Utusan Online - Sukan |
Posted: Hoki raih gangsa di OrdosOleh ZAZALI JAMIAN Pemain Malaysia meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika menentang Jepun pada perlawanan klasifikasi tempat ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Ordos, China, semalam. Pasukan negara menang 1-0.- AFP KUALA LUMPUR - Penyerang muda, Muhammad Firhan Ashaari muncul wira apabila jaringannya memberikan kemenangan untuk skuad hoki negara meraih gangsa menewaskan Jepun 1-0 pada perebutan tempat ketiga kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Ordos, China, semalam. Kemenangan skuad kendalian Tai Beng Hai itu sekali gus membuktikan keupayaan pasukan apabila mengatasi sasaran tempat keempat yang ditetapkan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM). Walaupun kejohanan tersebut tidak memberi sebarang peningkatan kepada skuad hoki negara pada kedudukan ranking dunia, Beng Hai bangga dengan persembahan pemain. "Akhirnya pemain berjaya menghadiahkan pingat gangsa walaupun kita tewas pada dua perlawanan awal. "Pada perlawanan dengan Jepun, kita mempamer prestasi terbaik dengan menyekat strategi pihak lawan," kata Beng Hai ketika dihubungi semalam. Pada perlawanan mendebarkan semalam, bahagian serangan skuad kebangsaan dikawal ketat oleh pertahanan Jepun, sehingga sukar untuk mendapatkan jaringan pada separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan terus buntu tanpa jaringan pada babak kedua sebelum Muhammad Firhan, 18, meledak gol kemenangan tujuh saat sebelum tamat perlawanan akibat kelalaian pertahanan Jepun. Ia adalah pingat kedua yang diraih skuad negara di pentas Asia selepas pingat perak pada Sukan Asia, Guangzhou 2010. Beng Hai menambah, pemain muda yang diberi peluang beraksi di Ordos telah membuktikan keupayaan mereka. "Pemilihan pemain muda seperti Amir Farid Ahmad Fuzi pada kejohanan sebegini adalah sesuatu yang positif. "Kita juga berupaya beraksi dengan konsisten melalui pemain muda ketika menentang Jepun hari ini," katanya. Sementara itu, pertembungan akhir kejohanan menyaksikan pemenang pingat emas Sukan Asia 2010, Pakistan sekadar memperoleh pingat perak selepas tewas 2-4 kepada India melalui penentuan penalti. Tempat kelima milik Korea Selatan yang menewaskan China 2-1. |
Posted: Kelantan perit sebelum menangOleh YATIMIN ABDULLAH KOTA BHARU - Enam mata hasil dua kemenangan ke atas Sarawak dan Johor FC dalam kempen Piala Malaysia memang sudah dijangka peminat Red Warriors. Namun berdasarkan persembahan menentang Johor FC di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin, penyandang juara Piala Malaysia itu dilihat berdepan laluan sukar mempertahankan kejuaraan. Dalam perlawanan kelmarin, Red Warriors bernasib baik apabila pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan menyelamatkan maruah pasukan menerusi jaringan kemenangan pada minit akhir perlawanan. Sebelum itu, Kelantan dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi Eddy Helmi Abdul Manan pada minit ke-11, sebelum Mohd. Shakir Shaari menjaringkan gol penyamaan tujuh minit kemudian. Aksi di bawah keupayaan sebenar kelmarin mengundang resah kalangan peminat setia Red Warrios yang mahu pasukan kesayangan mereka mengekalkan momentum cemerlang seperti ketika menjulang kejuaraan Liga Super Julai lalu. Beberapa bintang Red Warriors seperti Norshahrul Idlan Tahala dan perancang tengah yang juga ketua pasukan Mohd. Badri Razdhi seperti hilang punca kelmarin apabila gagal melakukan sebarang percubaan ke gawang lawan. Justeru, skuad Datuk M. Karathu harus bangkit apabila berdepan Felda United Rabu ini. Mengulas aksi pemainnya kelmarin, Karathu tetap berpuas hati walaupun pemain terpaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan. "Apa yang penting kita berjaya meraih tiga mata penuh. Ia cukup penting untuk mengumpul mata maksimum bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya. "Saya akui Johor FC adalah pasukan yang baik ketika bertahan sehingga menggagalkan usaha kami untuk menjaringkan lebih banyak gol," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |