Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jerman tutup peluang Malaysia

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Pemain-pemain Jerman meraikan kejayaan menewaskan Malaysia pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, malam tadi. Jerman menang 6-0. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Peluang Malaysia untuk mencuri satu daripada tiga slot ke Piala Dunia 2014 daripada pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia sudah tertutup - namun persoalannya pasukan kita dibelasah teruk 6-0 oleh Jerman.

Jika persembahan menentang Jerman menjadi modal Malaysia ke Piala Asia di Ipoh pada 24 Ogos ini, maka rumusannya sudah dapat dijangka.

Malaysia tiada pilihan, selain perlu menjadi juara, bermakna skuad bimbingan jurulatih Paul Revington mesti menundukkan beberapa gergasi Asia seperti Pakistan dan India untuk melangkah ke Piala Dunia di The Hague, Belanda tahun depan.

Kali terakhir skuad negara beraksi di Piala Dunia ialah pada 2002 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, kekalahan Malaysia pada aksi suku akhir, semalam menyebabkan skuad kebangsaan sekadar meneruskan cabaran untuk penentuan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Esok, skuad negara dijadual menentang Pakistan untuk menentukan kedudukan yang lebih baik.

Pada perlawanan semalam, Jerman bermula garang dengan memberikan tekanan kepada bahagian pertahanan skuad kebangsaan menerusi beberapa percubaan tepat dalam kawasan Malaysia.

Malah, Jerman tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pertama seawal minit kelima menerusi Christopher Zeller hasil pukulan sudut penalti.

Tekanan semakin dirasai skuad kebangsaan apabila Jerman menambah gol kedua pada minit kelapan hasil jaringan pukulan sudut penalti Linus Butt dan dua minit selepas itu rakan sepasukan Moritz Polk menjadikan kedudukan 3-0 hasil gol padang.

Pasukan lawan bagaikan tidak memberi ruang buat skuad kebangsaan untuk mendapatkan jaringan dengan mengawal setiap pergerakan penyerang Malaysia.

Jerman terus memanfaatkan setiap peluang mendapatkan jaringan apabila berupaya menambah tiga lagi jaringan menerusi Zeller minit ke-12, Moritz Furste (16) dan Thilo Stralkowski (18).

Bermula babak kedua Jerman terus menambah deretan jaringan.

Bagaimanapun, usaha Jerman mendapatkan jaringan tidak berupaya hingga tamat perlawanan kerana pertahanan skuad kebangsaan yang kembali mendapat rentak, namun sudah terlambat.

Sementara itu, Revington memuji Jerman kerana bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapatkan jaringan tetapi mengakui secara jujur yang dia amat kecewa dengan keputusan tersebut.

''Walaupun peluang untuk mendapat tiket ke Piala Dunia dalam kejohanan ini telah berakhir, kami perlu menamatkan kejohanan ini dengan baik kerana kejohanan ini ada menawarkan ranking.

''Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan masa depan saya di sini atau peluang kita di Piala Asia selagi kejohanan ini belum berakhir," katanya.

Padang tiruan beri Lions XII kelebihan

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Bukan kerana tidak boleh menerima hakikat, namun kelebihan beraksi di atas padang tiruan di Stadium Jalan Besar jelas menjadi faktor paling ketara membantu Lions XII.

Menjuarai Liga Super musim ini dengan 31 mata dikutip di gelanggang sendiri daripada jumlah 43 mata sudah cukup menceritakan segala-galanya.

Pandangan ini turut dipersetujui tiga jurulatih dalam saingan Liga Super, B. Sathianathan (Angkatan Tentera Malaysia), Mohd. Azraai Khor Abdullah (Perak) dan Dollah Salleh (Pahang) yang melihat Lions XII terlalu kebal atas padang tiruan.

Bola yang terlalu laju dan keengganan tuan rumah memberikan ruang kepada lawan menguji satu hari lebih awal permukaan padang di stadium mereka menjadi antara persoalan besar mengapa Jalan Besar menjadi lubuk mata buat Lions XII.

Menurut Sathianathan, yang menyaksikan pasukan bimbingannya kecundang 1-3 kepada Lions XII pada 20 April lalu berkata, walaupun mereka ada mengadakan latihan di padang tiruan dekat Majlis Sukan Negara (MSN), ia masih tidak mencukupi kerana permukaannya yang berbeza.

''Pertama kali, saya hendak memberitahu bukan mudah untuk beraksi di atas padang tiruan sedangkan 21 perlawanan yang lain, kami bermain di atas padang rumput dan jika ada orang berkata padang tiruan memberikan kelebihan besar kepada Lions untuk muncul juara, saya memang bersetuju.

''Tidak banyak tempoh persiapan dapat dilakukan dalam tempoh beberapa hari bagi tujuan penyesuaian malahan permukaan padang tiruan yang ada di padang Majlis Sukan Negara sebenarnya tidak sama seperti mana di Jalan Besar.

''Semasa di sana, kami tidak diberi peluang menguji Stadium Jalan Besar sehari sebelum perlawanan kerana ada perlawanan Liga Singapura (S-League) dan itu memang tidak adil kerana tahap permainan di atas padang tiruan ternyata berbeza sama sekali terutama dalam aspek pergerakan bola," katanya.

Sementara itu, Dollah berkata, Lions XII sebenarnya bergelut apabila beraksi di padang rumput di tempat lawan dengan dua kemenangan sahaja yang mampu dikutip membuktikan mereka hanya gah semasa di kandang sendiri.

''Memang betul, (padang tiruan beri kelebihan), lawan yang bermain di sana benar-benar bergelut kerana daripada segi teknikal, pemain yang jarang-jarang beraksi di atas padang tiruan sukar membuat menduga kelajuan bola.

''Lihatlah sendiri pemain sayap saya, R. Gopinathan yang mempunyai daya kawalan bola yang baik, namun apabila menerima hantaran daripada rakan sepasukan pasti dia akan hilang kawalan sama ada bola akan dirampas lawan atau terkeluar dari kawasan permainan.

''Persoalan saya mengapa mereka tidak boleh bermain di atas padang rumput seperti mana pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Super, kelebihan yang dimiliki mereka terlalu ketara," katanya.

Bagi Azraai, mereka hanya diberikan peluang berlatih di padang latihan terletak di Bukit Timah dan para pemainnya diakui sukar menyesuaikan diri dengan cara permainan di atas padang tiruan.

''Lions XII memang beruntung beraksi di atas gelanggang tiruan kerana kebanyakan pasukan lain jelas tidak memperagakan aksi sebenar apabila bertandang ke sana termasuk pasukan saya sendiri.

''Kita lihatlah sendiri bagaimana kawalan bola pemain-pemain Lions yang cukup selesa dan memudahkan mereka meraih kemenangan apabila bertemu lawan yang tidak biasa bermain di gelanggang tiruan.

''Jika musim depan dibiarkan mereka beraksi di atas padang yang sama, saya tidak fikir mana-mana pasukan mampu merampas kejuaraan daripada mereka dalam saingan Liga Super," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS