Utusan Online - Sukan |
Malaysia cukup kuat untuk kalahkan Pakistan Posted: Malaysia cukup kuat untuk kalahkan PakistanOleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR - Jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal percaya Malaysia memiliki pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012, Rabu depan. Bertindak selaku penasihat, Rajagobal berkata, anak-anak didik jurulatih Ong Kim Swee telah menjalani latihan terbaik dan cukup bersedia untuk menggempur apa jua 'halangan' Pakistan. "Kita punya pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan, Rabu depan. " Pasukan bawah 21 tahun kita cukup mantap kerana enam daripada pemain telah diserap dalam skuad senior,'' kata Rajagobal ketika ditemui di Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan di Desa Temuan, Damansara Perdana, semalam. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar. Malaysia pernah beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Munich, 39 tahun lalu, dan lapan tahun kemudian, kita sekali lagi melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik Moscow namun tidak mengambil bahagian atas faktor politik. Selepas bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam, minggu depan kita akan berkunjung ke Lahore pada 9 Mac. Dalam perkembangan lain, Rajagobal berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari lawan baru untuk perlawanan persahabatan kelas A selepas hasrat bertemu Scotland tidak kesampaian. Adalah penting buat negara memperbaiki ranking bagi mendapat undian baik pada kelayakan Piala Dunia Asia. Terdahulu, sempena Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan, turut diadakan perlawanan bola sepak Piala Yayasan Emkay antara Akademi Bola Sepak Desa Temuan dan Akademi Bola Sepak Kompleks Hutan Belum - Temenggor, Hulu Perak. Lima anak Orang Asli dari Akademi Bola Sepak Desa Temuan terpilih menjalani latihan untuk skuad bawah 14 tahun Selangor - Firiszuan Sabri, Saharul Dhalan, Visan Longo, Razif Rajan dan Mohd. Imran Ghazali. | ||
Singa Utara terus dirundung malang Posted: Singa Utara terus dirundung malang
KUALA LUMPUR - Perlis mensia-siakan dua kelebihan - beraksi di gelanggang sendiri dan menentang 10 pemain lawan ketika tersingkir daripada saingan Piala FA 2011 selepas tunduk kepada pasukan berstatus kelab, Felda United 0-2 di Stadium Utama Kangar, semalam. Jaringan Rashid Mahmud pada minit ke-55 dan Muhamad Zamri Chin, minit ke-90 mengesahkan kemenangan juara Liga Perdana 2010, Felda United biarpun seketika laluan mereka tampak sukar apabila terpaksa mengharungi 86 minit permainan dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Mohd. Khairul Anuar Jamil dibuang padang di minit keempat. Kekalahan ini memburukkan lagi musim skuad Singa Utara, Perlis yang sudah pun terpelosok ke kedudukan tercorot Liga Super dengan gagal mencatat sebarang kemenangan daripada empat perlawanan yang diharungi. Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dipaksa berhempas pulas sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua dengan menumpaskan Sabah 2-1. Gol kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh R. Kartigesu pada minit ke-68 selepas R. Surendran sebelum itu membuka jaringan di minit ke-57. Gol saguhati Sabah dihadiahkan oleh Shahrul Azhar Ture, minit ke-70 Dalam perlawanan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bukan saja tersingkir daripada kempen Piala FA, malah diaibkan dengan kekalahan besar 1-5 kepada Johor di depan penyokong sendiri. Jaringan pasukan pelawat disempurnakan oleh Norizam Salaman (17, 79), Adib Aizuddin Latif (penalti, 60), Mohd. Alif Yusof (73) dan Mohd. Asyraf Al Japri pada minit terakhir. Gol tunggal tuan rumah pula dijaringkan Noraslan Makhtar, minit ke-82. Nasib buruk Pulau Pinang itu turut diikuti oleh kelab senegeri, USM yang tumpas 1-2 kepada Terengganu dalam satu lagi saingan di Stadium Olahraga USM. Gol Terengganu disempurnakan Mohd Zharif Hasna pada minit ke-19 dan Abdul Hadi Yahaya, minit ke-43. Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, wakil Selangor, PKNS berpesta gol dengan membelasah Majlis Perbandaran Muar 5-0 untuk melangkah ke pusingan kedua. Selain PKNS, Johor FC turut meraikan kemenangan besar menumpaskan SPA KL juga menerusi keputusan 5-0 di Stadium Jcorp, Pasir Gudang. Dalam perlawanan lain, Perak meneruskan kemaraan selepas menumpaskan PDRM 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Turut melangkah ke pusingan kedua adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengejutkan Sarawak 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Di Padang Kompleks Nusa Mutiara, Tebrau pula, Melodi Jaya dibelasah 0-4 oleh Harimau Muda B. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |