Utusan Online - Sukan |
Posted: Isu kos stadium selesaiOleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR - Isu siapa harus menanggung kos penalti RM500,000 akibat penangguhan kerja memperbaiki trek Stadium Nasional, Bukit Jalil selesai semalam selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akhirnya mencapai formula yang akan menguntungkan kedua-dua pihak. FAM tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar penalti, sebaliknya badan bola sepak kebangsaan itu akan menyewa stadium berkenaan untuk enam perlawanan dan bayaran sewa tersebut sudah cukup bagi menampung kos penangguhan, kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad. Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Nasional sepanjang Jun dan Julai nanti adalah final Piala FA di antara Terengganu dan Kelantan (11 Jun), kelayakan Sukan Olimpik 2012 (menentang Lebanon, 19 Jun), kelayakan Piala Dunia (Taiwan, 29 Jun) serta tiga perlawanan melibatkan kelab Liga Perdana England - Arsenal (13 Julai), Chelsea (21 Julai) dan Liverpool. Malah kata Azzuddin, perlawanan boleh bertambah menjadi tujuh sekiranya Malaysia mengalahkan Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia, sekali gus menempah pertemuan dengan Singapura. Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Putrajaya kelmarin, yang disifatkan oleh Azzuddin sebagai penyelesaian adil dan situasi 'menang-menang' buat kedua-dua pihak. "FAM akan bayar sewa seperti biasa, termasuk untuk tiga perlawanan menentang kelab Liga Perdana England, tentang bagaimana pihak stadium hendak menyelesaikan pembayaran kos penangguhan kepada kontraktor, itu terserah kepada mereka. "Bagaimanapun hasil sewa untuk enam perlawanan yang bakal diadakan nanti cukup untuk menampung bayaran RM500,000 yang dikenakan, namun KBS dan pihak stadium masih berunding untuk cuba mengurangkan penalti,'' kata Azzuddin ketika ditemui pada majlis pengumuman Jelajah Arsenal ke Malaysia di sini, semalam. Jelas Azzuddin lagi, tiada kadar tambahan dikenakan ke atas sewa kesemua perlawanan itu kerana KBS dan FAM berkongsi matlamat yang sama iaitu menyokong bola sepak tempatan. "FAM ingin menyatakan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana membenarkan kami menggunakan Stadium Nasional, ia adalah demi kepentingan bola sepak negara, pemain serta peminat,'' katanya. Kenyataan Azzuddin itu turut disokong Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menganggap isu Stadium Nasional kini selesai dan pembayaran yang diberikan badan bola sepak itu dapat membantu pihak perbadanan stadium. Mengenai berapa kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh FAM untuk sewa kesemua perlawanan tersebut, Tengku Abdullah menegaskan, perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi. "Yang penting ia selesai dan kami ingin mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Menteri kerana membenarkan kami menggunakan stadium tersebut,'' ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Gunners janji bawa skuad terbaik Posted: Gunners janji bawa skuad terbaik
KUALA LUMPUR - Gergasi bola sepak England, Arsenal yakin penyokong Gunners di Malaysia akan menyambut hebat kedatangan mereka ke Kuala Lumpur pada 13 Julai ini, sekalipun kelab London itu diselubungi kemarau gelaran sejak enam tahun lalu. Juara Liga Perdana 13 kali itu juga mengambil serius aksi persahabatan menentang Malaysia XI di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan memberi jaminan akan membawa skuad terbaik, termasuk ketua pasukan, Cecs Fabregas. Meskipun pengurus, Arsene Wenger berkata perjalanan jauh menyebabkan pemain keletihan, Arsenal meneruskan rancangan ke Malaysia, iaitu kunjungan pertama ke negara ini selepas 12 tahun. Gunners percaya pertemuan dengan juara Piala Suzuki AFF, Malaysia mampu memberi persediaan terbaik sebelum memulakan musim baru yang mencabar, kerana mereka memulakan kempen Liga Juara-Juara 2011/2012 dari pusingan kelayakan berikutan kegagalan menamatkan EPL pada kedudukan tiga terbaik. "Sejarah membuktikan, Arsenal mempunyai penyokong setia sekalipun ketika kami berdepan situasi sukar. Kami mempunyai program pemasaran global yang baik dan memiliki ramai peminat di rantau Asia. "Ini bukan perlawanan persahabatan biasa tetapi persiapan penting untuk Arsenal sebelum memulakan musim baru, saya percaya, pengurus pasti membawa semua pemain terbaiknya ke Malaysia,"kata Ketua Pegawai Komersial Arsenal, Tom Fox pada sidang akhbar semalam. Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Pengarah Komunikasi Arsenal, Mark Gonnella dan Pengarah Urusan ProEvents International Sdn. Bhd., San Boon Wah. Ini merupakan kunjungan keempat Arsenal ke Kuala Lumpur sejak 1968, namun yang pertama sejak 1999. Malaysia menjadi destinasi sulung mereka dalam jelajah Asia. Kelab London itu turut bercadang mengadakan perlawanan di China. Tiket berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 (VIP) mula dijual pada Jumaat 27 Mei. Ia boleh diperoleh menerusi talian Ticketpro, 03-78807999 atau laman web, www.ticketpro.com.my, selain butik Nike terpilih. Setiap pembelian tiket mendapat pas latihan percuma. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |