, kedua-duanya menerusi gandingan Bryan Nickson Lomas-Huang Qiang dan Traisy Vivien Tukiet. Lebih manis, Bryan-Huang berjaya merangkul gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki, iaitu pingat sulung buat negara pada kejohanan berprestij dwi-tahunan itu yang dianjurkan sejak 1979. Tambah menggembirakan kejayaan Bryan-Huang adalah yang pertama buat negara mempunyai wakil dalam acara seirama pada Olimpik. Traisy pula memastikan Malaysia memenuhi dua kuota maksimum dalam acara 10m platform individu wanita, mengiringi Pandelela Rinong yang layak lebih awal. Tambahan dua kuota itu bermakna Malaysia kini memiliki enam kesemuanya, termasuk 3m papan anjal individu lelaki (dua) dan 10m platform lelaki (satu). Jumlah itu dijangka meningkat dengan gandingan Pandelela-Leong Mun Yee disandarkan harapan dalam 10m platform seirama. Begitu juga dengan Cheong Jun Hoong (3m papan anjal individu wanita) dan Ooi Tze Liang (10m platform lelaki). Kemunculan penerjun yang berasal dari China, Huang, yang mengumumkan keluar dari persaraan untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, tepat pada masanya kerana kehadirannya mencerahkan peluang negara untuk meraih pingat sulung Olimpik dalam sukan tersebut. Meskipun hanya membuat penampilan sulung kompetitif sejak 2006, bekas juara kebangsaan China itu membuktikan dia masih merupakan atlet yang berkualiti dan mampu beraksi pada saingan tahap tertinggi. "Ketika menerima status kerakyatan pertengahan tahun lalu, saya sedar peluang untuk kembali beraksi memang samar. "Segala-galanya juga tampak sukar pada masa itu kerana saya juga perlu menunaikan tanggungjawab sebagai jurulatih. "Tetapi dalam sekelip mata hari ini saya berdiri dengan rasa penuh bangga di podium Piala Dunia bersama Bryan sebagai rakyat Malaysia. Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan," kata Huang Qiang. Keserasian gandingan Huang-Bryan telah menampakkan keberkesanannya walaupun baru kali pertama beraksi bersama secara kompetitif, tanpa mengambil kira sewaktu latihan. Seminggu sebelum kejohanan, tahap kecergasan Huang masih diragui dan peluang untuknya kembali ke kolam dikatakan hanya 50-50. Namun mungkin itulah muslihat ketua jurulatih, Yang Zhuliang yang mungkin awal-awal lagi sudah menaruh keyakinan terhadap Huang, namun sengaja menyimpan 'senjata rahsia' daripada diketahui lawan. Dalam acara mereka semalam, jumlah mata yang diraih Bryan-Huang tidaklah jauh ketinggalan berbanding dua pasangan terbaik dunia pada masa ini, Qin Kai-Luo Yutong (China) dan Evgeny Kuznetsov-Illya | ||
Tiket Olimpik hadiah hari jadi Traisy Posted: Tiket Olimpik hadiah hari jadi TraisyKUALA LUMPUR – Penerjun negara, Traisy Vivien Tukiet yang genap 18 tahun Jumaat lalu, mendapat hadiah hari jadi paling teristimewa dalam hidupnya, iaitu tiket penampilan sulung Olimpik. Di London semalam, Traisy yang beraksi pada Piala Dunia FINA, berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara 10m platform individu wanita setelah menamatkan pusingan awal pada tempat ke-16 daripada 40 peserta. Keputusan itu sudah memadai buat gadis kecil molek itu meraih hak bertanding pada temasya sukan di London pertengahan tahun ini. Anak kelahiran Kuching itu yang mengutip 282.75 mata menerusi lima terjunan, merupakan antara tujuh penerjun terbaru yang mengisi baki 18 slot yang masih tinggal untuk direbut dalam acara tersebut. Slot selebihnya akan ditentukan oleh mereka yang masih belum layak pada hari terakhir kejohanan nanti. Traisy tidak menyembunyikan perasaan gembira apabila akhirnya layak ke Olimpik setelah gagal berbuat demikian pada Kejohanan Dunia di Shanghai Julai lalu. "Saya datang ke London dengan misi untuk menebus apa yang saya terlepas di Shanghai tahun lalu (12 penerjun terbaik layak tetapi dia terlepas kerana menduduki tempat ke-14). "Saya sedar peluang memang terbuka luas kerana banyak lagi tiket ditawarkan dan jurulatih Yang (Zhuliang) memberitahu, kalau gagal ke separuh akhir pun, akan ada peluang lagi untuk merebutnya pada hari terakhir. "Namun dari awal lagi saya menetapkan sasaran untuk cuba layak seawal mungkin dan saya berjaya melakukannya," kata Traisy. Dalam pada itu, ratu terjun, Pandelela Rinong yang juga beraksi dalam acara sama, dibelenggu prestasi tidak menentu apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat ke-11 dengan 305.15 mata. Bagaimanapun, Pandelela masih berpeluang memperbaiki kedudukan pada saingan separuh akhir yang menampilkan 18 penerjun terbaik daripada pusingan awal. Pada separuh akhir, kutipan mata akan dimulakan semula dan mata pusingan terdahulu tidak diambil kira. Meskipun telah mengesahkan tiket ke Olimpik, Pandelela, dengan statusnya selaku lima penerjun terbaik dunia dalam disiplin ini, diharapkan mampu mencabar kedudukan podium pada kejohanan penuh berprestij ini. Baik buruk prestasi Pandelela bakal memberi gambaran awal berhubung peluangnya meraih pingat Olimpik kerana kesemua jaguh handalan dunia turut menggunakan kejohanan yang diiktiraf sebagai Ujian Olimpik ini sebagai medan pemanas badan. Pusingan awal semalam diungguli juara dunia dan Olimpik, Chen Ruolin dari China dengan 403.45 mata, satu jurang mata yang menceritakan betapa sempurna setiap terjunan jagoan China itu jika dibandingkan dengan lain-lain pencabar. Ini disebabkan penerjun Rusia, Yulia Koltunova yang berada tempat kedua mengumpul hanya 339.85 mata. Sementara Christin Steuer dari Jerman yang mencatat 338.50 mata, menghuni kedudukan ketiga. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |